• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Berdakwahlah…

Byadmin

Feb 2, 2010

Dakwah adalah tugas mulia lagi terpuji. Namun, bukan semua orang mahu menggalas kerja dakwah ini. Ada yang skeptikal, kononnya menyarung jubah dakwah seolah-olah menghampiri garisan ekstrimisme dalam Islam. Ada yang berpandangan, kerja dakwah adalah kerja para asatizah, kerja pak imam dan tok qadhi. Kerja dakwah ini mesti masuk kumpulan tertentu. Astaghfirullah…itulah salah faham dalam konsep dakwah.

Realitinya, semua orang bisa menjadi pendakwah. Secara umum, dakwah itu sendiri ada dua kategori, iaitu dakwah kepada non muslim dan dakwah sesama muslim. Dakwah kepada non muslim adalah Dakwah Islamiyyah, mengajak mereka memeluk Islam, beriman kepada Allah SWT dan Muhammad SAW. Manakala dakwah sesama muslim ialah Dakwah Islahiyyah, yakni memperbaiki sesama muslim agar menjadi lebih taat dan takwa kepada Allah SWT. Saya sendiri pernah ditanya oleh Bro Shah Kirit, sejauh manakah kononnya saya sudah berdakwah? Tolong sebutkan siapa di kalangan non muslim yang telah saya dakwahkan kepada mereka…alahai…hampir-hampir saya kantoi menjawabnya. Mujurlah, dalam perjalanan hidup saya, adalah beberapa individu non-muslim yang pernah saya dakwahi, namun setakat ini masih belum ada yang berjaya memeluk Islam di tangan saya. Tapi…adalah…

Dakwah memerlukan uslub atau pendekatan. Dakwah tidak boleh dibuat secara hentam keromo, secara membabi-buta tanpa perancangan dan perkiraan. Uslub inilah, menjadikan medan dakwah nampak ceria, ada kepelbagaian dan ada keragaman. Setiap orang mesti ada uslubnya yang tersendiri…dan terserahlah, sama ada mahu menggunakan kemahiran interpersonal yang tinggi, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menulis, kemahiran berhujah dan berpidato atau setidak-tidaknya mempamerkan akhlak muslim sejati…itu juga adalah uslub dakwah.

Maka, kita boleh katakan bahawa uslub dakwah itu ada tiga, yakni uslub dakwah bil hal (perbuatan atau tingkah laku), uslub dakwah bil lisan (ucapan dan kata-kata) dan bil qalam (dengan penulisan termasuklah di internet). Sebelum ini, ramai mengklasifikasikan uslub dakwah hanya ada dua sahaja, tapi bagi saya ia perlu dikembangkan kepada tiga dengan memasukkan uslub bil qalam sebagai pelengkapnya.

Dakwah pula memerlukan muqaddimah, dan ini pun adalah uslub dakwah juga. Seorang ustaz kenalan saya semasa di UKM, beliau pernah bercerita bagaimana seorang pemuda Ikhwan (jika saya tak salah) telah sengaja menjatuhkan bukunya di hadapan seorang pemuda lain, dan apabila ada komunikasi maka dari situlah akan wujudnya peluang dakwah. Imam Hassan al-Banna pula semasa zaman kanak-kanaknya, telah menubuhkan satu kumpulan yang kerjanya mengawasi perbalahan di antara pelbagai kumpulan Islam dan orang-orang agama di Ismailiyah, kemudian mereka menghantar surat menegur secara berani, siap dilampirkan jenis kesalahan dan apakah dalil daripada nas naqal. Tindakan mereka berjaya mengetuk minda masyarakat dan itu juga adalah satu uslub.

Jemaah Tabligh misalnya, mengekalkan corak dakwah yang begitu tradisi dan ia juga adalah uslub dakwah. Cumanya, bila ada pertikaian tentang dalil khuruj tiga hari, 40 hari dan empat bulan, itu perkara lainlah. Namun, saya sering berangan-angan, bahawa potensi yang ada pada kumpulan Tabligh ini sebenarnya amat besar dan jika dapat disalurkan secara baik maka ia akan meninggalkan impak yang besar kepada Dakwah Islamiyyah dan Dakwah Islahiyyah. Ini kerana, Kumpulan Tabligh ini bagi saya melengkapi ruang dakwah asas yang sering gagal dipenuhi oleh jemaah lain, ambil sahaja JIM atau ABIM. Tabligh mengekalkan dakwah secara fardiyyah, yakni dakwah individu yang merupakan senjata terampuh yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Hem…memang menarik memperkatakan soal dakwah. Soalan saya, sudahkah kita ini berdakwah…?

Related Post

Leave a Reply