• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

ASAS PERAKAUNAN ZAKAT

Byadmin

Jun 6, 2012

SOALAN: Saya ingin tahu sepintas lalu mengenai asas perakaunan zakat. Ini kerana, saya pernah terdengar ada orang menyatakan, bahawa zakat adalah satu bidang dalam perakaunan. Harap penjelasan.

JAWAPAN: Terima kasih kerana mengemukakan persoalan. Benar, apabila menyebut zakat, maka ia adalah satu ibadah yang sangat unik dan amat berkait rapat dengan bidang perakaunan. Ini kerana, zakat bukan sekadar ibadah biasa, tetapi ibadah maliyah (harta) yang sudah pasti mempunyai pengiraannya tersendiri.

Sebelum itu, apakah perakaunan? Jika kita merujuk ke dalam Kamus Dewan Edisi 4, maka ia menyatakan, perakaunan itu ialah sesuatu yang berkaitan dengan akaun, melibatkan prinsip-prinsip dan prosedur. Maka, di sini adalah jelas, apabila definisi ini dihubungkaitkan dengan zakat, maka ibadah zakat sememangnya adalah satu ibadah harta, yang mempunyai prinsip-prinsip dan prosedur tertentu yang wajib dipatuhi apabila mahu dilaksanakan.

Dalam pada itu juga, umumnya orang-orang awam akan membayangkan nombor-nombor dan bentuk-bentuk pengiraan tertentu apabila menyebut kalimah ‘perakaunan’. Maka dalam konteks ini, tidak salah sebenarnya apabila ada pihak yang membentuk satu terminologi khusus, iaitu ‘perakaunan zakat’, ini kerana, di dalam menunaikan ibadah zakat sememangnya kita harus bermain dengan nombor dan mematuhi beberapa prosedur.

Mari kita telusuri sepintas lalu tentang asas perakaunan zakat ini. Pertama, zakat mempunyai prosedur yang standard atau piawai yang tertentu sifatnya, dan ada di kalangan prosedur itu yang tidak pernah dan tidak akan pernah berubah sampai bila-bila sejak ia difardukan pada tahun ke-2 hijrah.

Prosedur yang kekal dan tidak akan berubah itu ialah:

1. Pensyaratan haul – yakni dari segi perakaunan, hanya harta yang mencapai tempoh setahun sahaja tunduk kepada zakat.

2. Ketentuan nisab – yakni harta-harta zakat hanya wajib dizakati apabila mencapai paras minimum wajib zakat yang disebut nisab dan nisab ini pula disandarkan secara tetap kepada harga 85 gram emas atau 595 gram perak. Ia kekal dan tidak berubah.

3. Penetapan kadar – yakni, setiap jenis harta zakat mempunyai kadar-kadar tertentu. Umumnya, harta yang bersifat perolehan dan boleh berkembang seperti emas dan wang, maka kadarnya ialah 2.5 peratus. Manakala, harta yang lain yang sifatnya bukan perolehan dan tidak boleh berkembang, seperti galian dan pertanian, maka kadarnya ada yang 5 peratus sehingga 20 peratus.

Ini adalah aspek yang kekal dan tidak berubah. Ada beberapa prosedur dalam ibadah zakat yang boleh berubah, iaitu:

1. Harta kekayaan – yakni, harta yang tunduk kepada zakat tidak hanya tertakluk kepada harta-harta yang disebut secara langsung oleh al-Quran dan as-sunnah; tetapi ia boleh menerima pembaharuan atau ijtihad. Misalnya saham dan pendapatan.

2. Kaedah transaksi – yakni, zakat tidak semestinya dikeluarkan sebagaimana zaman dahulu, namun ia boleh berubah berdasarkan keperluan zaman. Penggunaan kad kredit misalnya.

Kedua, pengiraan zakat adalah tertentu sifatnya, yakni sudah ditetapkan. Misalnya, dalam mengira zakat perniagaan, secara umumnya ia wajib mengambil kira keuntungan perniagaan dalam setahun, ditambah dengan modal perniagaan yang ‘cair’ (yakni boleh ditukar kepada nilai wang), ditambah dengan hutang yang diberikan kepada peniaga lain yang akan dibayar pada tahun semasa dan ditolak dengan hutang-hutang perniagaannya dengan pihak lain.

Maka, secara asasnya pengiraan zakat perniagaan tidak boleh melanggar asas perakaunan ini. Secara umumnya kita boleh mengaitkan pula kehendak umum pengiraan ini dengan beberapa pengiraan zakat lain, misalnya zakat wang simpanan dan zakat pendapatan, yang masing-masing mempunyai asas pengiraannya yang tersendiri.

Ketiga, perakaunan zakat juga mengambil kira aspek penggunaan atau tolakan dalam pengiraan zakat berkenaan. Dalam zakat pendapatan misalnya, hanya pendapatan bersih yakni selepas mengambil kira tolakan tertentu, sama ada tolakan untuk diri sendiri, untuk isteri, anak-anak dan sebagainya, maka baharulah zakat akan dikenakan.

Walau bagaimanapun, penolakan-penolakan ini adalah tergantung kepada ketetapan pihak berkuasa di sesebuah Negara berkenaan, sesuai dengan dengan corak dan keperluan di tempat-tempat terserbut. Ia akan berubah dari semasa ke semasa, sesuai dengan keperluan dan keadaan.

Kesimpulannya, perakaunan zakat ini adalah sesuatu tatacara yang membolehkan kita untuk menunaikan zakat dengan lebih teratur, sistematik dan tepat. Ia sekaligus melambangkan, betapa zakat adalah ibadah yang cukup teratur yang diturunkan Allah SWT demi maslahat seluruh umat manusia. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply