• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Adab muslim dalam berkerja

Byadmin

May 6, 2011

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Berkerja adalah suatu keperluan. Dengan berkerja, seseorang mampu membina kehidupan. Berkerja juga membolehkan kita mencipta kekayaan dan dengan kekayaan itu, dapat mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam kancah kemiskinan. Sebab itulah, umat Islam berulang kali digesa oleh Allah SWT agar berkerja dan berusaha, seperti mana disebutkan Allah di dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10: “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.”

Namun begitu, persoalan mencari untung dalam pekerjaan sering benar menjerat manusia sehingga ada yang sanggup terdorong ke kancah yang salah. Mutakhir ini, kita disebutkan misalnya isu meminta dan member duit kopi atau makan suap, yakni rasuah sebagai ‘minyak pelincir’ dalam sesuatu projek semakin lumrah di mana-mana. Hinggakan kalimah ‘masyuk’ sudah sering digunakan di mana-mana, sebagai simbol bahawa perlunya memberi rasuah demi mendapatkan habuan projek dan sebagainya.

Pengalaman penulis sendiri berkomunikasi dengan golongan usahawan yang terlibat dalam projek, mereka sering mengeluh betapa perlunya menyediakan peruntukan tertentu yang bersifat ‘minyak pelincir’ ini demi memudahkan urusan dalam perniagaan. Bahkan tanpa rasa malu, seorang kenalan non-muslim pernah mengaku, beliau tidak gusar ‘menghulurkan’ sedikit umpan demi menjayakan perniagaan. Baginya, rasuah yang diberi adalah sebagai pelaburan demi mencari laba pada masa hadapan. Astaghfirullah!!!

Hakikatnya, dalam Islam, setiap pekerjaan mesti menjaga adab tata susilanya. Semua pekerjaan mestilah bersifat mematuhi syariat Allah SWT. Pekerjaan yang zahirnya baik; namun dalam perlaksanaannya melanggar perintah Allah SWT, maka ia tidak dianggap pekerjaan yang mulia apatah lagi halal di sisi Islam. Ambil sahaja kaedah Robin Hood yang kerjanya merompak kekayaan golongan kaya untuk diagihkan kepada orang-orang miskin, meskipun zahirnya Robin Hood dianggap membantu orang; namun ia tetap menzalimi orang lain dan pekerjaan itu tidaklah dianggap pekerjaan mulia di sisi manusia yang teraniaya. Yakinlah, ia juga tidak dianggap mulia di sisi Allah SWT.

Sebab itu, Islam memberikan garis panduan. Dalam ayat 10 surah al-Jumu’ah di atas, kita diperingatkan agar bertebaran di muka bumi Allah SWT untuk mencari sebanyak mana pun kurniaan Allah. Maknanya, Allah tidak sekali pun melarang kita mencari kurniaan Allah, buatlah apa sahaja pekerjaan, carilah rezeki di mana-mana, di darat mahu pun di lautan, ambil dan rebutlah setakat mana kemampuan kita, Allah izinkan buat kita.

Namun, pada ayat ke-9 di dalam surah yang sama, kita harus melihat bahawa Allah SWT sudah pun menegaskan: “Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Ulama mufassirin menegaskan, ayat ini melarang umat Islam untuk meneruskan jual-beli mereka apabila tibanya seruan daripada mu’azzin agar bersegera menunaikan solat. Dalam kes di atas, apabila khatib sudah naik ke atas mimbar dan para peniaga masih terus menjalankan urusan perniagaan, maka ia sudah melanggar hukum Islam. Pemerintah berhak mengarahkan mereka menutup kedai ataupun dikenakan hukuman atas kedegilan itu.

Ini menunjukkan, Islam mempunyai tatacara dalam perniagaan, iaitu mematuhi perintah Allah. Misalnya, tidak boleh terlalu ralit berniaga dan hanya mengejar keuntungan sehingga mengabaikan segala tuntutan ibadah yang lain. Asyik berniaga siang dan malam, sehingga tidak perduli lagi halal dan haram. Mengabaikan kewajipan solat lima waktu hanya kerana alasan sibuk meraikan pelanggan dan mesyuarat saban petang. Melupakan kewajipan kepada ibu bapa hanya kerana sibuk berniaga ke luar negara dan sebagainya. Tidak mengendahkan percampuran bebas lelaki dan perempuan, hanya kerana projek yang diharapkan. Semua ini adalah cirri-ciri pekerjaan yang tidak mengundang barakah Tuhan.

Kita wajar melihat, barakah adalah elemen penting dalam pekerjaan kita. Allah melimpahkan barakah sehingga dengannya, kehidupan yang susah sekali pun mampu berubah menjadi mudah. Ini semua atas kehendak Allah, Tuhan yang mencipta manusia daripada tiada kepada ada. Andai manusia meyakini kekuasaan Allah dalam hal barakah, semua pekerjaan akan dilaksanakan sesuai dengan perintah.

Natijahnya, tiada lagi kedengaran orang menghulur wang demi melicinkan projek, kerana Allah lebih berhak melicinkan sesuatu termasuklah ‘poket’ orang yang memberi sehingga habis tidak berbaki.

Maka, bukankah mudah sebenarnya berkerja dalam Islam. Laksanakalah apa sahaja, biar pun zahirnya nampak seperti kecil sahaja habuan diperolehi; namun barakah Allah yang mengiringi, mampu membesarkan manfaatnya sehingga tidak habis dikongsi. Itulah lestari dalam pekerjaan yang didambakan oleh setiap insan jika di hatinya ada iman. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply