• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Berpoligami tapi tak mampu, boleh minta zakat?

Byadmin

Mar 3, 2010

Saya adalah suami kepada dua orang isteri dan mempunyai 11 orang anak dan sembilan daripada anak-anak saya masih dalam tanggungan. Soalannya, jika saya tidak mampu menyara mereka bolehkah saya memohon bantuan zakat?

Jawapan: Hakikatnya, tanggung jawab menyara keluarga adalah terletak di atas bahu suami. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan ke dalam mulut isterimu,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Saad bin Abi Waqas).

“…Islam memberikan kebenaran berpoligami juga antaranya adalah demi membela nasib ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim…”

Atas dasar itulah, maka Allah SWT menyebut di dalam al-Quran perihal kemampuan diri sebelum membebaninya dengan pernikahan, firman-Nya: “Maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja,” (an-Nisa’: 3)

Rasional Islam memberikan kebenaran berpoligami juga antaranya adalah demi membela nasib ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim, sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasululullah SAW. Daripada sembilan isteri nabi (mengikut riwayat yang masyhur), hanya seorang sahaja yang berstatus gadis, iaitu Saiyidatina A’aishah binti Abu Bakr r.a.

Oleh itu, memandangkan saudara sudah memilih untuk beristeri dua dan mempunyai anak-anak yang ramai dan semuanya merupakan tanggungan yang wajib, maka sudah menjadi satu kewajipan bahawa saudara mestilah terlebih dahulu berusaha mencari nafkah demi memenuhi keperluan mereka.

Hal ini dapat disandarkan kepada sebuah kisah pada zaman Rasulullah SAW, iaitu seorang lelaki Ansar telah datang menemui nabi dan meminta sedikit makanan. Lalu nabi bertanya apakah ada sesuatu di rumahnya yang boleh dijual, maka pemuda itu menyatakan ada. Nabi menolong pemuda itu menjual barangan itu dan mendapat beberapa dirham, lalu nabi mengambil separuh dan meminta agar dibelikan makanan untuk keluarganya dan separuh lagi nabi arahkan pemuda itu membeli kapak dan mencari kayu. Selepas 15 hari, pemuda itu datang lagi dengan wajah berseri-seri dan ditangannya ada keuntungan hasil jualan kayunya. Hadis ini adalah riwayat Anas bin Malik r.a.

Ia menunjukkan bahawa, usaha mencari rezeki hendaklah diutamakan sehinggalah tiada jalan lagi atau keadaan yang mendesak, maka kala itu baharulah seseorang suami itu wajar memohon bantuan orang lain demi menguruskan keperluan keluarganya.

Dalam pada itu, jika terbukti setelah berusaha gigih pun saudara masih tidak mampu memenuhi keperluan asasi mereka, misalnya sehingga menyebabkan mereka kelaparan, tidak mempunyai tempat tinggal yang selamat, tidak mampu meneruskan persekolahan, atau keadaan-keadaan yang berkaitan, maka ketika itu baharulah saudara berhak memohon bantuan daripada zakat atas asnaf miskin, gharim atau fisabilillah misalnya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply