• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Aduhai Muslimah…Sudah menepati syariatkah pakaianmu?

ByFameThemes

Apr 14, 2009

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (al-A’raf: 26)

Saya teringat isu menutup aurat di kalangan muslimah. Suatu masa dahulu, semasa saya masih kecil, jarang muslimah yang mahu bertudung. Emak dan opah saya pun tidak bertudung. Bahkan ustazah saya semasa di darjah satu pun, hanya menutup kepalanya sahaja. Leher jinjangnya masih kelihatan.

Hmm…Jika saya sudah remaja…mungkin ia boleh menjejaskan konsenstrasi pembelajaran saya. Maklumlah…leher itu adalah aurat. Tapi apa nak buat, jika ustazah pun membuka aurat!

Kemudian, timbul suatu era di mana, muslimah dilanda budaya menutup aurat. Ia berlaku lewat 1970-an dan mencapai kemuncaknya semasa 1990-an. Era di mana wanita berpurdah, memakai tudung labuh dan berjubah. Era itu berlaku setelah berjayanya revolusi Islam di Iran. Pengaruh Ayatollah Khomenei bertiup kencang merentasi sempadan dan menyapa umat Islam. Maka, gaya wanita Iran yang berkerudung dan berjubah hitam, turut menempias ke Malaysia.

Tahun-tahun tersebut juga, lahirnya beberapa buah jamaah yang mendokong kuat pemakaian cara Islam ini. Jamaah al-Arqam misalnya, amat terkenal dengan purdah dan jubahnya. Itu bagi muslimah. Bagi anggotanya yang lelaki, mereka mengenakan serban tebal dan kopiah keras serta jubah berwarna gelap.

Bahkan, jemaah lain seperti Tabligh juga jika diperhatikan, isteri para karkunnya mengenakan jubah dan purdah. Begitu juga di kalangan ahli jamaah politik seperti PAS, yang boleh dilihat di perkampungan Islam mereka, di pondok-pondok dan madrasah-madrasah bahkan hingga ke universiti, amat sinonim dengan jubah, tudung labuh dan ada yang berpurdah.

Saya sendiri menyaksikan, jemaah lain yang agak moden dan moderat seperti Jemaah Islah Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia, para muslimah mereka masih setia dengan jubah dan tudung labuh. Maknanya, pemakaian busana yang menutup aurat begitu ketara sekali.

Hari ini, timbul persoalan mengenai corak pemakaian para muslimah kita. Adakah ia masih menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh syariat ataupun sekadar memenuhi adat. Lebih malang, berpakaian menutup aurat mengikut fesyen terkini, bukannya sunnah yang Islami.

Saya memerhatikan, memang benar pendapat yang menyatakan, wanita Islam hari ini sudah mengkesampingkan budaya berpakaian yang Islami. Ini kerana, ada yang menutup kepala; tetapi leher jinjangnya jelas tertera. Ada yang bertudung elok, lengan gebunya putih menjolok. Ada yang menutup bahagian atas, dah cantik dah…tapi, kainnya pula terbelah. Ada yang tutup semua dah sempurna, sayangnya ketatlah pula.

Inilah masalahnya. Adakah gejala ini timbul kerana kekeliruan dalam tatacara berpakaian yang dianjurkan Islam? Ataupun kerana pengaruh fesyen terkini yang menyebabkan mereka tergiur sama mencubanya? Ataupun semua ini berlaku, sebab memang diri sendiri sudah tidak kisah dengan aturan Islam dalam menutup aurat menerusi berpakaian?

muslimah

Ada juga pihak-pihak tertentu memberikan hujah, Islam tidak rigid dalam menentukan jenis pakaian. Bahkan Islam meraikan perubahan zaman, keperluan tempat dan keadaan.

Ya, saya menyokong pendapat ini. Memang, jika anda merujuk kepada hadis-hadis nabi SAW bahkan ayat-ayat al-Quran, tidak akan terjumpa ayat seperti ini: “Maka tutuplah sampai ke tumit kaki, berwarna hitam atau kelabu, jangan ketat-ketat hingga nampak bukit dan bukau, juga janganlah nipis, maka pakailah jubah yang kelabu, hitam atau coklat warnanya.”

Saya bukan sengaja mereka-reka ayat…nau’zubillah! Namun, fukahak sendiri menyatakan, tiada ditetapkan apakah pakaian bagi muslimin dan muslimah. Yang ada ialah garis panduan.

Maka, inilah yang perlu dititik beratkan oleh umat Islam apabila berpakaian. Patuhilah kaedahnya. Mari kita tengok sepintas lalu, apakah corak pakaian yang dianggap mematuhi piawaian Islam:

1. Menutup aurat. Pakaian itu wajib menutup aurat, sama ada bagi muslimin mahu pun muslimah. From head to toe. Maknanya, tak kisahlah nak pakai jubah, baju labuh (gamis), abaya dan sebagainya asal sahaja ia menutup aurat.

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteriisterimu, anak-anak perempuanmu dan isteriisteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. (al-Ahzab: 59)

2. Tidak menzahirkan bentuk tubuh badan muslimah. Maknanya, tidak nipis dan tidak nampak lekuk-lekak yang ada pada badan. Jika ada bisul pun nampak, tak tahulah nak kata apa. Ini kerana, apa yang ada pada tubuh wanita itu memang sentiasa menarik perhatian.

Nabi pernah menegur Asma’ bt Abu Bakar (adik ipar nabi) sambil memalingkan wajahnya, kerana Asma’ tidak menutup aurat dengan sempurna dan bajunya nipis. Kata nabi, apabila seseorang perempuan sudah cukup umur, maka semua tubuhnya adalah aurat melainkan muka dan tapak tangannya (hadis riwayat Abu Daud)

3. Warnanya perlu sederhana, yakni tidak menarik perhatian. Ada sesetengahnya berbaju kurung, tapi warnanya amat garang. Selendang dah labuh, tapi warnanya…dari jauh sudah kelihatan. Maka, dari satu aspek ia sudah mampu menarik perhatian lelaki. Wanita memang objek lelaki, maka warna yang menarik pastilah tidak digalakkan oleh Islam.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka …” (an-Nur: 31)

4. Ada juga yang memang dah sempurna pemakaiannya, tapi mengenakan bau-bauan harum yang terlalu kuat. Ini memang ditegah sebenarnya, kerana haruman yang terlalu kuat merangsang nafsu lelaki. Apatah lagi jika kebetulan, lelaki berkenaan mempunyai nafsu syahwat yang cepat terangsang, mungkin kerana isterinya cuti bersalin dan sebagainya. Sebab itulah Islam menegah, kerana boleh mengundang padah!

Nabi bahkan menegah wanita yang solat berjamaah di masjid jika memakai bau-bauan: “Siapa-siapa diantara wanita yang memakai harum-haruman, janganlah ia turut solat Isyak bersama kami.” (HR. Muslim, Abu Daud dan Nasa’i dari Abu Huraira RA, isnad hasan).

Itu dalam solat. Bagaimana jika sengaja memakai bau-bauan untuk menarik perhatian orang lain, khususnya lelaki…kata nabi:

“Seorang perempuan yang memakai minyak wangi kemudian ia keluar, lalu ia melewati suatu kaum (orang banyak) supaya mereka mendapati (mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina (dan mata lelaki yang mengekorinya juga dianggap berzina),” (Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah, dan Thahawi dari Abu Musa).

Nah…saya merasakan Islam tidak rigid dalam menentukan corak pemakaian. Ia hanya satu garis panduan umum. Maka, jika mahu berseluar panjang sekali pun, adalah dibolehkan dengan syarat ia adalah longgar, menutup aurat dan tidak menarik perhatian orang.

Apatah lagi jika muslimah berkenaan terlibat dalam aktiviti lasak, misalnya menjadi polis, tentera dan sebagainya, maka berpakaianlah cara yang sepatutnya. Takkanlah nak berjubah sakan semasa meranduk air paya, atau bersukan di padang. Islam meraikan keperluan kita, hanya kita yang jahil atau sedikit gagal menyesuaikan diri dengan Islam.

Kesimpulannya, muslimah perlu kembali meneropong diri. Adakah pemakaian mereka hari ini benar-benar menepati corak yang Islam izinkan. Aduh…kita masih belum menyentuh isu tabarruj…yakni berhias. Tampal sana, colek sini, pantis sana, tempek kat sini…. Adakah Islam mengharuskannya atau totally mengharamkannya?

Insya-Allah, kita akan bincangkannya kemudian nanti.

FameThemes

This user is created while installing demo content. You should delete or modify this user’s information now.

Related Post

Leave a Reply