• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Apa hukumnya jika sengaja mengelak zakat?

Byadmin

May 26, 2011

Soalan: Seseorang yang memiliki harta yang sempurna miliknya dan telah hampir tiba haulnya (masa untuk mengeluarkan zakat); namun dengan sengaja telah mencari jalan mengeluarkan sedikit hartanya sehingga terkurang nisabnya, maka apakah hukumnya dan adakah dia masih dikira wajib mengeluarkan zakatnya? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan: Terima kasih kerana bertanya dan ini menandakan saudara orang yang prihatin dengan hukum-hakam zakat. Hakikatnya, kita hendaklah faham bahawa zakat itu diwajibkan Allah SWT ke atas umat Islam, demi maslahah ummah. Apabila kita memahami roh zakat ini, maka terbitlah rasa senang untuk menunaikan perintah Allah SWT ini, tanpa perlu menunggu arahan daripada mana-mana pihak atau harus diberikan amaran dan sebagainya.

Menjelaskan persoalan di atas, secara dasarnya harta yang terkurang nisabnya pada saat sampai haulnya, maka tidak wajib dizakatkan ke atasnya. Namun, kita harus melihat apakah sebab-sebab berlakunya pengurangan harta itu sehingga terkurang daripada jumlah nisabnya?

Untuk memudahkan kita, andaikan sahaja Si A sudah mempunyai jumlah simpanan yang melebihi nisab di dalam akaun simpanannya (katakan jumlah nisab ialah RM9,000 dan si A mempunyai simpanan RM10,000). Namun, seminggu atau sehari sahaja lagi menjelang cukup haulnya, maka dia dengan sengaja telah mengeluarkan sebanyak RM2,000, sehingga baki simpanannya menjadi RM8,000 dan sekaligus sudah terkurang daripada paras nisab zakat. Maka, logiknya terlepaslah dia daripada zakat wang simpanannya.

Maka, kita hendaklah melihat alasan Si A mengeluarkan wang simpanannya itu. Andai dia terpaksa mengeluarkannya atas tujuan yang makruf (baik), misalnya membayar bil hospital anak yang perlu segera dibedah, atas tujuan pendidikan atau sebarang maslahah lain yang mendesak hingga tidak dapat ditunda lagi perlaksanaannya, maka di sini dia dimaafkan.

Walau bagaimanapun, seandainya dia dengan sengaja mengeluarkan wang simpanannya tanpa tujuan yang makruf seperti untuk berhibur semata-mata atau dengan niat sengaja melarikan diri daripada zakat, maka di sini ulamak mempunyai dua pandangan.
Pada sisi Imam Ahmad, Malik, al-Auzai, al-Ishaq dan Abu Ubaid, mereka berpendapat bahawa seseorang yang dengan sengaja mengurangkan hartanya sehingga terkurang daripada nisab pada saat sudah hampir tiba haul zakatnya, sama ada dengan jalan menghibahkan, dijual atau apa-apa sahaja cara, maka zakat masih wajib diambil daripada harta mereka apabila sudah tiba masanya.

Namun, jika ia dilakukan pada awal haulnya, maka tidaklah diwajibkan zakat kerana tidak dapat dipastikan adakah harta itu akan kekal di atas paras nisab sehingga ke hujung haul. Maka, dalam hal ini Si A masih wajib berzakat ke atas nilai RM10,000 tersebut.
Walau bagaimanapun, pada pandangan Imam Syafi’e dan Abu Hanifah, mereka menyatakan sudah gugur zakat ke atasnya kerana jelas, harta itu sudah berada di bawah paras nisab. Walaupun begitu, si pelakunya masih dikira berdosa besar di sisi Allah SWT kerana dengan sengaja telah mencari helah untuk mengelakkan dirinya daripada kewajipan zakat (Rujuk Pedoman Zakat, T.M. Hasbi as-Shiddieqy, hal. 204-205).

Cukuplah peringatan Allah SWT di dalam surah al-Qalam, ayat 17-20 menjadi amaran kepada mereka yang dengan sengaja melarikan dirinya daripada kewajipan zakat, iaitu: “Sesungguhnya Kami telah menguji mereka sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun, pada ketika mereka bersumpah bahwa mereka sungguh-sungguh akan memetik (hasil)nya di pagi hari, dan mereka tidak menyisihkan (hak fakir miskin), lalu kebun itu diliputi mala petaka (yang datang) daripada Tuhanmu ketika mereka sedang tidur (hingga binasa), maka jadilah kebun itu hitam seperti malam yang gelap gelita.”

Kesimpulannya, pihak berkuasa zakat masih boleh mengambil harta si pemilik yang dengan sengaja berhelah mencari alasan melarikan dirinya daripada zakat atau boleh juga pihak berkuasa agama menetapkan sesuatu kaedah yang sesuai bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku. Namun, kesedaran diri sendiri itu adalah lebih utama demi melestarikan amalan zakat ini. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply