• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Berkhutbah atau baca khutbah?

Byadmin

Jul 27, 2009

Pertama kali menyampaikan khutbah, kaki dan tangan saya agak menggeletar. Seram sejuk satu badan. Peluh merenik-renik keluar, telapak tangan sejuk berpeluh. Saya tak tahu wajah saya jadi pucat biru atau kaler apa? Itu berlaku kira-kira pada tahun 2004, di Masjid Jamek al-Amaniah, Batu Caves. Sepatutnya sahabat saya Ustaz Shahafizan yang membaca khutbah, tapi dia menolak last minute…sebagai Ketua Operasi Zon Timur semasa itu, maka saya terpaksa menggalas penolakannya walau itu adalah pengalaman pertama kali bagi saya sendiri. Alhamdulillah, dalam dok terketar-ketar itu, tamat juga bacaan saya dan siap jadi imam lagi. Paling penting, semuanya itu berlaku dalam keadaan serba terkawal.

Rupa-rupanya, tugas memberikan khutbah bukanlah mudah. Di samping kita mesti mematuhi segala syarat dan rukunnya, apa yang lebih utama ialah memastikan audiens tidak TIDUR! Inilah yang paling sukar. Inilah cabaran utama saya dan saya sendiri cukup PANTANG jika ada jemaah yang tertidur semasa saya menyampaikan khutbah Jumaat. Ini PANTANG no. 1 saya!

Memang, mengikut satu pandangan, waktu yang paling LENA tidur ialah waktu khutbah Jumaat sedang berlangsung. Ada beberapa faktor pendorong kepada kelenaan melampau itu, antaranya:

1. Suasana masjid yang tidak kondusif – ada sesetengah masjid yang panas dan meruwap dan tidak cukup oksigen yang mengundang rasa mengantuk dan memenatkan, maka pendengar cenderung jadi letih dan mudah lena
2. Prasarana siaraya yang lemah – sesetengah masjid gah pada rupa sahaja, tapi sound system-nya tidak memberangsangkan, tenggelam-timbul dan bertelau-telau hingga suara tidak jelas kedengaran
3. Kompetensi khatib yang boleh dipertikaikan – ada khatib yang memang tidak tahu menyampaikan khutbah, tiada interaksi dengan jemaah, hanya membaca secara terus, tiada ritma dan intonasi serta pelbagai kelemahan lagi
4. Isi khutbah yang tidak menyentuh sensitiviti – tidak dinafikan, isi kandungan kebanyakan khutbah tidak bersifat lokal, bersifat awang-awangan dan terlalu umum serta isunya juga tidak jejak di bumi, misalnya kempen minum air kelapa muda dan mendaki gunung Everest…adalah lebih baik jika khutbah menjurus kepada isu setempat yang berlaku di tempat berkenaan, lebih dekat di hati pendengar.

Namun, setelah bertahun-tahun menyampaikan khutbah saya masih tidak berani berkhutbah tanpa merujuk kepada teks. Maka, pada Jumaat lepas bertempat di Masjid Nurul Iman Serendah, saya memberanikan diri menyampaikan khutbah tanpa melihat teks. Alhamdulillah, saya berasa sangat selesa dan penyampaian saya berlaku secara natural. Saya mampu menarik perhatian audiens sehingga saya rasa, tiada seorang pun yang tertidur di hadapan saya. Saya amati juga dari atas mimbar, jemaah yang duduk di luar pun rasa tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan. Saya pula semasa itu, menggabungkan dua tajuk dalam satu khutbah, iaitu ‘Akidah dan Zakat.’

Maka, bagi saya, sudah sampai masanya para khatib yang dilantik memegang amanah di atas mimbar agar dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka. Tidak kisahlah jika mereka membaca sekali pun; namun saya yakin, kemampuan khatib memainkan peranan akan menarik orang bagi mendengar apa yang disampaikan. Jika tidak, khutbah Jumaat hanya akan menjadi amalan ritual semata-mata, tanpa mampu meninggalkan kesan mendalam kepada setiap orang yang mendengarnya.

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply