• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bicara Zakat: Ikhlas dan rebat cukai

Byadmin

Dec 23, 2010

Nota: Disediakan untuk Bicara Zakat Utusan

Soalan: Saya mengambil kesempatan menunaikan zakat pada setiap penghujung tahun menjelang 31 Disember, antaranya kerana mahu mendapatkan resit pada tahun semasa dan menolak jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar. Soalannya, adakah hilang keikhlasan saya dan adakah sah zakat saya itu?

Jawapan: Terima kasih kerana bertanya dan soalan ini baik sekali. Soal keikhlasan memang penting. Ini kerana, setiap amalan di sisi Islam, adalah bersandarkan kepada niatnya. Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang itu (akan dibalas) berdasarkan seperti apa yang diniatkannya,” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Seorang sahabat nabi yang berhijrah kerana mengejar seorang wanita, maka dia mendapatkan wanita itu. Dia tidak mendapat pahala berhijrah seperti mana orang lain.

Oleh itu, niat dalam melaksanakan apa-apa amalan, hendaklah 100 peratus disandarkan kepada Allah SWT. Manakala, kelebihan-kelebihan sampingan lain, sama ada mendapat rebat ke atas cukai, mendapat hadiah atau apa-apa sahaja, hanyalah manfaat sampingan.

Para ulamak memang ada membahaskan perihal percampuran niat ini. Mereka mempunyai dua sisi pandang mengenainya.

Di sisi Imam al-Ghazali, beliau menyatakan: “Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperolehi pahala.”

Manakala pada sisi Imam Abu Ja’afar at-Tobari pula: “Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya.” (Rujuk: Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah. Walau bagaimanapun, jika ada niat sampingan, maka ia hendaklah dikemudiankan. Ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu mengutamakan niat sampingan berbanding niat kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunnah dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badan.

Walau bagaimanapun, di sisi agama Islam, zakat adalah amalan yang dikategorikan sebagai hukum taklifi. Ia adalah fardu dan wajib. Amalan fardu lagi wajib ini, pengertiannya menurut syariah, apabila menunaikannya mendapat pahala dan jika meninggalkannya mendapat dosa.

Maka, sesiapa sahaja yang menunaikan zakat, sama ada atas niat mahu mendapatkan rebat cukai atau apa-apa sahaja, hakikatnya dia masih tertakluk kepada hukum asal zakat – yakni berpahala mengerjakannya dan berdosa meninggalkannya.

Namun, sama ada benar-benar mendapat pahala atau tidak, ia adalah urusan Allah SWT. Apa yang penting, jika ibadah zakat ditunaikan berbetulan dengan syarat dan rukunnya, ia tetap sah dan mudah-mudahan ia berpahala.

Oleh itu, adalah lebih molek sekiranya kita mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah. Sama ada terpaksa atau rela, ia adalah kewajipan kita. Maka, menunaikannya dengan niat sepenuh hati mentaati hukum dan perintah Allah SWT adalah lebih baik dan dipandang terpuji lagi mulia di sisi Allah SWT.

Kesimpulannya, utamakan berzakat kerana mentaati perintah Allah, kemudian rebutlah segala manfaat sampingan yang ditawarkan. Insya-Allah, kita akan beroleh pahala dan amalan itu sah di sisi Allah SWT. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my

Related Post

Leave a Reply