• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Berinteraksi dengan buku…

Byadmin

Nov 6, 2009

Nota: Dalam ruangan ini, saya akan membuat ulasan awal terhadap buku yang bagi saya menarik untuk dibaca. Ia bermakna, buku berkenaan masih belum habis saya baca, tapi saya akan memberikan impressi awal kepada peminat buku untuk menilainya. Jika buku berkenaan sudah habis dibaca, saya akan tulis bawah tajuk Rbuku-u-ghazaliesensi Buku.

Buku pertama kita ialah…jeng…jeng…

Tajuk: Memberi tanpa diminta: Itulah falsafah zakat
Penulis: Ustaz Md Ghazali Ibrahim
Penerbit: Tijarah Network
Bil. Muka: 196 halaman
ISBN: 978-983-42922-3-2
Harga: Sem. RM23.00/ Sab & Sar RM25.00

Pelbagai buku mengenai zakat sudah ditulis oleh ramai orang yang terdapat di pasaran. Namun, menguliti buku ‘Memberi tanpa diminta: Itulah falsafah zakat’, benar-benar memberikan kelainan. Ditulis dengan gaya penuh santai oleh individu yang memang pernah terlibat secara langsung sebagai amil zakat, adalah satu kelebihan kepada buku ini. Ia bukan sekadar digarap dengan ilmu dan teori; tetapi dengan kesedaran dan pengalaman sendiri.

Dengan memaparkan ‘tag line’ – Memberi tanpa diminta – buku ini cuba menerobos kebekuan minda umat Islam, bahawa zakat sepatutnya tidak hanya diberi apabila diminta. Sesungguhnya, zakat adalah amalan yang bersifat pro-aktif. Umat yang baik, memberi dengan senang hati. Justeru itulah falsafah zakat yang sebenar, sebagai bukti ketaatan dan kerinduan kepada Allah SWT.

Terbahagi kepada 10 bab utama, buku ini mengupas perihal zakat bermula daripada pandangan Islam terhadap harta. Kemudian, dibangkitkan persoalan, kenapakah umat Islam wajib pula mengeluarkan zakat daripada harta mereka. Tidak lupa diselitkan beberapa anekdot menarik, memaparkan pelbagai kisah manusia yang beroleh berkat dengan berzakat dan simpang-siur perangai manusia dalam mendepani zakat

Dengan kaedah paling mudah juga, pembaca turut didedahkan pemahaman awam mengenai fikah zakat. Ia merangkumi pengertian zakat, kaedah berzakat, golongan yang berhak kepada harta zakat, kepentingan zakat di sisi ekonomi ummah dan juga keutamaan zakat sebagai kunci kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Demi menjernihkan pemahaman khalayak awam, buku ini juga memasukkan kaedah pengiraan zakat yang praktikal. Pembaca diharap mampu menaksir sendiri zakat mereka, yang meliputi zakat emas dan perak, zakat wang simpanan, zakat pendapatan, zakat pertanian dan penternakan serta pelbagai jenis zakat harta lagi setelah usai menuntasi buku ini.

Tidak lupa, penulis juga cuba merungkai beberapa persoalan lazim yang sering menjadi polemik masyarakat, misalnya kedudukan lafaz zakat, hukum memberi zakat kepada orang fasiq, persoalan zakat dan hutang, menunaikan zakat di tempat lain dan sebagainya lagi.

Sesungguhnya, buku yang sederhana tebal ini boleh dijadikan buku poket zakat bagi seluruh umat Islam, khususnya mereka yang masih tercari-cari buku mengenai zakat. Ia bukan sekadar praktikal dan mudah, namun mampu menjentik emosi dan memotivasikan diri dalam mematuhi rukun Islam yang ketiga ini. Bak kata penulis, walaupun asalnya kita mungkin menganggap berzakat itu mengurangi harta; namun hakikatnya ia adalah baja yang menjadi nutrien bagi menyuburkan iman dan harta kita sebenarnya. Wallahua’lam.

Nota: Buku-buku lain yang ditulis oleh Ustaz Md Ghazali Ibrahim ialah Nota Wasiat, Urus Harta Sebelum Mati, RM38 Billion Pusaka Belum Dituntut, Kenapa Mesti Merancang Pusaka dan terkini Kembara Hati di Tanah Suci.

 

Related Post

Leave a Reply