• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

‘Memberi’, itulah falsafah harta dalam Islam

Byadmin

Dec 23, 2009

Ketika kita diulit kesenangan, jangan lupa bahawa ramai orang digayuti keperitan. Hidup sememangnya begitu, ada orang senang dan ada orang susah. Ada orang tidak pernah pun rasa senang seumur hidup dan ada pula orang yang tidak pernah pun rasa susah walaupun sekali dalam hidupnya. Namun, susah-senang adalah rencah kehidupan dan atas premis inilah, kita wajar menghayati makna ‘memberi’ yang dianjurkan Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar,” (Sebahagian hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Dalam seerah an-Nabawiyah, yakni catatan perjalanan kehidupan suri tauladan sepanjang zaman yang dipaparkan oleh Nabi Muhammad SAW, baginda amat-amat menitikberatkan aspek memberi ini. Nabi Muhammad SAW sendiri bukanlah sekadar manusia yang gemar berkata-kata, bahkan baginda sendiri mengotakan setiap patah perkataannya. Banyak kisah yang boleh dijadikan iktibar kepada kita.

Misalnya, seorang sahabat besar Rasulullah SAW bernama Anas bin Malik r.a pernah mengkhabarkan di dalam satu kisah: “Saya pernah berjalan bersama Rasulullah SAW. Baginda (ketika itu) mengenakan sehelai selendang dari Najran yang kasar di tepinya. Tiba-tiba (waktu itu) seorang badui berpapasan dengan baginda, lalu menarik selendang baginda dengan kuat (kasar). Ketika (itu) aku memandang ke sisi leher Rasulullah SAW dan ternyata pinggiran selendang (yang kasar) itu telah membekas di sana, disebabkan kuatnya tarikan itu. Kemudian si badui itu berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Wahai Muhammad, berikan kepada aku sebahagian daripada harta Allah yang ada padamu. Rasulullah SAW berpaling kepadanya, lalu tertawa dan memberikan suatu pemberian kepadanya,” (Riwayat Muslim)

Inilah contoh unggul peribadi mulia yang melagang falsafah suka memberi sesama manusia. Nabi Muhammad SAW tidak marah, kendatipun baginda ada hak untuk marah. Leher baginda merah kebiratan, kesan tarikan selendang Najran yang kasar. Namun, nabi memberikan senyuman pula kepada badui berkenaan. Alangkah indah akhlak Rasulullah SAW buat dijadikan panduan.

Hari ini, ada orang kadang-kala memberikan pelbagai alasan untuk menahan hartanya daripada dikongsi dengan orang lain. Sebagai manusia, memang kita dibekalkan oleh Allah SWT dengan hawa nafsu yang kecenderungannya sering mementingkan diri sendiri. Maka, tidak peliklah ia mampu menimbulkan perasaan sayangkan harta yang keterlaluan sehingga melahirkan sifat kedekut pula bagi diri manusia. Hakikatnya, kedekut adalah musuh pemurah. Manusia yang kedekut, mengundang murka Allah SWT.

Berpesan lagi Nabi Muhammad SAW kepada kita: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri (sendiri) dan memberi salam kepada orang lain,” (Riwayat Ahmad)

Namun, sikap manusia yang paling jelek dan dibenci oleh Rasulullah SAW, ialah mereka yang ‘buruk siku’ dalam memberi. Adalah ditegah, bagi mereka yang sudah bersedekah namun kemudian bercita-cita mahu mengambil kembali apa-apa yang telah disedekahkan itu. Rasulullah s.a.w bersabda, yang maksudnya: “Perumpamaan orang yang bersedekah lalu menarik kembali sedekahnya itu hanyalah seperti anjing yang muntah lalu memakan muntahnya itu,” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, sikap saling beri-memberi ini adalah anjuran Islam yang natijahnya akan menzahirkan keharmonian di dalam sesebuah masyarakat. Ia juga menjadi punca turunnya kasih-sayang Allah SWT. Apabila kita sendiri saling sayang-menyayangi, pastilah pantas bagi Allah SWT untuk turut menyayangi diri kita ini dan membantu kita mendepani kegetiran hari akhirat kelak.

Daripada Abdullah bin Umar r.a, beliau memetik kata-kata daripada Rasulullah SAW: “Orang Islam itu (adalah) saudara (kepada) orang Islam (yang lain), ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Sesiapa yang menutup rahsia orang Islam, (pasti) Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak, ” (Riwayat Bukhari) . Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply