• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Cukai tidak menggantikan zakat

Byadmin

Feb 18, 2011

Soalan: Saya telah menjelaskan cukai pendapatan saban tahun. Adakah ia sudah memadai dan saya tidak perlu lagi menunaikan zakat, khususnya zakat pendapatan?

Jawapan: terima kasih di atas pertanyaan tersebut. Untuk makluman, cukai dan zakat adalah dua perkara yang amat berbeza di dalam Islam.

Jika ditinjau kepada polisi Islam, Rasulullah SAW tidak pernah mengenakan sebarang jenis cukai kepada umat Islam. Bahkan baginda menegah cukai dilaksanakan. Atas dasar itulah, fuqahak seperti Syaikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali, Syaikh al-Albani dan ramai lagi menegaskan bahawa cukai tidak boleh dikenakan ke atas orang Islam.

Hal ini bersandarkan kepada banyak dalil daripada hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya hadis daripada Fatimah binti Qais, bahwa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada kewajiban dalam harta kecuali zakat,” dan hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah, nombor 1779.

Pada zaman dahulu, cukai di dalam Negara Islam hanyalah dikenakan kepada non-muslim sahaja dan kadarnya tidaklah melebihi 10 peratus. Di antara cukai yang diperkenalkan kepada non-Muslim di dalam Negara Islam ialah jizyah atau cukai individu, kharaj atau cukai tanah dan usyur atau cukai perdagangan.

Dalam Islam, pemerintah hanya diizinkan mengutip dharibah, yang hanya dikenakan kepada orang-orang Islam yang kaya, pada saat Baitul Mal sudah kekeringan sedangkan pada saat itu negara amat memerlukan dana demi maslahah ummah dan negara (misalnya membeli kelengkapan perang).

Berbalik kepada persoalan di atas, oleh kerana pihak Negara sudah mengenakan cukai, maka sebagai warganegara kita masih perlu menunaikannya. Walau bagaimanapun, cukai itu sama sekali tidak boleh menghapuskan kewajipan zakat yang menjadi rukun kepada setiap muslim.

Apa yang perlu, tunaikan zakat terlebih dahulu dan selaraskan dengan cukai yang telah dikenakan. Umat Islam di Malaysia bertuah, kerana setiap sen yang dizakatkan boleh direbatkan ke atas cukai. Ini boleh mengurangkan tekanan kewangan ke atas umat Islam, kerana wajib membayar kedua-duanya dalam satu masa.

Kesimpulannya, cukai sama sekali tidak menghapuskan kewajipan berzakat seseorang, apabila telah cukup segala syarat wajib zakat ke atas mereka. Wallahua’lam.

Sekali imbas, cukai ini adalah adil kerana ia sejajar dengan nilai zakat yang dikenakan kepada umat Islam, iaitu 2.5 peratus sehingga 10 peratus juga.

Jika dilihat kepada polisi Islam, maka wajiblah puan membayar zakat kendati pun puan sudah membayar cukai. Ini kerana, zakat itu hukum Allah yang sudah qatie (mutlak) manakala cukai pula adalah suatu yang mendatang dan dikenakan pun hanya kepada non-muslim.

Walau bagaimanapun, memandangkan puan tidak juga menyatakan, negara itu negara umat Islam atau sebaliknya, maka saya mengandaikan bahawa negara itu bukanlah Negara Islam yang meraikan kewajipan umatnya.

Di sini, saya berpandangan bahawa puan hendaklah menilai kembali keberadaan puan di negara berkenaan. Adakah ia sesuatu yang perlu atau puan mempunyai alternatif untuk keluar dari negara berkenaan dan berkerja di Negara Islam atau negara lain yang meraikan keperluan umat Islam dalam hal-ehwal zakat.

Ini bersesuaian dengan pandangan ulamak, bahawa adalah ditegah seseorang Islam untuk sengaja mengambil jalan untuk tinggal di dalam negara kufur tanpa keperluan, kerana ia boleh merosakkan dirinya. Melainkan, ada tujuan tertentu seperti mahu meyebarkan dakwah Islam kepada non-Muslim dan lain-lain tujuan yang makruf, maka baharulah dibolehkan.

Itu pun dengan syarat, dia dapat menjamin keimanannya tidak rosak. Hal ini boleh puan rujuk dalam fatwa ulamak di dalam Fatawa Lajnah daimah lil buhuth ilmiyah wal ifta. (2/69) berdasarkan firman Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat 97-98 dan juga hadis Nabi Muhammad SAW riwayat daripada Abu Daud (nombor 2645) dan riwayat at-Tirmidzi nombor 1604 dan 1605.

Kesimpulannya, daripada aspek hukum, saya tidak melihat puan telah terlepas daripada kewajipan zakat, kerana ia masih merupakan kewajipan ke atas harta seseorang Muslim dengan syarat harta itu mencapai syarat wajib zakat, iaitu dimiliki oleh seorang muslim, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haulnya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply