• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

“Lantera LZS Sinari Kami”

Byadmin

May 6, 2010

mail1Nota: Tulisan saya ini disiarkan di dalam Mega Utusan hari ini.

Saudara baru atau mualaf adalah asnaf yang utama di dalam zakat. Mereka disebut oleh Allah SWT pada posisi keempat selepas fakir, miskin dan amil. Menyantuni mualaf juga merupakan keutamaan di sisi Rasulullah SAW. Bahkan pada zaman dahulu, mualaf bukan sekadar mereka yang baharu memeluk Islam; bahkan merangkumi mereka yang ‘ada hati’ dengan Islam. Zakat diberi, dengan tujuan menyuburkan rasa kasih mereka kepada Islam dan akhirnya mereka reda menyerahkan diri kepada Allah SWT sebagai muslim yang sejati.
 
Jejak Asnaf pada kali ini, sekali lagi melewati sebuah keluarga saudara baru yang ditimpa ujian kesakitan dan kemiskinan dan amat wajar dibantu. Mereka ialah pasangan Muhammad Idris bin Abdullah, 38 dan isterinya, Siti Maryam @ Moganeswari binti Abdullah, 34 dan dua anak comel mereka, Muhammad Adam, 4 dan Muhammad Arif, 2 bulan. Berasal dari Kemaman, Terengganu dan kini mendiami teratak serba sederhana di Sepang, Selangor.


 
“Alhamdulillah, kami menerima hidayah ini semasa di Terengganu pada tahun 2007. Kala itu, kebaikan hati budi dan akhlak yang dipamerkan oleh jiran tetangga dan kawan-kawan di sana, amat menarik hati. Mereka melayan kami dengan baik walaupun berbeza agama dan bangsa. Ia menjadi detik permulaan hidayah Allah menyapa kami.” Demikianlah sedikit perkongsian Maryam.
 
Idris kala itu berkerja membawa jentera kayu. Mereka kemudiannya dipelawa oleh seorang kenalan untuk berhijrah ke Selangor. Kononnya, mereka ditawarkan untuk mengendalikan sebuah kedai makan. Tertarik dengan pelawaan itu, Idris membawa keluarganya berpindah ke sini.
 
Tapi, tuah ayam di kaki nampaknya; tuah manusia tiada siapa terduga. Kedatangan mereka ke Selangor dengan harapan memulakan perniagaan tidak kesampaian. Entah mana malangnya, Idris disahkan mengidap penyakit batuk kering (TB) pula. Batuknya tidak berhenti-henti dan kemuncaknya batuk itu mengeluarkan darah, lalu di hospital doktor mengesahkan dia wajib menerima rawatan intensif untuk penyakit TB.
 
Akibatnya, Idris terjelepuk kesakitan dan gagal melakukan pekerjaan berat bagi menampung keperluan keluarganya. Kala itulah, isterinya Maryam tampil ke muka mencari kerja. Di rumah orang atau di kedai makan, dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan selagi halal demi sesuap makanan. Sementelah dirinya sendiri hamil. Maryam pasrah, kandungannya kian membesar sedang suami masih terlantar.
 
“Sewa rumah kami tertunggak ustaz. Pendapatan isteri pula sekadar cukup-cukup makan sahaja. Manalah kami mampu membayar sewa rumah ini.”
 
Penulis memerhatikan kondisi rumah sewa mereka, amat sederhana segalanya. Hanya ada sebuah peti TV yang kelihatannya naïf sekali, tiada perabot besar apatah lagi permaidani mahal melapisi lantai bagi mengalasi punggung kami. Anak kecil Idris juga hanya berlampin kain dan terbaring di atas tikar plastik mengelakkan sejuknya lantai simen. Tangannya bagaikan ingin menggapai penulis dan wajah comelnya menyejukkan mata yang memandang.
 
Alhamdulillah, mujur ada ahli masyarakat yang prihatin dengan keadaan keluarga mualaf ini. Mereka didatangi dan ditawarkan bantuan. Yayasan al-Jenderami misalnya, membuat kutipan derma bagi membantu sekadar termampu. Selebihnya, kes mereka dirujuk kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Mujurlah LZS sentiasa siaga dengan apa yang mendatang. Hakikatnya, berkerja dengan institusi zakat memang menuntut kepekaan. Lantaran asnaf juga adakalanya gagal ditebak bila muncul dan apa masalahnya.
 
“LZS memang ada memberi bantuan kepada kami. Pegawai LZS pun ada datang ke mari bersama Pegawai Unit Pembangunan Insan dari Pejabat Agama Islam Daerah Sepang. Mereka memberi borang dan kemudian, tidak lama selepas itu kami pun dibantu.”
 
Benar. Bulan April 2009 mereka dirujuk kepada LZS dan Mei 2009 juga, mereka sudah pun merasa nikmat wang zakat. LZS segera melunasi tunggakan sewa rumah selama enam bulan yang berjumlah RM2,450.00. Bahkan wang saraan bulanan turut diberi dengan nilai RM400 sebulan. Demi menambahkan keceriaan menjelangnya Ramadan dan hari lebaran pada tahun 2009, wang sebanyak RM650.00 turut dihulur sebagai belanja buat membeli baju baru dan barangan dapur yang perlu. Selain daripada itu, wang runcit dan kecemasan juga beberapa kali dihulurkan dan semuanya berjumlah hampir RM1,000.00.
 
“Kami memang bercadang untuk pindah ustaz dari rumah ini ustaz. Bahkan, rakan dari Yayasan al-Jenderami juga ada menawarkan kami agar berpindah ke sana. Maklumlah, kami masih baru memeluk Islam. Jika di Yayasan al-Jenderami, mereka memang menyediakan pengajian agama Islam secara ala pondok. Saya yakin, kami lebih aman tinggal di sana. Tetapi, kesihatan suami masih belum mengizinkan. Jadi, buat sementara waktu kami akan tinggal dahulu di sini. Nanti, insya-Allah kami akan berpindah juga ke sana.” Maryam meneruskan patah bicara sambil mengelek bayinya.
 
Di belakang rumah, penulis mendapati terdapat banyak pokok sayur. Ada pokok bendi, terung, cili padi, kesum dan sebagainya. Kebun sayur yang bersebelahan dengan tanah kebun kelapa sawit itu nampaknya subur sekali.
 
“Kebun sayur ini saya yang usahakan sendiri ustaz. Jadilah, dapat juga menampung sedikit sebanyak belanja dapur. Cili kecil itu misalnya, saya tanam kira-kira 100 batang pokok. Ada pemilik restoran dari luar yang akan datang membeli. Alhamdulillah, dapatlah sedikit wang belanja harian.” Idris mencelah sesekali.
 
Kini, fokus LZS adalah untuk memastikan kebajikan keluarga saudara baharu ini terus terpelihara. Ia adalah amanah Allah SWT, kerana menyantuni mereka dengan wang zakat, samalah ibarat menyalakan lantera menerangi gelapnya malam di teratak mereka yang kelam. Sejalur cahaya itulah daripada pelita zakat, yang diharap memberikan harapan buat mereka meladeni hari muka. Manakala, jaluran cahaya yang lain sewajarnya datang daripada seluruh umat Islam yang lain, kerana sememang hakikatnya, kita ini orang-orang beriman adalah bersaudara! Wallahua’lam.
 
Nota: Sebarang bantuan jika mahu dihulurkan boleh menghubungi Mohd. Shafazir Lazin di talian 012-301 2747.

Related Post

Leave a Reply