• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Andai nabi kaya-raya

Byadmin

Jun 28, 2011

Pernahkah kita terfikir, kenapakah Nabi Muhammad SAW lebih memilih kemiskinan berbanding kekayaan? Walhal hakikatnya, Nabi SAW boleh sahaja memilih untuk menjadi kaya-raya. Bukan tiada dalam sejarah kenabian sebelum ini, wujudnya beberapa orang nabi yang kaya-raya.

Misalnya Nabi Sulaiman a.s, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Ayub a.s.Sebenarnya, Muhammad bin Abdullah adalah keturunan bangsawan yang kaya. Abdul Mutallib datuk nabi adalah penjaga Ka’abah, bahkan paman nabi terdiri daripada orang-orang besar Kota Mekah. Mereka menjaga urusan manusia yang datang mengerjakan haji, menyediakan air minuman dan sebagainya lagi. Maknanya, nabi bukanlah orang sebarangan.

Namun, Allah SWT mengatur agar nabi terlorong kehidupannya sebagai orang biasa yang zahirnya tidak kaya. Kewafatan bapanya ketika nabi masih di dalam kandungan, diikuti kewafatan ibunya kala usia nabi masih amat muda dan begitu jugalah kematian datuknya tidak lama selepas itu, punya rahsia tertentu di sisi Allah sebagai pengatur rencana.

Antaranya, supaya nabi membesar sebagai anak yatim, yang kemudiannya hidup dalam naungan orang lain. Siapa lagi jika bukan paman tercinta Abu Talib yang juga tergolong dalam seorang yang tidak kaya dan ramai pula anaknya.

Bersama Abu Talib, nabi menjadi manusia yang berdikari. Nabi pernah mengambil upah menjaga binatang ternak milik orang bahkan pernah ke Syam meniaga barang-barang dagang. Nabi lakukan semua ini, sebagai manifestasi kematangan diri dan sedar keadaaannya sendiri. Nabi sedar, Abu Talib bukan orang kaya yang banyak harta. Nabi harus melakukan sesuatu untuk membantu.

Sungguh pun nabi kemudiannya ditakdirkan Allah mengahwini Khadijah binti Khuwalaid, seorang isteri yang kaya-raya, namun itu juga tidak menjadikan nabi selesa sebagai seorang kaya selamanya. Bahkan sepanjang episod awal kekayaannya, nabi digambarkan selalu menyantuni golongan tertindas dan orang-orang miskin di Kota Mekah. Kehidupan Mekah kala itu yang dinaungi pemerasan dan penindasan sesama bangsa Arab, telah melahirkan jurang kaya-miskin yang amat jelas.

Nabi dan Khadijah beriringan menghulurkan tangan. Mereka pasangan sejoli paling serasi. Maka, apabila wahyu diutuskan kepada nabi, sedikit demi sedikit harta kekayaan Khadijah dimanfaatkan demi kelangsungan dakwah. Hinggakan, kala Khadijah mahu meninggalkan nabi menemui Tuhan Rabbul ‘Izzati, hampir tiada lagi berbaki harta-kekayaannya selama ini.

Ironisnya, seandainya nabi mahu, nabi boleh menjadi manusia paling kaya dalam kalangan kaumnya. Diriwayatkan dalam catatan sejarah, nabi adalah pedagang yang hebat sehingga mampu membawa pulang keuntungan berganda kepada Khadijah. Nabi juga setelah diangkat menjadi rasul, berhak menerima 1/5 (khumus) daripada harta rampasan perang, sama ada ghanimah mahu pun fai’e. Andai dalam peperangan itu menghasilkan harta bernilai lima ribu dinar, nabi berhak ke atasnya seribu dinar. Andai mendapat 500 ekor kuda, nabi berhak 100 ekor ke atasnya. Andai mendapat 50 orang tawanan perang, nabi berhak mendapat 10 orang. Tetapi, itu tidak menjadi keutamaan nabi.

Begitu juga, dengan kedudukan nabi yang mulia di sisi Allah SWT dan menjadi sahabat Jibril a.s, nabi boleh memohon dilimpahkan emas sebesar lembah atau sebongkah emas dari gunung pun boleh diubah, namun nabi tidak memintanya. Bahkan nabi selesa untuk terus berdampingan dengan orang-orang miskin dan nabi tidak khuatir jika dirinya juga dianggap orang miskin.

Ini kerana, memang sesungguhnya dan hakikatnya nabi bukan orang miskin. Namun, nabi memilih untuk hidup sebagai orang miskin. Nabi boleh kaya bahkan menjadi manusia terkaya, tetapi dengan kemiskinan yang menjadi pilihannya, nabi Berjaya meletakkan satu batu asas bahawa kekayaan dan kemiskinan itu sama, dengan syarat ia ia mesti dilandasi iman dan takwa.

Nah! Cuba kita bayangkan, andai nabi memilih kekayaan; pasti hari ini ramai orang akan menjadikan alasan kemiskinan untuk tidak berbakti kepada Tuhan. Khususnya kalangan fakir dan miskin yang lemah imannya, apakala kita menyeru mereka agar mentaati Allah, maka dengan mudah mereka akan menjawab, bagaimana mereka mahu mentaati Allah dalam kemiskinan, sedangkan nabi dahulu mentaati Allah dalam kekayaan.

Bahkan, andai kata kita menyeru golongan fakir dan miskin ini agar berjuang dan berjihad di jalan Allah, maka mereka sama sekali tidak boleh memberikan alasan kononnya kemiskinan menggalangi keupayaan. Ini kerana, nabi sendiri pernah mengikat perutnya dengan butiran batu kala menggali khandaq (parit) di sekeliling Madinah sebagai kubu; sedangkan mereka belum pun sampai begitu. Maka, tiada apa alasan yang boleh diberi selagi mahu.

Bayangkan pula, bagi kalangan kaya-raya hari ini, andai kita mereka menyeru agar berkongsi harta dengan orang miskin, dengan senang hati mereka juga akan memberi kerana alasannya, nabi yang tidak kaya (walaupun nabi memang kaya) pun sudah memberi. Apa hal pula bagi orang kaya, pastilah wajib bagi mereka untuk memberi demi mencontohi nabi.

Kesimpulannya, nabi adalah orang kaya yang sengaja memilih kemiskinan sebagai jalan hidupnya. Langsung ia punya natijah cukup besar buat kita. Bukan sekadar menjadi tauladan dalam kehidupan; tetapi menjadi alasan bahawa kaya dan miskin bukanlah galangan mendekati Tuhan. Dengan itu, kita mampu mencanai diri menjadi sebaik-baik insan, amin. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply