• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bicara Zakat: Agihan Zakat Fitrah

Byadmin

Aug 20, 2010

Ada pihak menyatakan, zakat fitrah adalah khusus dikeluarkan kepada asnaf fakir dan miskin sahaja. Mereka juga berkata, adalah menjadi satu  sunnah untuk memberikan zakat fitrah terus kepada penerima. Benarkah pendapat ini?

Jawapan: Memang ada ulama’ yang berpendapat bahawa zakat fitrah ini khusus bagi fakir dan miskin. Mereka menyandarkan pendapat tersebut kepada sebuah hadis Nabi SAW: “Penuhilah keperluan mereka (fakir dan miskin) pada hari (Aidilfitri) itu (agar mereka  tidak meminta-minta).” (Hadis riwayat Baihaqi dan Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)
 
Pendapat ini turut dikemukakan oleh Ibn Taimiyah di dalam Majmu’ al-Fatawa dan Ibnul Qayyim di dalam kitabnya Zaadul Ma’ad.

Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ juga menyatakan zakat fitrah sama hukumnya dengan zakat harta. Mereka menyandarkan hujah kepada ayat al-Quran di dalam surah at-Taubah, ayat 60 mengenai siapa yang berhak terhadap zakat termasuklah zakat fitrah. Malahan ada ulama’ yang menyatakan golongan kafir zimmi juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.
 
Manakala, ulamak fikah berpendapat bahawa mengumpulkan zakat fitrah kepada satu pihak (amil) untuk diagihkan kembali adalah perbuatan sunnah. Ini berdasarkan tindakan Nabi SAW sendiri sebagaimana yang diakui oleh Abu Hurairah r.a, iaitu: “Rasulullah SAW memberitahu kepadaku agar aku menjaga (dilantik mengawasi) zakat Ramadan.” (Riwayat Bukhari)
 
Ibnu Umar r.a juga mengeluarkan zakat fitrah kepada jawatankuasa yang dibentuk oleh imam dan mereka mengumpulkan zakat fitrah itu satu atau dua hari sebelum hari raya Aidilfitri.
Sebuah hadis telah dikeluarkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bersumber daripada Abdul Warits daripada Ayyub: “Aku Berkata: Bilakah Ibnu Umar (akan) mengeluarkan satu shaa’ (zakat fitrah)? Berkata Ayyub: “Apabila petugas telah duduk (bertugas).” Aku berkata (lagi): “Bilakah petugas itu mulai bertugas?” Beliau menjawab: “Satu hari atau dua hari sebelum Aidilfitri.”
 
Kesimpulannya, adalah lebih afdal (utama) mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang dilantik oleh pemerintah. Ini kerana, ia membolehkan zakat fitrah tersebut dikumpul dan diagihkan secara lebih saksama dan sistematik. Manakala, zakat fitrah tidaklah semata-mata hanya untuk fakir dan miskin sahaja. Ia juga boleh disalurkan sebagaimana zakat harta kepada asnaf yang lapan. Namun, zakat fitrah memang lebih sesuai disalurkan kepada asnaf fakir dan miskin menjelangnya hari raya, kerana ia lebih bertepatan dengan roh Ramadan dan Aidilfitri. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply