• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Ajak anak bertakwa kepada Allah

Byadmin

Oct 5, 2009

Anak-anak adalah cerminan kita sebenarnya. Baik akhlak mereka melambangkan asuhan yang diberikan oleh ibu dan bapa dan sekaligus melambangkan akhlak ibu bapa. Hai…bukan senang nak didik anak. Kehidupan zaman moden ni, pancarobanya banyak sungguh. Tak menang tangan untuk kita tanganinya.

Sebagai ibu bapa muda…ceh…perasan muda le pulak…he…he…kira mudalah lagi sebelum masuk usia 40, maka saya selalu risau memikirkan pendidikan anak-anak. Bukan risau setakat mereka tak dapat tempat terbaik di dalam kelas; tapi bimbang dengan cabaran dunia hari ini. Dengan dua anak lelaki dan tiga anak perempuan, saya merasakan cukup berat sebenarnya.

Dahulu, zaman saya kecil…seorang ayah cukup hanya berperanan dengan mempamerkan kegarangannya. Abah tiri saya memang garang, cukup dengan berdehem sudah membuatkan saya kecut perut. Dengar bunyi motosikalnya dari jauh, saya dah kelam kabut mencapai buku. Kini, saya tidak fikir pendekatan sedemikian rupa masih relevan. Saya sendiri tidak sanggup bertindak garang dengan anak-anak, walaupun isteri saya menyatakan saya memang garang… Bagi saya, saat bermain berseloroh dengan anak-anak adalah sangat manis. Bahkan saya selalu bimbang jika mereka besar kelak, maka saya tidak lagi berpeluang berseloroh sakan seperti mana hari ini.

Lalu, di sinilah kita selaku mak dan ayah kena berusaha mengajak anak-anak agar bertakwa kepada Allah SWT. Cara saya, seboleh mungkin saya mahu mendirikan solat berjamaah dengan mereka. Baik di rumah, di dalam perjalanan, di rumah orang mahu pun di kampung, saya akan cuba menjaga solat berjamaah dengan mereka. Bagi saya, solat berjamaah adalah asas ketakwaan. Di situ mereka mempelajari adab, adab berimam, adab berjamaah dan adab dengan keluarga. Mereka tidak berpeluang untuk solat cara sendiri, yang kadangkala lajunya mengalahkan LRT atau keretapi ekspres, mereka tak berpeluang untuk terus bangun tanpa doa selepas solat dan mereka harus belajar bersalaman dengan ibu ayah sambil berpeluk cium dengan ahli keluarga yang lain.

Ada orang yang risau dengan akhlak anak-anak yang nakal sejak kecil, mereka bimbang apabila besar anak-anak akan menjadi orang yang bermasalah. Maka, solat berjamaah adalah satu cara mendidik mereka berdisiplin. Siapa kena bentang sejadah, kena iqamah, kena lipat sejadah dan sebagainya. Kemudian jika perlu, selepas solat jemaah maka adakah tazkirah…menyentuh isu-isu terkini di dalam keluarga. Misalnya, sikap si anak tidak menghormati orang tua waima si orang gaji, maka itulah saat membetulkannya. Bahkan, saat berdoa juga elok dibaca doa yang mampu difahami mereka, yakni baca dalam bahasa Melayu lah…bagi saya itu lebih baik dan bermanfaat berbanding doa di dalam bahasa Arab yang laju dan tidak difahami maknanya.

Anak-anak sentiasa memerhatikan kita. Jika kita sendiri menjaga solat, maka mereka secara otomatik menjaga solat. Seperti kata saya, merekalah cerminan kita…wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply