• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

AUDIT: KETELUSAN PENGURUSAN KEWANGAN ISLAM

Byadmin

Dec 22, 2011

Kecanggihan dunia hari ini, membolehkan sesiapa sahaja untuk menyebarkan maklumat dengan mudah. Sayangnya, adakalanya maklumat itu tepat; adakalanya maklumat itu salah. Apabila maklumat sudah disebarkan, sama ada melalui blog, Facebook atau pesanan ringkas (SMS), maka kecenderungan orang lain untuk mempercayainya, tergantung kepada ‘tapisan dalaman’ orang itu sendiri. Jika orang yang mudah dipengaruhi, mudahlah dia mempercayai. Jika orang itu lebih berhati-hati, maka dia mungkin akan mencari sumber sebenar demi mengesahkan maklumat yang diperolehi.

Maka, bekerja di sektor zakat turut mendedahkan institusi zakat yang penulis duduki kepada pelbagai isu seperti ini. Ada yang bersifat spekulasi, ada yang berunsur khabar angin dan ada maklumat yang tidak tepat bahkan ada berita berbaur fitnah semata. Kesannya amat buruk, kerana fitnah jika tersebar, boleh merosakkan reputasi. Apa akan terjadi jika umat Islam sudah hilang kepercayaan, hingga akhirnya enggan memberikan zakat. Bukankah kesan paling besar akan menimpa golongan fakir, miskin dan golongan melarat?

Sewajarnya, selaku umat Islam kita hendaklah bersikap berhati-hati dalam menerima apa-apa maklumat dan khabar berita. Bertanyalah kepada pihak institusi zakat, misalnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) jika mahu memperolehi kepastian. Allah SWT menegaskan di dalam surah an-Nahl, ayat 43: “Maka bertanyalah (kamu) kepada ahlinya (orang yang arif) jika kamu tidak mengetahuinya.” Allah SWT juga menegaskan betapa dahsyatnya perihal syak wasangka, misalnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada kebanyakan syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa.” (al-Hujurat: 12)

Maka, dalam makalah kali ini mari kita singgung mengenai audit. Institusi zakat seperti LZS sememangnya tidak pernah terlepas daripada proses audit. Ini kerana, LZS adalah sebuah institusi kewangan ummah, yang amat berat tanggungjawabnya. Setiap sen zakat yang dikumpul, hendaklah diagihkan secara amanah kepada lapan asnaf yang berhak. Kegagalan melakukan hal yang sedemikian, bukan sahaja menyebabkan pembangunan ummah khususnya asnaf fakir dan miskin terencat; bahkan mengundang dosa yang berat.

Nabi Muhammad SAW ada menegaskan: “Apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku (amil), maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan engkau sudah mendapatkan pahalanya, sedang dosanya ditanggung oleh orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang diamanahkan mengurusakannya).” (Hadis riwayat Ahmad)

Di LZS, pengawasan dan ketelusan dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat adalah amat diutamakan. Hal ini selaras dengan Fatwa Agihan Zakat 2009 (Kemaskini) yang menjadi dasar dan prinsip kepada pengurusan agihan zakat di Selangor.

Fatwa berkenaan menyatakan seperti berikut: “(ke-4, Prinsip Muraqabah atau) pengawasan, iaitu semua agihan dan penyerahan harta zakat hendaklah dilakukan dengan pengawasan dan kawalan yang paling rapi. Oleh itu, sebarang pengagihan zakat yang meragukan serta memerlukan kepada qias dan ijtihad baru mestilah mendapat persetujuan daripada Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Setiap permohonan hendaklah disiasat dan disahkan oleh sekurang-kurangnya dua orang. Peringatan amanah terhadap penggunaan wang zakat hendaklah diberikan kepada penerima. Pihak amil berhak untuk mengawasi dan bertindak terhadap asnaf yang gagal menggunakan bantuan zakat sebaiknya mengikut pandangan syarak.”

Oleh itu, berasaskan kepada prinsip muraqabah atau pengawasan di atas, LZS telah pun mula menerima siri-siri pengauditan sejak tahun 1998 lagi dan ia berkesinambungan sehingga kini. Terdapat enam entiti yang menjalankan audit ke atas LZS, iaitu:

1. Audit Dalaman LZS (MAIS) – yang melibatkan audit ke atas kewangan dan pengurusan
2. Audit Kualiti LZS (MAIS) – yang melibatkan gerak kerja dalaman LZS seperti pematuhan kepada prosedur agihan
3. Audit Kualiti SIRIM-ISO 9002:1994 (1999), ISO 2001: 2000 (2003) dan ISO 2001:2008 (2010) – yakni siri audit oleh SIRIM demi memastikan LZS layak untuk terus menerima Persijilan ISO
4. Audit Syarikat dan Badan Profesional Luar – yang melibatkan audit kewangan LZS
5. Audit Dalaman MAIS – Yakni melibatkan kewangan dan pengurusan LZS
6. Audit Negara – Yakni melibatkan kewangan dan pengurusan LZS

Hasil daripada siri-siri pengauditan ini membolehkan LZS terus beroperasi di atas landasan yang tepat dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan. Bahkan hasil audit ini turut didedahkan kepada umum, sepertimana yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara. Bahkan LZS telah dianugerahkan Sijil Ketua Audit Negara 2010, sebagai bukti ketelusan pengurusan kewangan di LZS.

Dalam aspek lain, LZS juga telah menubuhkan Bahagian Pengurusan Risiko yang mana tugasnya adalah berbentuk pencegahan, yakni mengenal pasti faktor-faktor risiko yang bakal atau boleh terjadi di LZS dan menyediakan pelan bertindak bagi menangani dan mencegahnya.

Oleh itu, adalah salah sama sekali jika ada pihak luar yang menyatakan institusi zakat seperti LZS tidak diaudit. Bahkan, pengauditan yang dilakukan itu mampu menambahkan kecekapan LZS dalam memberikan perkhidmatan kepada umat Islam, memperbaiki pelbagai kelemahan dan seterusnya meningkatkan keyakinan ummah untuk terus menunaikan zakat di LZS.

Kesimpulannya, diharapkan dengan tersiarnya makalah ini, maka ia dapat memadamkan catatan salah mengenai pengurusan kewangan kepada institusi zakat. Tidak timbul lagi persoalan bahawa zakat tidak diaudit. Ini kerana, zakat adalah institusi ummah, kekuatan zakat mampu menjadi penyangga ummah, sebaliknya kelemahan zakat akan memudaratkan ummah. Umat Islam juga hendaklah sentiasa berusaha memastikan institusi zakat terus kukuh, demi kebaikan ummah seluruhnya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply