• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Apakah makna zakat galian & Masih adakah ia pada hari ini?

Byadmin

Jun 9, 2010

Zakat galian adalah antara enam jenis zakat harta yang asas di dalam Islam. Ia disebut secara jelas di dalam dalil naqli, misalnya: “Dan dalam rikaz (zakatnya) satu perlima,” (Hadis riwayat Bukhari).

Fuqahak membahagikan zakat harta galian kepada dua jenis, iaitu kunuz dan ma’adin. Kunuz bermaksud harta milik orang jahiliyah zaman dahulu kala yang tertanam di dalam perut bumi.

Zakat harta kunuz dikeluarkan dengan kadar 1/5 daripada harta itu dan haulnya adalah semasa harta berkenaan ditemui. Tiada nisab dikenakan ke atas harta kunuz, yakni walaupun sedikit masih dikenakan zakat sebanyak 1/5 dan inilah pandangan fukahak seperti Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Syafie menurt qaul qadimnya (Hukum Zakat, halaman 411).

Pada sisi Syafie, kunuz hanya tertakluk kepada barangan berasaskan emas dan perak sahaja, manakala jumhur ulamak tidak membataskannya kepada emas dan perak, yakni ia meliputi semua jenis harta.

Maka, jika kita menerima pandangan Syafie, yakni kunuz hanyalah emas dan perak, maka pada saat ia ditemui ia akan dikenakan zakat sebanyak 1/5. Selepas dari setahun, jika emas dan perak itu masih dimiliki, maka dikenakan zakat emas dan perak ke atasnya dengan kadar 2.5 peratus. Manakala jika harta kunuz itu bukan emas dan perak, ia hanya akan dikenakan zakat kunuz sekali sahaja dan tiada lagi zakat ke atasnya selepas itu.

Manakala zakat harta ma’din pula merujuk kepada harta galian yang diciptakan oleh Allah SWT secara alami (semula jadi) dan berada di dalam perut bumi, misalnya emas, perak, bijih timah dan minyak petroleum. Ulamak fikah berbeza pendapat di sini. Di sisi Hanbali, disyaratkan nisabnya mestilah menyamai 20 misqal emas atau 200 dirham perak dan baharulah dikeluarkan zakatnya 1/5. Haulnya juga adalah semasa ia ditemui.

Bagi pendapat Syafie dan Zhahiri, mereka hanya mengenakan zakat galian ke atas emas sahaja dan tidak kepada harta galian yang selain daripada itu sebanyak 1/5. Manakala Hanafi tidak meletakkan sebarang syarat jenis galian dan nisab, yakni wajib dikeluarkan 1/5 daripadanya sebagai zakat apabila sahaja ia ditemui dan haulnya juga adalah semasa ia dijumpai.

Merujuk kepada soalan di atas, hari ini jika seseorang itu menjumpai harta galian (rikaz) ini, maka hukum asal zakat ke atasnya masih lagi terpakai. Ia bermakna, seseorang yang tiba-tiba menggali di tanah miliknya dan terjumpa harta karun (yakni kunuz), maka wajiblah dia mengeluarkan zakatnya sebanyak 1/5 daripada harta itu setelah dia menjualnya atau dia menilainya dengan nilai wang semasa. Samalah juga dalam konteks galian yang berharga misalnya emas, bijih timah mahu pun minyak petroleum, maka orang yang menjumpainya wajiblah dia mengeluarkan zakat ke atasnya sebagai harta ma’din. Insya-Allah, kita akan mengupas lanjut persoalan ini pada siri akan datang. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my

Nota: Artikel ini disediakan untuk ruangan Bicara Zakat, sisipan Mega, Utusan Malaysia

Related Post

Leave a Reply