• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sifat 20, Tauhid Uluhiyyah dan…

Byadmin

Nov 25, 2009

Dr Muhammad Asri Zainul Abidin mendedahkan di harakahdaily bahawa ada individu yang turut mengheret nama YAB TGNA dan YBTGHH sebagai wahabi. Saya rasa terpanggil lalu menyalin alamat blog berkenaan dan mencari sendiri. Inilah yang saya jumpa…anda bisa mendapatkannya di sini.

Kesimpulan ringkas walaupun panjang tulisan asalnya, pengarang blog berkenaan iaitu Ustaz Hj Mahfuz bin Muhammad @ Hj Khalil (gambar di bawah) menghukumkan kaum Wahabi ini dianggap sesat lagi menyesatkan. Kata pengarang blog berkenaan lagi, ada beberapa premis yang menjadikan mereka sesat:

1. Akidah mereka yang menolak Sifat 20 dan sebaliknya membahagikan akidah kepada tiga, iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ was Sifat. Kata pengarang berkenaan, tauhid ini bercanggah dengan bawaan ahlus sunnah wal jamaah.
2. Golongan Wahabi mengembangkan fahaman Ibn al-Qayyim al-Jauzi dan Ibn Taimiyah yang dianggap tidak benar pada sisi Ahlus Sunnah.
3. Golongan Wahabi ini menolak banyak amalan dalam masyarakat yang sudah sebati, misalnya membaca Yasin pada malam Jumaat, bertahlil, bertalkin dan sebagainya.
4. Kecenderungan golongan Wahabi untuk menolak mazhab dan sebaliknya menyeru agar merujuk terus kepada al-Quran dan al-Hadis Nabi saw.
5. Dlln lagi.

Saya sebenarnya taklah pandai sangat dalam bab tauhid dan fikah ini. Namun, semenjak kecil lagi, sejak saya di sekolah rendah lagi, saya memang telah didedahkan dengan pengajian akidah menggunakan kaedah Sifat 20 ini. Saya masih ingat, tuk guru saya semasa itu ialah Allahyarham Pak Ngah Wahin, anak murid Allahyarham Tuan Guru Fakih Ismail seorang wali di Lenggong. Boleh dikatakan setiap malam opah, tok, mak, atih dan jiran-jiran akan datang ke rumah Pak Ngah Wahin di sebelah rumah opah untuk mengaji sifat 20.

“Ada pun sifat kamalah atau kesempurnaan Allah ta’ala itu tidak terhingga banyaknya. Namun yang wajib diketahui dengan tafsil atau terperinci ialah 20 sifat. Yang pertamanya Wujud, artinya ‘ada’ Allah ta’ala lawannya tiada. Adanya Allah tidak dikeranakan dengan suatu kerana. Dalilnya baharu alam ini. Keduanya qidam, ertinya ‘sedia’ lawannya ‘baharu’. Dalilnya baharu alam ini. Ketiga ialah Baqa’ iaitu ‘kekal’ lawannya ‘binasa’. Dalilnya baharu alam ini…”

Pak Ngah Wahin juga mencerakinkan lagi pengajian Sifat 20 dengan perbahasan mengenai pembahagian sifat-sifat Allah seperti Sifat Istighna’ Allah dan sebagainya. Saya belajar dan menghafalnya. Tapi saya kurang memahaminya dalam konteks bagaimanakah ia mampu ditransformasikan dalam amalan kehidupan seharian. Saya juga tidak reti untuk menjelaskannya kepada seseorang yang mahu memahami Islam atau dalam erti kata untuk tujuan berdakwah.

Sehinggalah apabila saya memasuki universiti dan mengikuti usrah dengan manhjah yang teratur dan lebih mendalam, saya didedahkan pula oleh golongan asatizah di UKM dan para nuqaba’ bahawa dalam pengajian akidah atau tauhid, kita membahagikannya kepada tiga. Pertama Tauhid Uluhiyyah, kedua Tauhid Rububiyyah dan ketiga Tauhid Asma’ wa as-Sifat. Pada mulanya juga, saya pun merasa pelik kerana sepanjang membuka kitab kuning di kampung dan mengikut tok-tok guru ala pondok, saya langsung tak pernah mendengar kalimah-kalimah ini. Asing sungguh. Yang hampir sama pun, Tauhid Asma’ wa as-Sifat, iaitu nama dan sifat-sifat Allah.

Namun, apabila saya memahami semua pembahagian tauhid ini, baharulah saya nampak tiada percanggahan sebenarnya. Tiada kontra langsung dengan ajaran Sifat 20 yang saya pelajari selama ini.

Tauhid Rububiyyah ialah bermaksud, kita wajib mengakui dan mempercayai bahawa ada Tuhan yang menjadikan dan mengatur perjalanan alam semesta ini, iaitu Allah SWT. Namun, tauhid ini sahaja tidak mencukupi, justeru di dalam al-Quran sendiri ada disebutkan bahawa golongan kafir sekali pun apabila ditanyakan kepada mereka siapa yang menjadikan alam ini, maka mereka menjawab Allah. Cuba lihat:

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar),” (al-Ankabuut: 61)

Sungguh pun mereka mengakui bahawa Allah SWT yang menciptakan alam semesta ini; namun hakikatnya mereka tetap tidak beriman kepada Allah SWT. 

Tauhid Uluhiyyah pula membawa makna, kita berakidah dengan sepenuh keyakinan dan kepercayaan bahawa Allah SWT itulah Tuhan yang berhak disembah, dipatuhi segala suruhan-Nya dan dipikul segala syariat-Nya atau dalam erti kata lain, Tuhan yang kita berserah diri sepenuhnya (sesuai dengan makna Islam yang bererti menyerah diri kepada Allah). Inilah maksud tauhid yang sebenar yang membezakan kita dengan golongan yang sekadar mengakui alam ini ciptaan Allah tetapi mereka tidak menyembah dan mematuhi syariat Allah SWT. Tauhid uluhiyyah inilah yang memberikan nilai perbezaan sebenar di antara kita dengan golongan berkenaan.

Apabila memahami tauhid ini, maka kita akan faham maksud sebenar akidah yang kita anuti. Jika kita mempelajari pengertian syahadah, maka syahadah itu hendaklah diikrarkan dengan lisan, ditasdikkan dengan hati dan dibuktikan dengan amal perbuatan. Maka, dengan Tauhid Uluhiyyah inilah, kita tahu bahawa amalan yang dikehendaki untuk disempurnakan sebagai pembuktikan syahadah itu, akan dinilai atau menjadi berharga apabila ianya mematuhi piawai Tauhid Uluhiyyah. Jika kita berbuat amal soleh sebagai pembuktian tetapi kerana manusia, maka ia bercanggah dengan Tauhid Uluhiyyah dan pastinya ia tertolak. Inilah yang saya fahami.

Tauhid Asma’ wa as-Sifat pula, saya memahaminya sebagaimana saya mempelajari Sifat 20. Ia adalah berkenaan mempercayai dan meyakini bahawa Allah SWT itu wajib bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang baik yang sempurna. Natijah daripada keimanan kepada Tauhid Asma’ wa as-Sifat ini pula, sebenarnya mengajar kita untuk mengenali siapa Allah SWT. Ini kerana, adalah pelik kita menyembah Allah SWT tetapi kita jahil dan tidak mengenali Allah, sedang itulah Tuhan kita.

Saya selalu menanyakan hal ini kepada anak-anak remaja… “Kamu kenal Tuhan?” Muka dan air wajah mereka selalu membayangkan ‘saya tidak kenal’.  Lalu saya menambah: “Kamu menyembah Allah kan? Allah Tuhan kamu bukan? Bagaimana kamu menyembah sesuatu yang kamu tidak kenal?” Saya tanya lagi: “Kenal abah dan mak kamu?” angguk! Tolong ceritakan tentang mereka… “Mak saya namanya Aminah binti Selamat, abah saya Ali bin Zakaria. Mereka berasal dari Kampung Jawang, Karai. Abah dulu belajar di UM, mak belajar di USM. Mak kerja pensyarah, abah kerja bank. Mak suka makan asam pedas abah suka kari kambing dan bla…bla…”

Nah! Itu baru kenal. Maka, kita kena cari jalan untuk mengenal Allah SWT. Sebab itulah pentingnya mempelajari Tauhid Asma’ wa as-Sifat ini. Lagi pun banyak kebaikannya yang kita akan perolehi. Misalnya, dalam bab sifat Mukhalafatuhu ta’ala lil hawadis: Wajib bersalahan Allah Taa’la dengan segala sesuatu yang baharu. Saya terangkan, nanti di saat kedatangan Dajjal, hanya mereka yang meyakini sifat ini sahaja akan selamat. Saya juga menceritakan bagaimana Syeikh Abdul Qadir al-Jailani terselamat dari tipuan Iblis dengan asbab kefahaman beliau terhadap sifat Allah taa’la ini.

Hmmm…panjang pula saya menulis di sini. Saya ulang semula, saya tak reti sangat nak mengulas siapa betul siapa salah. Bagi saya, Islam itu mudah. Firman Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu,” (al-Baqarah: 185)

Nabi SAW pun ada menukilkan: “Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply