• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bicara di sebalik tirai besi?

Byadmin

Jul 20, 2009

Tirani? Itulah antara ungkapan yang sering dilabelkan kepada manusia-manusia yang terjajah tubuh badan mereka di dalam penjara, terkurung dalam sangkar besi dan dilarang berasosiasi dengan dunia luar. Wujudkah tirani ini dalam dunia moden kini? Masih wujudkah?

tirani1Saya sempat menekuni beberapa buah buku yang berintikan tirani ini. Dua Wajah tulisan Dr Syed Husin Ali misalnya, adalah catatan sebenar manusia yang terpenjara badannya. Namun, jiwanya bebas merdeka. Dan kini, saya sedang asyik meladeni Mencari Jalan Pulang oleh Dr Kassim Ahmad. Mereka berdua ini adalah manusia dari jurusan yang sama, iaitu beraliran sosialisme. Bezanya, Kassim Ahmad akhirnya terpengaruh dengan aliran Sosialisme Marxisme dan Syed Hussin kekal ampuh dalam sosialisme beracuan sederhana. Bezanya juga, akhirnya Kassim Ahmad masuk ke dalam parti Umno manakala Syed Hussin kini masuk ke aliran nasionalisme, ya…mungkin membentuk Sosialisme Nasionalisme pula. Ah…apa-apa sahaja…isme-isme ini memusingkan kita selalunya.

Saya hanya mahu menyatakan, kedua-dua mereka ini pernah dirantai tubuh mereka di sebalik tirai besi yang bernama ISA. Hak mereka dinafikan dan jadilah mereka manusia yang berbicara di sebalik tirai besi.

Ramai sebenarnya manusia di dunia ini yang berbicara di sebalik tirai besi. Namakan sahaja tokoh dunia yang penuh wibawa, Nelson Mandela bahkan hingga kini Aung Sun Suu Kyi…adalah mangsa tirani ini. Bahkan liku-liku perjuangan Islam di bumi Mesir – bumi kelahiran ramai anbiya juga bumi tiga manusia derhaka, Qarun, Haman dan Firaun – turut menempa nama-nama gagah seperti Hassan al-Banna, Sayid Qutb dan Zainab al-Ghazali yang turut berbicara di sebalik tirai besi. Begitu juga di Libya dengan Umar Mukhtar, di Indonesia dengan Buya Hamka, di Turki dengan an-Nursinya.

Tahun 1997, semasa berhari raya haji di Kampung Berhala Gantang di rumah sahabat saya, Hairul Azmi, saya sempat mengkhatamkan sebuah buku mengenai keperitan muslimah Ikhwan, iaitu Zainab al-Ghazali. Begitu tekun saya membacanya dan saya terkesima dengan keampuhan semangat juang yang ada pada tubuh wanita berjiwa mulia ini. Tirai besi yang memenjarakan tubuh badannya; tidak mampu memenjarakan minda dan jiwa nuraninya. Akhirnya roh Islam terus memancar keluar di bilahan besi-besi jeriji menyimbah ke hati-hati manusia di luar sana.

Kenapa saya menulis entri ini? Entahlah…tiba-tiba jiwa halus saya berbisik mulus… ‘Bebaskanlah manusia daripada belenggu dunia, kita ini makhluk Tuhan yang berakal, hiduplah dengan ketamadunan sebenar, bukannya dengan berlindung di sebalik tirai besi yang nisbi.’

Related Post

Leave a Reply