• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

2.5% yang menjamin keberkatan

Byadmin

Jun 7, 2010

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan pada siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” (Al-Baqarah: 274)

Fenomena keberkatan sering dikesampingkan tanpa sedar oleh ramai orang. Pengalaman penulis di arena zakat ini, sering benar terjumpa dengan manusia yang berkeluh-kesah tentang kehidupan. Gaji besar tetapi tidak cukup-cukup. Anak-anak menderhaka dan tidak mendengar kata. Suami liar di luar atau isteri sering nusyuz kepada suami. Hakikatnya, ini adalah gejala hilangnya keberkatan. Dalam Islam, ada caranya untuk mencari keberkatan yang ‘hilang’ itu.

Itulah 2.5 peratus (selepas ini ditulis 2.5%). Apakah maknanya? Sebenarnya 2.5% atau menyamai 1/40 itu adalah kadar zakat harta di dalam Islam. Jadi, bagaimanakah 2.5% zakat itu mampu menyumbang kepada keberkatan? Jawapannya mudah, kerana zakat adalah suruhan Allah. Apabila Allah SWT mengarahkan sesuatu syariat untuk dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah zakat menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama sesama insan. Maka, dari situlah lahirnya bibit keberkatan seiring sifat ihsan yang kita amalkan.

“…berkat adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak pada mata namun dapat dirasai…”

Jika dikaji, berkat adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak pada mata namun dapat dirasai di jiwa. Sebagai contoh, apabila rumahtangga yang dibina aman damai, penuh sakinah. Si isteri amat menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu ayah dan suami sendiri menjadi suami mithali, maka itu semua adalah pertanda adanya keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan seharian, segala urusan dipermudahkan Allah dan sebagainya lagi. Ini semua adalah indikator keberkatan hidup yang mungkin telah dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan pada siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” (Al-Baqarah: 274)

Maka, kita sewajarnya berusaha mencari keberkatan agar hidup menjadi bahagia. Allah SWT sudah menjamin, bahawa tiada kekhuatiran kepada mereka yang suka berkongsi kekayaan. Bahkan hati mereka akan sentiasa dibaluti keceriaan dan dijauhi kesedihan. Tiada makna wang banyak jika hati merana, ditinggalkan pasangan, disingkirkan daripada keluarga sendiri atau hanya didatangi kerana harta semata. Habis ‘madunya’, ditinggalkan keseorangan semula.

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5% daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperolehi berkat daripada Allah SWT. Itulah zakat pendapatan kita, yang sering dianggap ‘tidak mengapa’ diabaikan. Walhal jika sudah zakat namanya, ia adalah wajib dan berdosalah jika sengaja mengacuhkannya begitu sahaja.

Hakikatnya juga, Allah SWT sebenarnya Maha Tahu bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah minyak petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada Allah SWT. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan di dalam masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukkan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrim dalam berharta, seperti si Qarun yang dibenamkan Allah SWT ke dalam bumi dahulu kala. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan,” (al-A’raf: 31).

Sebaliknya, Allah SWT amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Firman Allah lagi: “Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik,” (al-Baqarah: 195)

Kesimpulannya, zakat adalah salah satu jalan daripada pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkatnya sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya. Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian? Hidup pula di akhirat kelak terhindar daripada bakaran dan ditempatkan di syurga penuh kenikmatan? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.

Bak kata hadis nabi: “Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita bisa meraih bahagia di dunia dan juga di akhirat nanti. Wallahua’lam.

Nota: Artikel ini disediakan untuk sisipan Rehal, Sinar Harian

Related Post

Leave a Reply