• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Antara Dua Bisikan

Byadmin

Sep 14, 2011

Setelah mendengar ceramah zakat, hati sentiasa rasa berkobar-kobar mahu menunaikan zakat dan memperbanyakkan sedekah. Namun, setelah itu timbul pula perasaan sayang kepada harta sehingga menyebabkan kita sering pula menjadi berkira-kira untuk berzakat dan bersedekah. Lalu, apakah caranya supaya kita dapat menangani bisikan halus ini?

Namun hakikatnya, apabila sudah ada kesedaran mahu berzakat itu bermakna, sudah terbuka salah satu pintu kebaikan untuk kita langkahi demi mencari keredaan Allah SWT. Orang yang suka bersedekah dan menunaikan zakat, maka mereka dijanjikan Allah SWT dapat memasuki syurga daripada sebuah pintu yang bernama ‘bab as-sadaqah’, yakni pintu khusus kepada orang-orang yang suka bersedekah.

Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a telah menukilkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang membelanjakan (menginfakkan) sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga: Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik, sesiapa yang tergolong dalam kalangan ahli solat, maka dia diseru dari Bab Solat; sesiapa yang tergolong dalam kalangan ahli Jihad, maka dia diseru dari Bab Jihad; sesiapa yang tergolong daripada kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah), maka dia diseru dari Bab Sadaqah…”

Walau bagaimanapun, musuh umat manusia iaitu syaitan dan iblis sentiasa tidak menginginkan kita menjadi hamba yang taat dan bertakwa kepada Allah SWT. Iblis telah bersumpah akan berusaha menyesatkan manusia seluruhnya, kecuali mereka yang ikhlas kepada Allah SWT dalam setiap tindak tanduknya. Maka, iblis dan konco-konconya akan mencari apa sahaja cara demi mengalpakan manusia daripada jalan-jalan kebaikan.

Dalam hal ini, Allah SWT telah memberikan kita peringatan dengan firman-Nya: “Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 268)

Apabila kita sudah mahu bersedekah dan berzakat; namun pada saat itulah datangnya pelbagai bisikan halus agar kita menangguhkannya atau mencari alasan-alasan menidakkannya, maka ketahuilah bahawa itulah bisikan daripada para iblis dan syaitan. Mereka amat bijak memberikan pelbagai alasan, misalnya jika kita berzakat, maka duit dapur akan terjejas, mungkin duit belanja anak ke sekolah juga tersangkut dan pelbagai lagi alasan yang amat rasional pada pemikiran.

Oleh itu, kita hendaklah memasak kukuh dalam pemikiran dan hati, bahawa kerja memberikan sedekah dan zakat ini bukanlah kerja suka-suka; melainkan ia adalah arahan daripada Allah SWT dan amat digemari oleh Rasulullah SAW. Lalu, apabila Allah SWT sendiri yang menyukainya dan mengarahkannya, pastilah orang-orang yang berusaha menyahut seruan-Nya itu bakal memperolehi sesuatu ganjaran daripada Allah SWT. Ganjaran itu boleh sahaja berupa pahala dan syurga. Bahkan di dunia lagi Allah SWT sudah melimpahkan keberkatan-Nya.

Allah SWT juga memberikan ingatan kepada kita, bahawa amalan bersedekah ini adalah punca kepada keteguhan jiwa dan kunci mendapatkan keredaan Allah SWT. Ia boleh diibaratkan sebuah kebun yang menyuburkan cinta kepada Allah SWT.
Firman Allah: “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah: 265)

Kesimpulannya, ingatlah bahawa bisikan yang datang itu boleh jadi daripada syaitan dan Iblis, ia juga boleh jadi bisikan mulia daripada para malaikat. “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian karena mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (an-Nisa’: 114)

Maka, lawanlah segala bisikan halus yang berniat jahat itu dan sahutlah bisikan halus yang menyeru kita kepada kebaikan. Dalam situasi sedemikian, kita sendirilah yang berhak menentukan keputusan dan tindakan. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply