• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Amanah Zakat: Pandangan saya seorang amil

Byadmin

Aug 9, 2011

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid (U-HAH)

Beberapa minggu lalu, saya diwawancara oleh akhbar Utusan. Editor kanan akhbar berkenaan, Ustaz Radzi yang merupakan teman baik saya bertanya, apakah pengalaman menarik sepanjang saya menjabati kedudukan amil di institusi zakat?

Saya nyatakan, posisi sebagai amil bukanlah mudah. Amil memegang amanah ummah dan menjaga amanah Allah, yakni zakat. Amil juga bertindak menjambatani antara pembayar dan penerima zakat. Dek kerana itulah, para amil kena begitu berhati-hati dalam mengagihkan zakat.

Punyalah berhati-hati, sehingga kami pernah bahkan acap kali kena marah. Pembayar zakat marah, sebab kami terlalu berhati-hati sehingga ada orang mengadu kepada media, kononnya kami lambat membantu. Mereka marah sebab duit zakat itu dibayar oleh pembayar zakat, maka tugas kami hanyalah menyalurkan sahaja, janganlah payahkan.

Pemohon pula marah, sebab kami terlalu berhati-hati juga menilai setiap permohonan yang datang. Mereka kata, mereka berhak atas wang zakat sebab mereka asnaf, sedang kami hanyalah pemudah cara sahaja. Kenapa kami mesti terlalu berkira-kira memberikan hak mereka. Kasihankan, kami kena marah dari kedua-dua pihak.

Hakikatnya, saya sendiri pernah diherdik oleh pemohon dan asnaf zakat. Saya akui, ramai juga pihak di luar sana yang beranggapan kami ini,  para amil zakat sengaja menyusahkan orang ramai dengan pelbagai prosedur dalam proses permohonan zakat. Kononnya kami sudah ‘lebih kuah daripada sudu.’ Bahkan ada yang sanggup menitipkan e-mail, menghantar surat dan membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan Awam, kerajaan negeri bahkan pihak atasan  dan memarahi kami dengan pelbagai tuduhan.

Tujuannya hanya satu, supaya permohonan mereka lulus dengan senang. Mereka mahu kami memudahkan proses permohonan zakat mereka menjadi semudah-mudahnya. Jika boleh, biar setiap permohonan itu diluluskan dalam tempoh kurang sejam. Tak payahlah kami turun padang buat siasatan atau bertanya segala latar belakang. Lulus sahajalah, itu lebih senang.

Saya merasakan, mereka mengandalkan itu semua dengan senang, kerana kutipan zakat di Selangor adalah tinggi. Bagi mereka, apa guna kutipan zakat naik berjuta-juta jika sukar diagihkan kembali kepada yang memerlukannya.

Benar, selaku amil kami memang berusaha merealisasikan harapan semua pihak. Kami belajar daripada sejarah, bahawa zakat sebaik-baiknya hendaklah dilaksanakan agihannya dengan segera pada tahun yang sama. Hal ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan dipertegaskan kembali pada zaman Umar al-Khattab. Zakat diagih sehingga habis, tidak dibawa ke tahun hadapan. Wang zakat yang tidak dihabiskan sehingga bertumpuk, mampu mengundang pelbagai fitnah. Inilah yang kami cuba elakkan.

Lalu, di Selangor fatwa menyatakan hal yang sama. Zakat hendaklah diagihkan semuanya berdasarkan jumlah kutipan pada tahun semasa. Jika tahun 2010 kami kutip RM336 juta, maka jumlah itu jugalah yang kami kena habiskan. Inilah idealnya perlaksanaan zakat.

Namun, kenapa setiap tahun ada sahaja wang zakat dibawa ke depan? Ya, hakikatnya ramai tidak menyedari bahawa, kutipan zakat paling tinggi juga adalah pada penghujung tahun atau paling tepat pada bulan Disember. Bahkan adakalanya, hari-hari terakhir Disember itulah, kutipan makin banyak. Maka, mustahillah dalam tempoh seminggu itu kami mampu mengagihkannya kembali. Pastilah ia akan dibawa ke hadapan, kerana kutipannya sudah di hujung bulan.

Di samping itu, kami juga bergerak dengan bajet yang sudah ditetapkan. Bajet itu pula berdasarkan unjuran kutipan zakat yang mampu dikutip pada tahun berkenaan. Maka, bergerak dengan bajet pastilah banyak limitasinya, termasuklah dalam hal agihan. Seandainya kami mengunjurkan kutipan zakat pada tahun 2010 adalah RM280 juta, maka kami membuat bajet agihan tidak lebih daripada itu bahkan mungkin kurang. Itu sebagai langkah kawalan bajet.

Apa akan terjadi sekiranya kami mengagihkan lebih daripada RM280 juta; sedangkan kutipan hanya RM240 juta. Bagaimana pula jika kutipan zakat lebih rendah, kerana kutipan zakat tidak semestinya mencapai sasaran. Ekonomi boleh sahaja merudum dan kesannya kutipan mungkin hanya mencapai RM200 juta? Maknanya, kami sudah terlebih agih dan siapakah yang akan menanggung lebihan itu?

Sebab itulah, tidak semua permohonan mampu dilayan dan diluluskan. Ada kaedahnya, sebagai langkah kawalan dan pemantauan. Lagi pun, tidak semua pemohon jujur dengan permohonan. Bukan sedikit kes permohonan yang dibuat berbau kenistaan dan kesamaran.

Kami pernah tersua, pemohon yang memohon bantuan kecemasan berulang kali dari kaunter ke kaunter. Alasannya sama sahaja, iaitu dompet hilang dan mereka dalam perjalanan untuk pulang ke kampung. Maka mereka meminta zakat. Tidak salah jika mereka jujur, masalahnya mereka pusing dari satu kaunter ke satu kaunter lain atas niat yang sama, soalannya kenapa?

Itu baru satu kes kecil. Kami pernah berjumpa kes lebih besar dalam usaha mendapatkan zakat. Ada yang sanggup mengelabui dengan menyembunyikan punca pendapatan. Ada yang sanggup menyembunyikan harta dan wang simpanan. Bila kami dapat kesan, maka pastilah zakat wajib dihentikan. Jika terus diberi, kamilah yang salah. Nanti di akhirat, siapa nak menjawab di hadapan Allah?

Ada juga kes menyalahgunakan bantuan. Zakat diberi dibeli nombor loteri. Bukan sekali; tetapi banyak kali. Akhirnya tertangkap dan mulalah mereka mencari alasan. Diberikan bantuan modal, modal hangus begitu sahaja. Diberikan bantuan enjin sangkut, akhirnya enjin itu hilang tersangkut entah di mana. Rupa-rupanya dijual demi wang segera. Jika nak kami paparkan, banyak insiden tragis dalam mengendalikan zakat. Namun, apalah gunanya kita mendedahkan semua ini.

Tanpa prejudis, saya juga akui bahawa kami para amil di institusi zakat tidak sempurna. Mungkin dalam 100 kakitangan, ada seorang dua yang tersalah. Biasalah, sudah manusia namanya. Namun, bukankah lebih molek jika kesalahan kami itu ditunjuki dan diperbetulkan tanpa perlu melambakkan semuanya ke atas batu jemala institusi amil dan seluruh organisasi zakat yang lain. Apa yang penting, saya sendiri tahu bahawa kami di institusi zakat sentiasa mahu belajar dan merubah kesilapan.

Bukan sekali kami menjawab dengan media dan masyarakat. Biasalah, masyarakat kita memang terkenal dengan prihatin. Namun, acap kali juga mereka mudah melenting; tanpa terlebih dahulu bersurih kisah yang sebenar daripada sumber yang sahih.

Kami menjawabnya dengan sabar. Kami enggan melatah dan menari mengikut rentak yang salah. Apa guna menunding jari ke sana ke mari; apa yang penting kami harus menangani segala permasalahan dengan penuh hati-hati.

Sebab itu, bila isu asnaf diberhentikan bantuan kewangan bulanan dan mereka mengadu kepada media, atau bila asnaf mengadu kami tidak membantu perniagaan mereka, atau jika mereka mengadu kami enggan melayan permohonan mereka, maka kami harapkan pihak media atau sesiapa sahaja jangan terus melaporkan begitu sahaja.

Paling baik, minta kami semak dahulu status pengadu. Ada kes, bantuan dihentikan kerana pendapatan mereka sudah melebihi had minima kecukupan. Mereka sudah keluar daripada garis kemiskinan. Ada ibu tunggal yang dihentikan permohonan kerana sudah mendirikan rumah tangga baharu, maka suami baharulah yang wajib menafkahi kehidupan. Ada yang dihentikan bantuan kerana kini sudah berpindah ke lokasi lain, misalnya ke negeri lain. Ada pelbagai justifikasi sebenarnya bila bantuan dihentikan. Sebab itulah kami tegaskan, zakat adalah bantuan; bantuan bukanlah kekal; lagi pun zakat bukanlah sebahagian daripada pendapatan bulanan.

Tup-tup, meletuplah isu. Lebih mendukacitakan, khabarnya ada orang-orang Islam yang sudah terbujuk hatinya dengan kebaikan pihak gereja. Lebih malang lagi, khabarnya mereka mencari gereja setelah permohonan mereka di institusi zakat tidak diendahkan. Begitukah sebuah kesudahan?

Sekali terfikir, nekad sungguh mereka ini menggadai agama. Namun, bila terdengar alasan, mereka mencari gereja atas desakan kehidupan, hati saya menjadi rawan. Masakan tidak rawan, ini soal akidah. Sedangkan zakat yang difardukan Allah SWT, adalah demi menjaga maslahah umat. Yang miskin dan fakir disantuni sebaiknya. Yang muallaf pula diberi hak mereka demi menjaga imannya. Tiba-tiba, ada yang keluar agama kerana diabaikan zakat. Suatu yang amat ironis bukan?

Namun begitu, saya cuba bersikap realistik. Benarkah mereka menjadi begini kerana kelalaian pihak zakat semata-mata? Hanya kerana sekali memohon dan ditolak, langsung mereka beralih arah ke gereja? Bukankah intitusi zakat mempunyai pusat aduan, kenapa tidak dimanfaatkan. Sepanjang pengalaman saya, banyak kali kami menerima aduan dan kami mengendalikannya dengan penuh perhatian. Kami berikan penjelasan. Jika benar pihak kami yang khilaf, kami sanggup betulkan.

Bagi saya, kami di sector zakat hanyalah satu juzuk daripada ribuan juzuk mozaik bagi menjaga keindahan Islam. Kami tidak mampu bertindak sendirian. Kami perlukan sokongan, khususnya daripada pihak-pihak berautoriti demi melestarikan kebajikan ummah. Jika ditinjau pada zaman Umar bin Abdul Aziz r.a sendiri, antara faktor kemakmuran negara baginda bukan sekadar disokong oleh system zakat yang baik; tetapi juga kerana tegasnya baginda melestarikan seluruh aspek kehidupan berpandukan syariat Islam.

Ingin saya kongsi di sini, secara jujurnya, keberadaan saya di institusi zakat menyatakan, kami telah cuba berusaha semampu daya memenuhi keperluan ummah. Saya masih ingat, kala baharu sahaja menyarung jersi zakat pada tahun 2003, suatu sore kami berhempas-pulas memindahkan satu keluarga yang malang dan diabaikan masyarakat di sebuah hutan. Si ayah menangis, dua anak gadis suntinya tersenyum keriangan.

Lalu, kenangan itu terpahat kukuh, sehingga menjadikan saya rasa amat bertuah dapat berkhidmat di institusi zakat. Bertuah kerana kamilah penyelamat golongan yang lemah. Rasa bertuah juga lantaran saya ditakdirkan Allah dapat berkerja di sebuah organisasi yang memperkasakan ummah menerusi zakat sebagai salah satu daripada syariat Allah. Masih terbayang-bayang pesanan Nabi Muhammad SAW: “Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya.” (hadis hassan riwayat Imam Tarmizi)

Maka, apabila meletusnya isu hangat seperti ini, jujur dan ikhlas, ia agak menjerakan saya. Apakah benar kami di institusi zakat masih gagal memainkan peranan seoptimumnya? Jika benar, apakah kesalahan ini tiada upaya penambaikan secara konsisten? Adilkah kesalah ini secara borong ini terus dilambakkan ke bahu kami para amil semata-mata? Bukankah tugas memelihara ummah adalah tugas kitabersama? Ia adalah tugas kolektif yang masing-masing unit dalam masyarakat ada posisinya tersendiri.

Maka, sebagai satu penyejuk jiwa, izinkan saya titipkan sebuah pesanan daripada Nabi Muhammad SAW. Pesanan inilah yang saya pegang, saya gigit dengan gigi geraham saya. Menjadi pedoman dalam kehidupan, sebagai amil pilihan yang diharap berpulang dengan keredaan di sisi Tuhan.

Anas bin Malik r.a. pernah melaporkan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang bertanggung jawab menguruskannya),”(Hadis Riwayat Ahmad). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply