• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Apakah yang dimaksudkan bahawa zakat itu amalan ijtimai’yyah?

Byadmin

Mar 1, 2010

Islam ini ditegakkan di atas lima rukun, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah; mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah.

Daripada lima rukun ini, hanya zakat sahaja yang melibatkan kepentingan ummah secara khusus (kebajikan sosial atau ijtimaiyyah). Solat, puasa dan haji pula adalah ibadat yang bersifat fardiyyah (peribadi). Jika si fulan tidak bersolat, tidak mahu berpuasa dan enggan menunaikan haji walau sudah mampu, maka kesannya hanya menimpa ke atas dirinya sendiri. Dia akan ditimpa dosa dan di akhirat kelak, dia akan dicampakkan Allah ke dalam neraka kerana keingkarannya.

Manakala ibadah zakat, ia menyentuh langsung kepentingan lapan asnaf zakat yang berhak ke atas harta zakat. Jika si fulan yang kaya-raya enggan berzakat, maka dia bukan sahaja berdosa kerana keengkarannya, namun jiran tetangganya yang memerlukan juga mungkin menderita kebuluran dan diancam kematian. Maka, keengganan untuk berzakat, mudaratnya bukan hanya ke atas diri orang itu sahaja, iaitu berdosa; tetapi turut memudaratkan umat Islam yang lain yang sepatutnya dibantu dengan harta zakat itu.

Sebab itulah Allah SWT amat menekankan kewajipan zakat ini sehinggakan memberikan keizinan kepada pihak berkuasa zakat, untuk mengambilnya walaupun secara paksa jika perlu, ke atas harta orang-orang kaya yang enggan berzakat. Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103: “Ambillah sebahagian daripada harta kekayaan mereka sebagai sedekah (zakat).”

Kalimah ‘ambillah’ dalam ayat berkenaan ditafsirkan oleh ulamak, adalah satu taklifan (tanggungjawab) kepada Rasulullah SAW dan juga para pemerintah umat Islam, dalam menguatkuasakan perintah zakat agar ia dapat diambil kendatipun secara paksa, demi maslahah (kepentingan) ummah keseluruhannya.

Di samping itu, kita juga boleh mengambil iktibar daripada apa yang dipesankan oleh Nabi Muhammad SAW saat mengutus Muaz bin Jabal r.a ke Yaman: “Beritahukanlah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah SWT telah mewajibkan daripada sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan (dizakatkan), yang diambil daripada kalangan orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir,” (Sebahagian hadis riwayat al-Jama’ah daripada Ibnu Abbas).

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjadikan hadis ini sebagai satu dalil dan hujah tambahan bahawa pemerintah Islam berhak mengutip zakat waima secara paksa dan secara logiknya, sudah pastilah ia diberikan keizinan oleh Allah SWT adalah demi melihat keperluan ummah secara umumnya dapat dipenuhi menerusi amalan zakat.

Akhirnya, kita patut melihat pesanan Rasulullah SAW iaitu: “Tidak sempurna iman seseorang jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan tetangga di sebelahnya kelaparan,” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi), sebagai sandaran kukuh bahawa zakat ini adalah amalan sosial yang tidak bersifat peribadi semata-mata. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply