• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bagaimana kami mengaturkan agihan wang zakat…

Byadmin

Aug 16, 2011

Kami menerima banyak e-mail, ada yang marah-marah dengan emosi. Namun, ada yang tenang mengemukakan soalan. Izinkan saya menitip satu e-mail yang bagi saya sesuai untuk dijawab dengan penuh kematangan. Nama pengirim saya ‘hilangkan’ demi kebaikan bersama.

Salam,

Sebagai pembayar zakat, saya ingin bertanya kepada pihak Lembaga Zakat, bagaimana agihan dibuat? Ini kerana institusi zakat dikaitkan dengan isu terbaharu yang masih hangat diperkatakan.

Persoalannya, bagaimana ini semua boleh terjadi? Bukankah pungutan zakat diterima amat besar? Apakah cara pendekatan yang dibuat oleh pihak zakat kepada penerima-penerima yang berhak mendapat zakat memandangkan adakah cara yang susah iaitu perlu ke pusat zakat untuk mengisi borang? Atau mereka hanya boleh akses dimana-mana surau atau masjid berdekatan untuk mendapatkan bantuan?

Harap pihak zakat dapat memberi jawapan bagi kemusykilan saya ini.

Terima Kasih.

Jawapan LZS:

Jawapan LZS:

1. Terima kasih kerana puan telah melaksanakan kewajipan zakat yang difardukan oleh Allah SWT. Semoga kehidupan puan ditambahkan keberkatan dan di akhirat menjadi penyebab mendapatnya lindungan arasy dan memasuki syurga, amin.

2. Menyentuh mengenai aspek agihan, LZS melaksanakan agihan zakat berdasarkan ketetapan fatwa yang telah diputuskan oleh JK Fatwa Negeri Selangor. Sudah pastilah ia bersandarkan kehendak Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu agihan zakat tidak boleh keluar daripada lapan asnafnya.

3. Demi memenuhi keperluan semasa, LZS membuat inovasi dalam agihan zakat dengan mewujudkan lima program teras, iaitu Program Pembangunan Sosial, Ekonomi, Pendidikan, Insan dan Institusi Agama. Maka, lapan asnaf tadi dikategorikan kembali berdasarkan lima program pembangunan ini. Hal ini telah diluluskan oleh pihak mufti Selangor selaku Pengerusi JK Agihan Zakat Selangor.

4. Menerusi lima program inilah, LZS menstrukturkan kembali keperluan asnaf. Misalnya dalam pembangunan pendidikan, anak-anak asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pendidikan dibiayai daripada asnaf fakir dan miskin, jika muallaf dibiayai dengan asnaf muallaf dan jika selain itu, dibiayai dengan asnaf fisabilillah.

5. Bagi fakir dan miskin rujukan kita adalah Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor, had al-kifayah dan Syarat-syarat Kelayakan Agihan Zakat.

6. Had al-kifayah merujuk kepada jumlah pendapatan sesebuah keluarga dibandingkan jumlah tanggungan. Boleh jadi RM1500 cukup bagi sepasang suami isteri tanpa anak; namun RM3500 belum tentu cukup bagi sepasang suami isteri dengan 10 orang anak. Inilah bezanya garis kemiskinan yang disediakan oleh pihak kerajaan dengan had al-kifayah.

7. Maka, dengan formula had al-kifayah, LZS mampu menangani kemiskinan secara lebih tepat. Ini kerana, kecukupan sesebuah keluarga mampu dipenuhi. Misalnya, jika keluarga A hanya memerlukan lagi RM250 bagi memenuhi kecukupan, maka itulah jumlah yang dibantu.

8. Dalam hal ini, LZS juga melantik lebih  1,500 amil kariyah di seluruh negeri Selangor yang bertindak membantu proses pembancian dan pemilihan fakir dan miskin.  Tidak sekadar itu, pegawai  LZS juga turut membuat semakan dan siasatan dengan turun sendiri ke kampung dan taman untuk menilai keadaan pemohon. Mereka yang tidak layak atau sudah terkeluar daripada had al-kifayah, maka tidak layak didaftarkan sebagai  asnaf fakir dan miskin

9. Bagi asnaf zakat yang lain, mereka dibantu berdasarkan keperluan semasa. Misalnya muallaf, dibiayai pelbagai keperluan seperti bantuan pernikahan dan modal perniagaan, sehinggalah usia keislaman mereka menjangkau lima tahun. Bagi asnaf gharimin (berhutang), LZS membantu dalam menyelesaikan masalah biaya rawatan sakit kronik, dialysis dan sebagainya. Begitu juga dalam asnaf fisabilillah, pembinaan dan baik pulih masjid, surau dan sekolah agama dibantu berdasarkan keperluan semasa.

10.Prosedur yang disediakan oleh LZS bukanlah bermaksud menyusahkan asnaf. Sebaliknya ia adalah langkah kawalan. Ada dua tujuan, pertama memastikan zakat hanya diagihkan kepada asnaf yang layak, dan keduanya, memastikan permohonan diproses secara betul dan menepati tempoh oleh pihak LZS.  Kami telah membangunkan piagam pelanggan bagi memastikan pegawai kami mematuhi tempoh yang ditetapkan, Insyaallah.

11.Tanpa prosedur, wang zakat terdedah kepada penyelewengan oleh pihak luar. Misalnya, dalam memohon wang kecemasan, prosedur mengelakkan pihak yang mengambil kesempatan daripada menerimanya berulang kali. Bahkan prosedur juga diaplikasikan dalam urusan dalaman zakat, iaitu melibatkan belanja pengurusan. Ini dapat mengelakkan ketirisan dan salah guna serta sebagainya.

12.Tanpa prosedur juga, pasti akan timbul pelbagai masalah. Hakikatnya, ini adalah proses penambahbaikan dan pensijilan oleh SIRIM dan sebagainya adalah suatu neraca ukuran atau piawai sejauh manakah kami di LZS mematuhi segala prosedur. Misalnya, LZS menetapkan ada permohonan hendaklah diproses dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan. Ataupun bagi kes kecemasan di Kaunter Zakat X-Press, prosedur menetapkan kelulusan dalam tempoh kurang 24 jam. Maka, prosedur membantu kami menangani isu-isu kelambatan dan lambakan proses permohonan dan membolehkan kami membuat penambahbaikan secara konsisten.

13.Sebenarnya juga, jika setiap pemohon memenuhi semua dokumen yang diminta, maka proses permohonan menjadi mudah dan dapat dilakukan dengan segera. Apa yang menjadi masalah, apabila borang dihantar tanpa dokumen lengkap, misalnya tiada penyata gaji, tiada resit daripada pembayaran hospital, tiada surat pengesahan rumah sewa dan sebagainya, maka LZS tepaksa meminta mereka melengkapkannya. Ini sudah pasti mengambil masa.

14.Hakikatnya juga, LZS telah mengambil langkah segera menangani isu kelewatan ini dengan menubuhkan kaunter Zakat X-Press di Ibu Pejabat yang akan memproses permohonan melibatkan amaun di bawah RM3000 dalam tempoh dua jam. Biasanya ia melibatkan kes kecemasan seperti kes musafir, bil-bil tertungak fakir dan miskin, bil-bil perubatan fair dan miskin dan sebagainya.

15.Selain bantuan kecemasan di atas, permohonan di bawah RM3,000 juga boleh dilakukan di semua cawangan LZS dan tempoh kelulusan adalah dalam 14 hari berkerja. Ia melibatkan bantuan pelbagai, misalnya bantuan pendidikan, yuran persekolahan, sewa rumah dan sebagainya.

16.Manakala bagi permohonan berskala besar, iaitu melebihi RM3000, pastilah ia mengambil masa kerana perlu diadakan siasatan yang lebih terperinci dan melibatkan kelulusan pihak atasan. Misalnya bantuan untuk rawatan dialysis, pembinaan surau dan rumah asnaf.

17. Kami di  LZS juga sentiasa memerlukan kerjasama masyarakat untuk turut membantu LZS mengenalpasti mereka  yang memerlukan bantuan sama ada membantu membawa mereka ke pejabat  zakat atau melaporkan keciciran jika berlaku kepada pihak LZS.

18.Kesimpulannya, LZS sedar bahawa menyelewengkan wang zakat adalah berdosa besar dan kami seboleh mungkin akan memastikan wang zakat diagih secara adil, telus dan amanah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: daripada Anas bin Malik r.a. pernah melaporkan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang bertanggung jawab menguruskannya),”(Hadis Riwayat Ahmad). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply