• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

“JANJI KITA TAK LUPA ALLAH”

Byadmin

Apr 22, 2010

Nota: Pada Khamis, setiap dua minggu sekali saya menulis bagi ruangan Bicara Agama dengan kisah asnaf yang dinamakan ‘Jejak Asnaf’ di Sisipan Mega Utusan. Insya-Allah, saya akan memasukkan artikel berkenaan ke dalam blog ini agar ia dapat dimanfaatkan bersama oleh para pembaca budiman. Walau bagaimanapun, versi yang dimuatkan di sini adalah berbeza dengan versi cetakan, justeru yang tercetak pastinya sudah diedit terlebih dahulu oleh sang editor. Apa-apa pun, terima kasih kepada En Mohd. Radzi Editor Agama Utusan atas kerjasama beliau menyiarkan kisah asnaf ini.

 
abdullah-lam2Kemiskinan adalah relatif. Ada orang menjadi miskin kerana keturunan dan ada orang yang menjadi miskin dek kerana faktor persekitaran. Bagi pasangan asnaf Abu Bakar Lam bin Abdullah, 45 dan Asmaton bt Bokari, 38 pula, mereka miskin kerana faktor kesihatan. Kedua-duanya diuji Allah SWT dengan sakit yang kronik, Abu Bakar baharu sahaja diserang angin ahmar manakala Asmaton, baharu sahaja menyudahkan rawatan kimoterapi akibat kanser payu dara.
 
“Suami saya ini keturunan Baba Nyonya Melaka, beliau memeluk Islam sewaktu usianya 22 tahun dahulu. Saya pula berasal dari Ijok, Kuala Selangor dan dibesarkan di sekitar Kuala Lumpur. Kini, di Ampang ini kami menumpang tanah ibu bapa saya. Inilah rumah saya, kecil sahaja ustaz.”
 
Demikianlah Asmaton berbicara. Beliau kelihatan ramah melayani kunjungan kami wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama krew Bersamamu TV3 ke rumahnya di Kampung Tengah Lembah Jaya, Ampang, Selangor.
 
“Saya dahulu seorang pemandu lori, sehinggalah saya diserang angin ahmar pada Disember tahun 2009. Saya waktu itu mahu membuang air. Terketar-ketar saya menggagahkan diri untuk keluar. Ahli keluarga kemudiannya segera membawa saya ke Hospital Ampang dan sehingga kini, saya masih menjalani rawatan fisioterapi di sana.”
 
Abu Bakar Lam pula menyambung bicara. Tidak betah berdiam diri dan hanya bergantung kepada bantuan orang, beliau menggagahkan dirinya mencari pekerjaan. Alhamdulillah, kini beliau baharu sahaja diterima menjadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan dijanjikan imbuhan bulanan sebanyak RM900.00.
 
Saya memerhatikan keadaan rumah pasangan enam anak ini. Kendatipun rumah mereka kecil dek kerana abdullah-lam1disambungkan dengan rumah ibu bapa Asmaton, namun keadaannya kemas teratur. Tiada sampah-sarap atau baju dan kain yang bergayutan di sana-sini. Tiada bau yang kurang enak atau pemandangan yang menyenakkan. Bagi saya, mereka memang mengutamakan kebersihan.
 
“Alhamdulillah ustaz, kami dikurniakan enam anak semuanya. Pertama, Alif Amirul Adib, 18 yang kini sedang menolong bapa saudaranya berniaga kedai makan di Ampang. Anak sulung saya ini mendapat 3A, 3B dan 2C dalam SPM dahulu dan kini sedang menunggu panggilan IPT.
 
“Anak kedua kami ialah Aina Fatin Atirah, 17 dan kini sedang belajar dalam bidang masakan di Sekolah Menengah Vokasional Puteri, Temerloh Pahang. Anak ketiga, Aida Fatin Farhana, 16 menuntut di Sekolah Menengah Teknik Setapak dan beliau juga mengidap masalah radang paru-paru dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
 
“Anak keempat kami, Arif Amirul Akmal, 14 pula menuntut di Sekolah Menengah Taman Kosas. Kelima, Afif Amirul Adha, 11 pula mendapat tawaran belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana aktif dalam olahraga. Manakala yang terakhir, Aiqa Fatin Farah Ayu, 4, malangnya doktor mengesahkan anak saya ini mengidap masalah injap jantung sempit dan kini dirujuk ke IJN. Menurut doktor, anak saya ini mengidap masalah ini kerana kesan kelahiran pra-matang. Waktu itu memang doktor ada memberi tahu risiko jika menunggu kandungan saya matang, kerana sewaktu itu saya sudah didiagnosis mengidap sakit buah pinggang.”
 
Terkedu saya mendengar cerita keluarga ini. Mereka benar-benar diuji Allah SWT. Bayangkan, Asmaton sendiri pernah mendapatkan rawatan dialisis lantaran buah pinggang sebelah kanannya yang rosak dan disahkan pula mengidap kanser payu dara. Suaminya, diserang angin ahmar pula. Manakala dua anak mereka, seorang mengidap radang paru-paru dan seorang lagi injap jantungnya sempit. Alang-alang orang, pasti tak terganggung rasanya.
 
“Memang semasa mula-mula disahkan mengidap kanser, sukar juga untuk saya menerimanya. Apatah lagi suami saya pula diserang angin ahmar, bahkan doktor suspek buah pinggang suami saya pula rosak. Namun, saya cuba mencari hikmah di sebalik semua dugaan ini. Mungkin Allah SWT mahu memberikan peringatan. Mungkin saya ada melakukan apa-apa kesalahan. Saya merenung diri, saya jumpa mak dan ayah dan minta agar mereka memberikan ampun jika saya terkhilaf selama ini.
 
“Jika direnungkan, memang ujian Allah banyak sekali. Sudahlah kami keluarga miskin, diuji pula dengan kesakitan demi kesakitan. Lalu, apabila jiwa tertekan, kepada Allah tempat saya mencari pedoman. Malam-malam saya bangun, solat istikharah, hajat dan taubat menjadi teman. Bagi saya, Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu.
 
abdullah-lam3Kesusahan keluarga ini mendapat perhatian daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sejak tahun 2005, nama mereka sudah didaftarkan sebagai asnaf miskin. Untuk itu, mereka layak mendapat pelbagai bantuan seperti bantuan menyambut Ramadan, bantuan saraan bulanan termasuk makanan, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan baik pulih rumah dan sebagainya lagi.
 
“Ustaz, sering saya menangis saat mengadap Allah pada waktu malam. Saya sedar, Allah pilih saya untuk terima ujian ini pasti ada sebabnya. Namun, saya bersyukur kepada Allah, kerana di sebalik kesusahan itu ada kesenangannya. Rezeki kami sekeluarga nampaknya tidak pernah putus. Bahkan seorang sahabat saya telah sudi menaja rawatan kanser saya di sebuah pusat rawatan swasta. Manakala rezeki anak-anak saya, khususnya dalam pelajaran mereka, juga dimudahkan Allah.
 
“Memang saya tidak mampu menghantar mereka mengikuti kelas tambahan; namun saya tidak lupa berpuasa setiap kali mereka akan menduduki peperiksaan. Saya lakukan solat hajat untuk mereka. Anak-anak pernah berkata, tidak mengapa rumah kita kecil, janji kita tidak lupa Allah. Mereka janji kepada saya, nanti dapat ijazah, mereka akan ubah nasib keluarga.
 
“Ustaz, sekalung ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Dalam doa, sering saya bermohon kepada Allah, agar dimurahkan rezeki mereka yang membayar zakat ini. Mereka memberi dengan ikhlas daripada rezeki yang halal. Bahkan, saya juga berazam untuk keluar daripada kepompong kemiskinan ini dan merasai sendiri, nikmatnya menjadi seorang pembayar zakat.”
 
Nota: Jika pembaca mahu menghulurkan sumbangan, keluarga ini boleh dihubungi di talian 017 881 2827

Related Post

Leave a Reply