• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

BEZA ANTARA PUSAT ZAKAT – BAITUL MAL

Byadmin

Jun 27, 2012

Soalan: Saya dapati dalam sejarah, harta zakat akan dimasukkan ke dalam sebuah perbendaharaan negara yang dinamakan sebagai Baitul Mal. Walau bagaimanapun, amalan di Malaysia khususnya, saya melihat wujud dua institusi yang berbeza, iaitu institusi zakat dan institusi baitul mal. Maka, bolehkah diberikan penjelasan mengenai kedua-dua institusi ini agar umat Islam memahami mengenainya?

Jawapan: Terima kasih kerana mahu mengajukan persoalan dan mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu memberikan pencerahan mengenai kewujudan dua buah institusi penting dalam Negara Islam ini.

Apakah baitul mal? Secara mudahnya, baitul mal diterjemahkan sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis harta Negara Islam. Dalam definisi lebih tepat, baitul mal adalah institusi harta dan kewangan induk dalam sesebuah Negara Islam dan harta yang terkumpul di dalamnya merupakan khazanah yang dimiliki oleh semua rakyat yang tinggal dan menetap di bawah naungan sesebuah kerajaan Islam berkenaan (rujuk Dr. Hailani Muji Tahir, kertas kerja Baitul Mal dalam Prosiding Konvensyen Baitul Mal Kebangsaan 2009).

Apakah pula institusi zakat? Secara umumnya intitusi zakat adalah sebuah badan pengurus zakat yang dilantik oleh sesebuah pemerintah Islam di sesebuah negeri atau negara berkenaan yang akan menata kelola hal ehwal kutipan dan agihan zakat serta segala yang berkaitan dengan asnaf zakat. Dalam kalimah yang lain, institusi zakat juga dikenali sebagai institusi amil dan di Malaysia, ia dikenali sebagai pusat zakat, lembaga zakat atau di sesetengah negara ia dikenali lembaga amil zakat.

Apakah sumber masukan dana dan harta ke dalam baitul mal? Maka, di sini sumber masukan dalam baitul mal hakikatnya terdiri daripada dua jenis, iaitu harta khas dan harta am. Harta khas adalah zakat (zakat harta dan zakat fitrah) dan harta am terbahagi pula kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Harta am kerajaan seperti fai’ (rampasan setelah musuh menyerah diri), ghanimah (rampasan perang), ma’adin (galian berharga seperti petroleum) dan rikaz (harta karun atau berhara milik jahiliyah)

2. Harta percukaian seperti kharaj (cukai tanah), ‘usyur (perdagangan), jizyah (individu), sulh al-jizyah (perlindungan) dan lain-lain bentuk cukai kerajaan

3. Harta kebajikan, iaitu harta wakaf, perwarisan, wasiat, nazar, kaffarat (denda), sadaqah, luqatah (jumpaan) dan lain-lain

Manakala daripada aspek masukan sumber dana dan harta ke dalam institusi zakat, maka ia hanyalah tertakluk kepada harta-harta zakat, seperti zakat emas, perak, pertanian, penternakan, galian, perniagaan, pendapatan dan sebagainya lagi serta termasuklah juga di dalamnya pembayaran daripada zakat fitrah.

Siapakah pula penerima atau orang yang berhak menerima manfaat baitul mal? Maka, seperti yang telah dijelaskan, baitul mal adalah hak milik Negara Islam, maka seluruh rakyat di dalam negara berkenaan termasuklah orang-orang bukan Islam yang mendiami negara berkenaan juga, layak menerima manfaat daripada harta baitul mal.

Dalam kes ini, ia bermaksud penggunaan dana baitul mal adalah meluas dan mencakupi pelbagai manfaat dan kebajikan umum serta pembangunan fizikal negara. Oleh itu, dana baitul mal boleh digunakan untuk membina masjid, membina jalan raya, membina sekolah, menyelenggara keperluan kesihatan, pendidikan dan sebagainya lagi, termasuklah menyediakan kelengkapan peperangan dan pertahanan negara.

Manakala, penerima atau golongan yang berhak kepada harta zakat (disebut mustahiq atau asnaf zakat) itu sudah pun tertentu, iaitu lapan golongan seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas di dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 60, iaitu fakir, miskin, amil (pengurus zakat), mualaf (saudara baru yang baharu memeluk Islam dan ada keinginan memeluk Islam), riqab (hamba yang ditawarkan tebusan), gharimin (orang berhutang), fisabilillah (peperangan dan segala jenis usaha ke arah mendekatkan diri kepada Allah) dan ibn sabil (pemusafir yang keputusan belanja).

Persoalan yang mungkin perlu dijelaskan lagi ialah, kedudukan kedua-dua institusi ini yang suatu masa dahulu disatukan dan hari ini telah dipisahkan, maka apakah natijahnya?

Sebenarnya, perkara ini berlaku adalah untuk menambahkan kecekapan fungsi bagi kedua-dua institusi berkenaan. Lagi pun, negara hari ini sudah mempunyai sistem perbendaharaan negara yang tersendiri dan kewujudan baitul mal tidak lagi seperti perbendaharaan negara seperti pada zaman silam.

Bahkan jika diperhatikan, di Selangor misalnya pihak Majlis Agama Islam Selangor telah turut memperkasakan institusi wakaf apabila menubuhkan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Tidak mustahil, suatu hari nanti institusi wakaf juga akan mampu berperanan dengan efisien seperti mana institusi zakat dalam menambah baik pelayanan terhadap umat.

Hakikatnya sudah terbukti betapa pengasingan di antara baitul mal dan institusi zakat memberikan natijah yang lebih baik bagi kedua-duanya, terutamanya kepada perkembangan institusi zakat. Ini kerana, institusi zakat mampu lebih fokus dalam usaha meningkatkan sumber dana dan harta zakat, dan di samping itu institusi zakat juga mampu menjadi lebih fokus menyediakan perkhidmatan agihan yang lebih cemerlang kepada asnaf zakat.

Oleh itu, diharapkan penerangan ringkas ini mampu memahamkan umat Islam mengenai kewujudan baitul mal dan institusi zakat serta peranannya dalam kehidupan umat. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila e-mailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau boleh juga layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my untuk maklumat lanjut.

Related Post

Leave a Reply