• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bermusafir membawa anak melihat dunia

Byadmin

Nov 24, 2010

Nota: Artikel ini disediakan untuk MIDI

Ke mana kita musim cuti sekolah ini? Pastinya di minda kita sudah tersedia beberapa rancangan menarik untuk seisi keluarga. Saat ini, kita perlu bijaksana mengatur perbelanjaan agar wang yang dilaburkan benar-benar berbaloi pulangannya. Jika hampir setahun kita sudah bergelut dengan pekerjaan yang tiada sudahnya, maka inilah masanya untuk kita berehlah dan beriadah bersama keluarga tercinta.

Di antara perkara yang menarik dan patut kita lakukan dengan anak-anak ialah membawa mereka mengembara atau bermusafir. Pilihlah destinasi mana pun tidak mengapa. Jika berkemampuan, elok bawa anak-anak kita ke luar negara. Jika kurang bajetnya, maka berkelanalah di dalam negara.

(Foto dipetik dari http://www.kompasiana.com/pemuda_berkelana)

Sebenarnya, bermusafir dan berkelana adalah sunnah Rasulullah SAW. Saat usia baginda sekitar 12 tahun, Nabi Muhammad SAW sudah mengikuti rombongan perdagangan bapa saudaranya Abu Talib ke Syam (kini Syiria). Dalam sejarah mencatatkan, dengan ekspedisi itulah, minda nabi kian terbuka dan nabi dapat menimba banyak pengajaran demi kehidupannya.

Allah SWT sendiri menganjurkan kita agar melihat dunia ini dan mengambil manfaat daripada kejadian alam yang rencam dengan kepelbagaian budaya manusianya. Di dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10 misalnya, Allah SWT menyatakan: “Maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Anak-anak kita yang hidup di Malaysia ini, rata-ratanya berada dalam kemewahan. Seperti yang pernah saya nukilkan, kemewahan boleh mencipta zon selesa atau ‘comfort zone’ dalam diri mereka. Ia akhirnya menjadi suatu ‘status quo’ yang jika gagal dikesani sedari awal dan ditangani segera, mampu menjadi liabiliti pula dalam hidup mereka. Zon selesa menghasilkan manusia yang enggan mencabar diri sendiri!

Untuk menerobos zon selesa itu, maka bawalah anak-anak kita untuk mendekati masyarakat di luar sana yang berada dalam kesusahan. Misalnya, bawa mereka ke rumah orang-orang miskin, biar mereka lihat keadaan kemiskinan itu dan bandingkan dengan keadaan diri mereka yang mungkin tidak pernah merasa secebis pun kesusahan hidup. Dari mata jatuh ke hati. Ia ibarat mengetuk minda mereka secara halus melalui apa yang mereka saksikan.

Jika perlu, bawa mereka menziarahi rumah anak-anak yatim yang daif, biar mereka melihat keadaan anak-anak sebaya mereka yang kehilangan ibu dan ayah lalu membesar tanpa pelukan ibu bapa. Biar mereka lihat, bagaimana anak-anak yatim itu tahu menguasai diri dan mampu berdikari walau di awal usia. Dari situ, anak-anak kita tahu mensyukuri nikmat adanya ibu bapa dan betapa malangnya jika mereka tidak tahu menghargai orang tua.

Apabila mereka melihat kemiskinan dan kesusahan, dari situ juga akan tumbuh rasa kesyukuran dalam diri. Kesyukuran itu akan bercambah dan menjalar, sehingga mereka tahu untuk berkongsi dan berbahagi kepunyaan diri. Hati kita pasti terpagut sendu, andai seorang anak kecil menghulurkan wang ringgit yang diambil daripada tabungannya untuk disedekahkan kepada orang lain yang lebih memerlukan. Itulah natijah kesyukuran.

Ini kerana, mendidik manusia khususnya anak-anak erti bersyukur adalah amat payah. Manusia itu, selalunya tidak memahami erti syukur selagi apa yang diingini mudah didapati. Apa yang ada selalunya jarang disyukuri. Namun, setelah nikmat itu tiada, baharulah dirisaukan. Baharulah timbul betapa besar nikmat dan anugerah Tuhan.

Lalu, Allah SWT mengingatkan manusia, bahawa kelalaian hidup di dunia ini dengan segala macam kesenangannya adalah hambatan kepada kita untuk mendapatkan syurga. Firman Allah SWT di dalam surah at-Takasur, ayat 1-3: “Bermegah-megahan (dalam soal banyak harta, anak, pengikut, kemuliaan, dan seumpamanya) telah melalaikan kamu (daripada ketaatan), sehingga kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat daripada perbuatanmu itu).”

Maka, berilah kesempatan kepada anak-anak kita mengenali dunia di luar lingkungan mereka. Cicipilah perbezaan lingkungan itu agar mereka tahu dan sedar diri, bahawa nikmat Allah SWT sudah begitu banyak mereka kecapi. Langsung dari situ, kita berharap mereka mampu merubah persepsi: bahawa dunia ini adalah tempat berkongsi kesenangan yang sementara; demi kebahagian di akhirat yang hakiki. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply