• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Adakan rumah terbuka dengan hati terbuka

Byadmin

Sep 22, 2010

Lebaran masih berbaki. Puasa enam masih dijalani. Hujung minggu, memenuhi pula undangan demi undangan. Rumah terbuka menjadi satu trend hari ini. Kita akan dijemput dan kita ke sana pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Jika kita tidak ke rumah orang berkenaan sesuai dengan jemputan, maka kita sekadar berziarah sahaja. Mungkin kita tidak akan dijamu dengan hidangan enak dan istimewa. Sekadar secangkir kopi dan kuih raya sahajalah jawabnya.

Ada orang bertanya saya, apakah hukumnya jika kita hanya menunggu dijemput seseorang baharu berkunjung ke rumahnya? Sebenarnya, jika niat kita berziarah demi mengukuhkan ukhuwwah, bila-bila masa pun, maka insya-Allah akan beroleh pahala. Cumanya, dalam kondisi hari ini, adalah lebih baik jika kita menetapkan dahulu masa dan tarikh agar tidak mengganggu urusan tuan rumah yang bakal kita kunjungi. Maklumlah, hari ini orang sibuk dengan pelbagai urusan. Tidak sama seperti di kampung, terjah pun tidak mengapa.

Lagi pun, dengan kemudahan teknologi komunikasi, maka tidak sukar menghubungi tuan rumah bagi menyatakan niat untuk berziarah. Maka, tuan rumah akan lebih bersedia menanti kehadiran kita. Biasalah, adat menerima tamu maka mestilah dilayan dengan baik. Rumah ditata cantik dan tidaklah stoking pun berterabur di atas meja dan di bawah kerusi. Bayangkan betapa kelam-kabutnya jika tuan rumah menerima tamu tanpa duga.

Itu belum diambil kira kesediaan menerima tetamu. Boleh jadi tuan rumah dalam kesusahan, mungkin duitnya dah habis beraya sakan sampaikan nak beri duit raya pun dah sengkek gila, mungkin gula dan kopi di rumahnya pun dah habis, mungkin itu dan mungkin ini. Pokoknya, ada sesuatu insiden yang menghalang tuan rumah menerima kehadiran kita dengan tiba-tiba. Maka, memberitahu mereka atau mereka memberitahu kita lebih awal, rasanya lebih elok.

Lagi pun, kita dapat mengelakkan kejadian rumah yang dituju kosong tanpa penghuni kerana mereka juga keluar berhari raya. Pasti tidak berbaloi menghabiskan masa dan tenaga; tetapi rumah kosong pula menanti kita. Maka, dengan adanya janji temu terlebih dahulu, perkara seperti ini mampu dikurangkan risikonya, insya-Allah.

Saya juga melihat, seseorang yang mengadakan rumah terbuka maka sebenarnya mereka menghidupkan sunnah rasul. Nabi SAW juga suka mengadakan kenduri, yakni menjemput orang datang ke rumah dan menjamu makanan. Pada saat awal dakwah baginda, nabi mengadakan jamuan di rumahnya lantas menyampaikan dakwahnya.

Tidak salahkan, jika kita meniru apa yang nabi buat. Mungkin pendekatan sedikit berbeza, tapi memberikan jamuan kepada orang adalah sedekah. Adalah lebih baik jika sebelum menikmati hidangan, diadakan sedikit pengisian. Tak keberatan rasanya jika tetamu menerima tazkirah sekadar lima minit. Atau boleh sahaja mereka disajikan dengan tayangan VCD@ DVD ceramah atau nasyid yang bersifat hiburan tetapi menginsafkan. Jika mahu, tuan rumah boleh mencipta suatu suasana santai tetapi mendorong setiap orang ingat kepada Allah. Misalnya, diletakkan tazkirah pendek di sudut-sudut tertentu. Alahai…nak seribu dayakan?!

Di samping itu, tuan rumah boleh merancang agar majlis rumah terbuka di rumahnya itu menjadi medan menautkan kembali ukhuwwah dalama kalangan sahabat-handai mahu pun sanak-saudara yang jauh terpisah. Bayangkan, kita dapat mengumpulkan kembali sahabat yang sudah lebih sedekah terpisah. Bukankah itu suatu yang baik dan mulia. Ukhuwwah yang terbina diteruskan dan siapa tahu, mungkin ia menyatukan mereka yang pernah bergaduh dan berseteru.

Rumah terbuka kita itu juga akan menjadi lebih bermakna jika kita mampu menjadikannya suatu platform untuk kebaikan yang berkesinambungan. Misalnya, diambil senarai nama semua yang hadir dan dibuat sebuah direktori. Kita kumpulkan maklumat dan sebagainya lagi dan siapa tahu, ia berguna pada kemudian hari.

Tetapi, jangan sampai ketika mengadakan rumah terbuka itu, kita berniat mahu mempamerkan kelebihan yang kita punyai. Misalnya, rumah dicantik dan diindahkan agar mendapat pujian, makanan enak disajikan dengan harapan mendapat kredit atau diadakan rumah terbuka dengan niat ‘memerangkap’ pengunjung dalam perniagaan kita…alah, kononnya ia strategi perniagaan. Jangan sampai orang akan berkata-kata di belakang kita pula nanti.

Atur dan rancang serta realisasikanlah rumah terbuka dengan hati yang terbuka. Insya-Allah, kita akan menemui keindahannya…

Related Post

Leave a Reply