• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Apabila manusia makin menjauh

Byadmin

Jul 18, 2009

Manusia ini sifatnya apa? Dalam sekian banyak yang Allah Ta’ala ciptakan, hanya jin dan manusia yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ini kerana, manusia dan jin dikurniakan Allah dengan akal, yang sifat akal itu ialah berfikir. Dengan kemampuan akal berfikir, maka manusia boleh membuat pilihan. Dengan akal yang berfikir, maka manusia boleh mencipta dan membuka jalan. Manusia maju asbab adanya akal. Manusia menipu pun, asbab adanya akal.

“Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (daripada firman Allah),” (al-Baqarah: 269)

Sayangnya, akal yang diberikan Allah ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Maka terjadilah segala kerosakan di atas muka bumi. Lihat sahaja, bukit digondol, disodok dan diratakan semahunya, sedangkan itulah pasak-pasak bumi yang sifatnya seakan-akan pepaku yang mengejapkan ikatan tiang dan papan di rumah kita.

Firman Allah SWT lagi: “Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk,” (an-Nahl: 15)

Mutakhir ini, terlalu banyak kerosakan di muka bumi. Jerebu bermaharajalela. Seingat saya, sejak kecil saya tidak pernah berhadapan dengan suasana berjerebu ini, sehinggalah usia saya mencecah 2o-an pada tahun 1994. Semasa itu saya sedang bergulat dengan nota dan kuliah di Perbukitan Bangi. Saya masih ingat, saat itu era pentadbiran Tun Dr Mahathir dan isu yang membahang ialah penolakan Enakmen Undang-undang Syariah II Kelantan yang telah diputuskan. Ia lebih dikenali dengan istilah Undang-undang Hudud.

Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan YAB TG Nik Abdul Aziz beriya-iya mahu melaksanakan undang-undang tersebut; namun terhalang dengan status quo mekanisme perundangan negeri dan persekutuan yang tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Tun Dr Mahathir bertegas, jika Kelantan mahu melaksanakannya, maka ia akan mendatangkan implikasi yang besar kepada kerajaan Kelantan sendiri.

Saat itulah kali pertama jerebu tiba ke Malaysia. Saya berdukacita. Lalu saya karang sebuah sajak mengenainya, sajak itu saya lekatkan di Surau al-Biruni di foyer Kamsis Ungku Omar, UKM. Biarlah, biar semua orang tahu isi hati saya. Bahawa bagi saya, antara punca-punca datangnya jerebu ke Malaysia ialah akibat sifat penentangan segelintir manusia yang berkuasa terhadap perlaksanaan hukum Allah SWT. Bukankah jerebu itu musibah? Mungkin jerebu pertanda murka Allah…siapa tahu?

Kita juga dikejutkan dengan tercemarnya air sungai di banyak lokasi di negara kita. Lebih menjengkelkan, apabila berita mengenai tersiar di dada akhbar, maka baharulah mereka yang berautoriti dan punya autonomi berkokok itu dan ini. Mulalah mereka turun membuat lawatan dan kemudiannya mengarahkan jabatan-jabatan berkenaan, agar segera membuat siasatan dan menyediakan laporan. Mulalah dikeluarkan arahan hentikan pencemaran atau dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Apa sudah jadi pada beberapa sungai di Negeri Sembilan yang begitu tinggi tahap ammonianya, sehingga hidupan akuatik pun mati menderita? Kesannya juga memudarat dan menyusahkan manusia. Penduduk di sebahagian tempat terpaksa dicatu air mereka. Persoalannya, kenapa pihak yang berkenaan di negeri berkenaan menunggu laporan media maka baharu bertindak. Di mana sifat pro-aktif yang mereka laung-laungkan sebelum ini? Apakah semua ini mempunyai cerita belakang tabir yang tersembunyi?

Paling mengejutkan kita rakyat Malaysia ialah, berita kematian seorang pembantu kepada salah seorang exco di negeri Selangor. Saya cuba untuk berlaku adil, tidak berprasangka. Namun, meneliti adegan demi adegan yang dipaparkan, maka saya gagal menghalang hati  dan minda saya daripada berkata-kata dan terus berkata-kata. Pelbagai kekaburan menguasai jalan cerita, bermula dengan inisiatif pihak-pihak berkenaan memulakan proses siasatan yang didakwa terpilih dan diskriminatif sifatnya oleh sesetengah pihak sehinggalah terjadinya kematian penuh misteri berkenaan. Saya hanya mahu menyuguhkan satu pesanan Rasulullah SAW:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya binasalah orang-orang yang sebelum kamu disebabkan orang-orang atasan apabila mencuri mereka membiarkannya , dan apabila orang lemah mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya,” Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Menurut ulasan yang dipaparkan oleh laman sesawang JAKIM, hadis ini diulas seperti ini:

Pengajaran Hadith:

i) Keadilan hendaklah berlaku dalam semua lapisan masyarakat bermula dari dalam institusi keluarga, masyarakat dan pemerintahan negara.

Ii) Keadilan merupakan punca utama berkembangnya kehidupan yang harmoni, aman dan sejahtera sedangkan kezaliman akan mencetuskan kekacauan, kegelisahan dan huru-hara.

iii) Keadilan hanya akan wujud sekiranya sesuatu itu dijalankan mengikut peraturan dan lunas-lunas Islam di mana Islam menolak perasaan pilih kasih dalam menjalankan hukuman, tetapi mementingkan ketegasan demi menegakkan kebenaran.

Nah, cuba kita perhatikan dengan akal yang sihat dan berujarlah secara jujur…apakah implikasi daripada kurangnya berawas pihak-pihak yang berkenaan dalam menunaikan tanggung jawab mereka? Ya, Malaysia dilanda sekali lagi kekeruhan yang berintikan sentimen rasisme dan lebih menakutkan jika ia dikaitkan dengan sentimen agama. Adakah ini yang mahu kita semai seiringan dengan slogan Satu Malaysia seperti mana yang dicanangkan oleh PM yang baharu melepasi edah 100 hari pemerintahannya?

Bagi saya, terlalu banyak insiden yang terjadi dek kelalaian diri dan sesungguhnya wajib kita akui, semakin berani manusia memandai-mandai dengan akal sendiri dengan meminggirkan wahyu Ilahi, semakin jauhlah manusia daripada kasih-sayang dan rahmat Ilahi.

Alakullihal…terfikir saya…adakah ini yang mereka cari? Murka Allah SWT, marahnya seorang nabi dan bencinya sesama manusia di atas muka bumi!

Related Post

Leave a Reply