• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Apakah hukuman kepada pengengkar zakat?

Byadmin

May 10, 2011

Dalam sebuah sesi ‘Tanyalah Ustaz?’ yang diadakah di sebuah surau (macam TV9 le pulak namanya…), saya pernah diajukan soalan, begini bunyinya (Cher dengor bebaik….): “Ustaz, apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada orang yang dengan sengaja enggan menunaikan zakat?”

Ha! itulah dia soalannya. Mudah sahajakan. Tapi untuk nak menjawabnya, idaklah semudah itu. Harus juga mengambil kira aspek kehendak syariat dan sejarah silam. Saya fikir, elok juga saya kongsikan jawapannya di sini. Mudah-mudahan dapat menambah ilmu dan informasi kita mengenai aspek hukum-hakam dalam Islam, khususnya yang terkait zakat ini.

Untuk makluman, saya kaborkan kepada para jemaah surau berkenaan, hukum yang terkait perundangan jenayah dalam Islam itu ada tiga jenis, iaitu:

1. Berkaitan kesalahan dan jenayah hudud
2. Berkaitan kesalahan dan jenayah qisas
3. Berkaitan kesalahan dan jenayah ta’zir

Ha! Bagi aspek kesalahan dan jenayah hudud wal qisas, telah ditentukan secara jelas oleh Islam. Misalnya, bagi jenayah hudud ia merangkumi kesalahan berzina, minum arak, mencuri, merompak, menuduh zina dan murtad. Manakala bagi kes kesalahan qisas meliputi kes bunuh dan melukakan orang lain.

Manakala, bagi kesalahan jenayah mahu pun yang bersifat melanggar peraturan umum, yang tidak digazetkan secara jelas di dalam al-Quran dan as-sunnah, maka di sinilah undang-undang Islam bernama ta’zir digunapakai. Maka, ia termasuklah kesalahan meninggalkan solat, melarikan diri daripada zakat, melanggar lampu merah di jalan raya dan sebagainya lagi.

Saya suka menarik perhatian, bahawa dari aspek sejarah, sejak zaman sahabat lagi sudah wujud orang yang dengan sengaja mengengkari zakat. Jika kita membuka kita tafsir atau membaca kitab seerah, barangkali kita boleh terjumpa perihal kisah seorang lelaki yang asalnya miskin, kemudiannya menjadi kaya-raya berkat doa Rasulullah SAW. Lelaki itu kemudiannya enggan berzakat setelah turunnya ayat zakat.

Tindakan lelaki ini akhirnya mendatangkan kemurkaan kepada nabi. Akibatnya, nabi ‘memulaukan’ lelaki berkenaan. Zakatnya tidak lagi mahu diterima. Hal ini berlanjutan sehinggalah ke zaman Abu Bakar dan zaman Umar al-Khattab. Saya enggan menamakan lelaki berkenaan, kerana wujud pertikaian siapakah lelaki yang berbuat onar tersebut. Bak kata Umar, lebih baik saya tersalah tidak menghukum daripada saya salah menghukum. Yakni, menamakan seseorang yang tak buat salah…kan payah…!

Okay, kata saya, kes ini jika dijadikan sandaran sebagai bentuk hukuman, maka ia adalah salah satu bentuk hukuman yang pernah dikenakan oleh rasulullah kepada pengengkar zakat. Hukumannya ialah ‘memulaukan’ orang yang engkar zakat. Harus kita ingat, pemulauan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, bukanlah seperti kita yang ‘memulaukan’ orang lain pada hari ini. Pemulauan itu amat besar kesannya, sehingga menimbulkan rasa ‘sakit jiwa’ yang tidak terkata kepada orang yang dipulau. Jika idak juga percaya, bacalah kisah pemulauan ke atas Ka’ab bin Malek r.a kerana keengkarannya turun ke Medan Tabuk tanpa izin syari’e. Pendek kata, terkunjey Ka’ab di buatnya tuan-tuan…ache…ceh…paham ke bahasa Kuale ni?

Boleh kita bayangkan, apa perasaan kita jika kawan-kawan memulaukan kita. Baru nak duduk bersembang di kafe dengan mereka, baru order minuman, mereka pakat-pakat bangun, tanpa salam dan muka masam, mereka meninggalkan kita seorang terkulat-kulat. Teringat kisah masa saya di asrama dahulu, kawan-kawan saya pernah memulaukan seorang kawan atas sebab-sebab yang payah nak diterangkan (kat sini ler…), sehinggakan si kawan saya itu bagaikan kera sumbang.  Dek kerana hilang punca, dia jadi baik dengan saya. Nak cari tempat mengadu la tu. Last-last, dia minta tukar sekolah dan keluar asrama. Hai…kan dahsyat penangan ‘pemulauan’ terancang seperti itu.

Kemudian, saya bawa contoh pada zaman Abu Bakar menjadi khalifah. Abu Bakar berhadapan dengan pemberontakan (sama ada secara halus mahu pun terang-terangan), yang trio penentangan ini dikenali sebagai golongan ar-riddah! Yes, pertama golongan yang isytihar murtad secara terang-terangan, kedua nabi palsu dan ketiga orang yang engkar berzakat. Sebenornya, golongan ketiga ini terbahagi dua la pulak, iaitu: satu, yang berkata zakat sudah diangkat selepas nabi wafat dan kedua, golongan yang enggan memberikan zakat kepada pemerintah di Madinah sebaliknya hanya kepada kelompok mereka sendiri sahaja.

Umar dan Abu Bakar bercanggah dalam hal memerangi kumpulan ketiga, alasan Umar, mereka masih bersyahadah dan menunaikan solat. Tapi, kat sinilah terpampang ketegasan Abu Bakar. Kata Abu Bakar: “Andai demer (yakni yang engkar zakat – kumpulan ketiga itu ler) enggan menyerahkan tali pengekang unta (gitu le kira bicaranya) sebagai zakat, sebagaimana mereka pernah serahkan kepada Nabi Muhammad, nescaya akan aku perangi mereka.!” Ala…kisah ini ada disebutkan dalam kitab-kitab hadis, tuan-tuan dan puan-puan boleh rujuk dalam kitab sahih Muslim misalnya, cari le dalam bab murtad kalau tak salah.

Maka, di sini dapat kita simpulkan bahawa Abu Bakar mengenakan tindakan yang jelas berbeza demi maslahah negara. Abu Bakar memerangi mereka sehingga semuanya kembali tunduk kepada umara. Inilah contoh tindakan kepada pengengekar zakat pada zaman Abu Bakar.

Kemudian, pada zaman le ni…kita dapati hukuman kepada pengengkar zakat agak longgar. Memang le pun longgar….longgar bebenor. Tak pernah dalam surat habo mengaborkan kepada kita adanya orang yang ditangkap, didakwa, dibicarakan dan dikenakan hukuman kerana tidak membayar zakat. Orang hari ni lebih seram sejuk jika disebutkan nama LHDN ke demer daripada nyebut nama Lembaga Zakat. Inilah menunjukkan betapa seriusnya kondisi hukum zakat di Malaysia (ala…dunia Islam seluruhnya pun apa le kurangnya).

Dalam kajian saya, dalam Malaysia ni hanya ada dua negeri yang menggubal enakmen zakat secara khusus, iaitu Sabah dan Kedah. Negeri-negeri lain, hanya memasukkan kesalahan tidak membayar zakat ke dalam Enakmen Jenayah Syariah. Dua negeri itu pun, tak pernah menguatkuasakan enakmen yang ada. Ater…mike pikio ler sendiri…

Akhirul kalam, saya kaborkan kepada jemaah, kesalahan melarikan diri daripada kewajipan zakat ini boleh dikategorikan dalam kesalahan ta’zir dan hukumannya hendaklah diputuskan sesuai dengan kebijaksanaan pihak yang memerintah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply