• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Benarkah berseluar pendek itu budaya mereka?

Byadmin

Jun 11, 2010

Sejak berpindah ke Kuala Lumpur kira-kira empat tahun lalu, saya mendapat kejiranan serba baharu. Maksud saya, bukan sekadar jiran sebelah-menyebelah yang fizikalnya sahaja baharu sahaja; tetapi juga melibatkan budaya, karakter, bangsa dan kepercayaan juga. Termasuklah juga segala macam yang berada di sekeliling rumah saya, semuanya serba baharu. Jauh berbeza dengan apa yang ada di Serendah, permukiman lama saya sekeluarga sejak 1999. Jauhnya amat ketara ibarat langit dan bumi…

Apa yang bezanya? Pertamanya, di Serendah dahulu kejiranan kami adalah majoriti orang Melayu-Muslim. Hanya ada dua atau tiga buah rumah non-muslim yang berdekatan dalam Taman Fasa 2 kami itu. Bila di Kepong, KL ini, terbaliklah pula. Taman kami ini majoritinya kaum Cina dengan komposisi 80% dan selebihnya baharulah India atau Melayu. Jiran sebelah rumah saya adalah Cina. Saya tak kisah mereka bangsa dan agama apa, bahkan daripada satu aspek lain, ia membuka peluang untuk saya berdakwah, mempamerkan keindahan Islam dan manalah tahu ia menjadi asbab terbukanya hidayah Allah buat mereka.

Namun, duduk dalam persekitaran yang didominasi oleh golongan ‘putih kuning’ ini sebenarnya amat mencabar keimanan. Manakan tidak, corak kehidupan kita orang Islam adalah amat berbeza dengan mereka, kita ambil sahaja aspek berpakaian. Pertama kali dalam keluarga saya, kami menerima tamu pada hari raya puasa yang penampilannya semua ber-T-Shirt dan berseluar pendek…daripada bapa membawa ke isteri membawa ke anak-anak, lelaki dan perempuan. Jika anak perempuannya baya anak tadika saya tak kisah; tetapi anaknya anak gadis…jenuh saya menahan pandangan dibuatnya!

“Excuse me…both of you…could you please stop from behave like this in public area.”

Jujurnya, saya menghormati hak mereka sebagai jiran. Namun, adakah mereka tidak menghormati hak orang lain pula sebagai jiran? Saya pernah membangkitkan persoalan ini kepada Ust. Daniel Tan, salah seorang pegawai mualaf di MAIS, dan beliau menyatakan bahawa orang-orang Cina memang tidak tahu bahawa ia adalah bertentangan dengan norma Melayu-Islam. Bagi orang Cina, berpakaian sedemikian adalah suatu kebiasaan. Di samping itu, adalah menjadi kebanggaan pula bagi mereka untuk menzahirkan kecantikan diri kepada orang lain. Maka, sebab itulah apabila mereka mengenakan pakaian yang kelihatannya terdedah dan menyesakkan pandangan kita; itu adalah bukti kecantikan diri mereka.

Saya cuba merasionalkan, bahawa dalam kehidupan ini ada perkara yang dianggap ‘commone sense’. Misalnya, bila nak melintas jalan harus melihat ke kiri dan ke kanan, bila dah buang air besar kena pam tandas, bila nak makan harus cari kedai makan bukan kedai buku, bila cikgu masuk kelas kena berdiri dan bila lalu depan orang tua harus beri hormat dan sebagainya lagi. Maka, bagi saya orang-orang Cina wajar memahami bahawa adalah suatu yang ‘common sense’ apabila berhadapan dengan orang Melayu khususnya Muslim, maka mereka wajar menjaga penampilan mereka.

Inilah suatu perkara yang pada hemat saya, wajar diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Saya tidak rasa berseluar pendek, bercelana ketat, berbaju sendat dan mendedahkan aurat (bagi non muslim…memanglah mereka tak faham aurat, masalahnya anak-anak orang Islam pun dah 2 x 5 seperti mereka…) sehingga menyendatkan mata dan minda orang lain itu sesuatu yang murni. Ia samalah seperti kita berpakaian kotor dan selekeh serta berbau hapak masuk ke majlis rasmi di istana misalnya. Secara nalar atau common sense, hati dan minda kita sendiri akan menghalang kita daripada memasukinya…kerana ia bukan sekadar memalukan diri sendiri bahkan merosakkan keharmonian majlis berkenaan.

Saya juga teringat, bekas pensyarah saya di UKM pernah ditempatkan beberapa purnama di Singapura, iaitu di National University of Singapore(NU). Kala itu, beliau sering menggunakan perkhidmatan seperti LRT di KL untuk berulang alik dari penginapanannya ke NU. Menurut beliau, muda-mudi di Singapura lagi ‘daring’ tingkahnya. Pernah terjadi, sepasang muda-mudi berketurunan Cina bercengkerama (bagi saya bercakau sambil asmara…) betul-betul di depannya di dalam koach. Hatinya panas, sepanas adegan di depan matanya, makin lama hatinya terus terbakar. Sudah terbakar, asap pun sudah mula mengepul dari lubang telinganya…saya agaklah….lalu dengan berani beliau menegur kedua-dua orang anak muda itu yang sedang tenggelam dalam adegan cumbu-bercumbu.

“Excuse me…both of you…could you please stop from behave like this in public area.”

Tegurannya itu membangkitkan rasa jengkel pasangan itu. Mereka berhenti seketika daripada terus bercumbu. Tetapi dengan beraninya si lelaki berkata… “Who are you? Who’s care…”

Pada fikiran anak muda itu, pastilah pensyarah saya yang memang jelas wajah jawanya dan jelas bertudung itu, akan menyatakan… ‘because I’m Moslem…’ tetapi tidak, pensyarah saya faham, itu akan lebih menjengkelkan mereka. Lalu pensyarah saya menyatakan begini…

“I care…why? Because you and your girl friend and me too…we’re Asean…and what you have done, is not our culture!’

Berbalik kepada isu budaya, saya yakin bahawa berseluar pendek dan berbaju sendat bukanlah budaya orang Cina yang lahir dari leluhur mereka. Sebaliknya, ia adalah suatu evolusi yang diresapi elemen luaran yang bersifat kebaratan. Bangsa Cina adalah orang Timur dan sebagai orang Timur, kita mempunyai persamaan, iaitu tinggi rasa malu dan amat menghormati orang lain. Inilah topik yang patut dibangkitkan dan pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan, wajar menyemainya kembali dalam silibus pendidikan kita. Jika tidak, apa yang terjadi di Singapura di atas…lambat laun akan menjadi biasa pula di negara kita! Minta dijauhkan Allah hendaknya…Wallahua’lam.

 

Related Post

Leave a Reply