• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

AMIL YANG BAIK DISAYANGI NABI

Byadmin

Jan 4, 2012

Pernahkah saya terfikir untuk menjadi amil zakat? Jawapannya, tidak! Tak pernah langsung pun terlintas di benak saya, satu masa nanti saya akan menjadi seorang amil. Orang yang bekerja menyeru dan mengajak orang lain menunaikan rukun Islam yang ke-3. Menjadi orang yang diandalkan (dipercayai) untuk mengira harta mereka dan kemudiannya diberikan keistimewaan untuk mengambil sebahagian daripadanya sebagai zakat.

Tidak pernah langsung terkutik di benak saya, satu masa nanti saya akan membawa harta zakat itu untuk diagihkan kembali kepada orang-orang yang memerlukan. Bukan sekadar membawa, malah membantu ‘menggeburkannya’ dengan pelbagai ‘resepi rahsia’, agar kelak bantuan zakat itu menjadi benih yang mampu menyuburkan kehidupan para penerimanya.

Inilah namanya takdir dalam sebuah kehidupan. Kita belajar, dalam rukun iman bahawa qada’ dan qadar adalah di sisi Tuhan. Hari ini, saya telah diqada’kan untuk menjadi amil dan qadar pun berjalan, sesuai dengan ketetapan Tuhan. Alhamdulillah, saya menikmati kehidupan dan pekerjaan sebagai amil ini.

Maka, menjadi amil adalah satu anugerah agung. Tidak semua orang bisa menikmati anugerah ini. Bayangkan, di Selangor ada lebih daripada 2.5 juta umat Islam, dan daripada jumlah itu, hanya sekitar 400 orang yang bergelar amil. Amat kecil bilangannya. Namun, bilangan yang kecil ini terangkum dalam firman Allah SWT sebagai ‘para amil yang mengurus zakat’ (at-Taubah: 60). Bahkan, dibayangi Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar,  samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya,” (Hadis Hasan Riwayat Tirmizi).

Maka, menjadi amil adalah suatu kenikmatan. Amil yang baik disayangi Allah dan dikasihi Rasulullah. Maka, saya berpesan kepada diri saya, untuk menjadikan jawatan amil ini sebagai medan mendekatkan diri kepada Allah, dengan mempelajari dan memahami watak-watak amil para zaman Rasulullah SAW.

Insya-Allah, perjalanan masih terbentang, di hadapan matamu wahai pejuang…

Related Post

Leave a Reply