• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bicara Zakat: Persoalan zakat ternakan

Byadmin

Mar 22, 2012

Soalan: Saya ada kemusykilan mengenai zakat ternakan. Adakah semua jenis ternakan, termasuklah Seladang dan Rusa wajib dizakatkan? Keduanya, saya mempunyai sebuah ladang menternak kambing yang dibina secara berkongsi dengan seorang teman. Jika menurut kiraan saya, kambing yang kami miliki, masing-masing tidak cukup nisabnya. Iaitu, saya memiliki 30 ekor kambing dan teman saya pula 25 ekor kambing. Adakah kami tidak perlu mengeluarkan zakat kambing berkenaan? Harap penjelasan ustaz.

Jawapan: Alhamdulillah jika tuan mempunyai hasrat dan niat mengeluarkan zakat penternakan. Sesungguhnya, menternak kambing memang merupakan satu pekerjaan yang mulia, kerana ia adalah warisan para nabi. Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad saw adalah orang yang pernah
bekerja menternak haiwan ternakan ini, khususnya kambing.
Dalam bab zakat ternakan, Allah SWT hanya mewajibkan umat Islam untuk mengeluarkan zakat ke atas haiwan tertentu sahaja. Apa yang dimaksudkan sebagai haiwan ternakan tertentu ini ialah, haiwan yang berkaki empat dan sudah biasa diternak oleh manusia sejak zaman dahulu. Dalam bahasa Arab ia diistilahkan sebagai al-an’am.
Dalilnya ada dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu: “Tidakkah mereka melihat bahawa sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan bagi mereka dengan kekuasaan Kami, binatang ternakan untuk mereka miliki dan Kami peruntukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagian daripadanya menjadi kenderaan mereka dan sebahagian lagi mereka makan. Dan daripadanya mereka dapatkan manfaat-manfaat yang lain berupa minuman, apakah mereka tidak bersyukur?” (Surah Yaasin: 71-73)
Maka, dapatlah kita fahami bahawa tidak semua haiwan yang diternak oleh manusia itu wajib dizakatkan. Hanya haiwan yang berkaki empat sahaja, iaitu kambing, domba, biri-biri, kibasy, kerbau, lembu dan unta yang wajib zakat. Manakala, ternakan lain seperti ayam, itik dan burung unta tidaklah wajib. Apatah lagi jika menternak burung, arnab dan kucing.
Manakala, rusa, seladang mahupun apa sahaja haiwan yang memang dikategorikan sebagai haiwan liar asalnya, walaupun ia sudah diternak secara komersial, ia tidaklah wajib dizakatkan sebagai zakat
penternakan. Haiwan seperti ini, hendaklah dikenakan zakat ke atas hasil daripadanya, iaitu sama ada zakat pendapatan mahu pun zakat perniagaan.
Merujuk kepada soalan saudara di atas, iaitu kambing yang diternak secara perkongsian. Maka, dalam istilah fiqh, ia dinamakan sebagai harta khultah. Apakah makna harta khultah? Umumnya, ia merujuk kepada harta perkongsian atau harta yang zahirnya terpisah-pisah namun hakikatnya bersatu.
Dalam konteks amalan semasa di Malaysia, institusi tertentu telah mengaplikasikan kaedah ini untuk mengeluarkan zakat mereka, misalnya Tabung Haji. Ini kerana, jika dilihat kepada pemilikan individu, ada dalam kalangan pencarum di Tabung Haji yang tidak cukup nisabnya; namun apabila dicampurkan kesemuanya, maka wang caruman berkenaan sudah melebihi nisab dan zakat dikeluarkan atas nama Tabung Haji ke atas semua amaun wang yang ada.
Maka, jika kita merujuk kepada ternakan saudara dan teman saudara, jika dipisah-pisahkan memanglah ia tidak cukup nisab (40 ekor kambing); namun jika disatukan kesemua kambing itu, maka ia sudah pun melebihi jumlah nisab, iaitu 55 ekor kambing. Maka, di sisi syariat Islam, saudara dan teman saudara itu, hendaklah mengeluarkan zakat ke atas ternakan berkenaan, kerana sememang sedari awalnya harta ternakan tersebut adalah bersatu.
Dalam kes ini, zakat ternakan ke atas 55 ekor kambing ialah seekor kambing. Saudara boleh mengeluarkannya dengan cara mengambil seekor kambing daripada ternakan ataupun ditukarkan ke dalam bentuk harga (RM) dan diberikan kepada pihak institusi zakat, seperti Lembaga Zakat
Selangor.
Jika kita merujuk kepada pandangan fuqaha sendiri, mereka turut membahaskan berkenaan nisab ke atas pemilikan harta yang dimiliki secara personal dan secara bersama atau perkongsian ini. Sebahagian fuqaha, misalnya menurut pandangan Mazhab Syafie, al-Hassan al-Basri
dan al-Sya’bi, mereka menukilkan: “Sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama, adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (personal). Jika harta kekayaan yang dimiliki secara bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib
dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan.” (rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 23).
Mazhab Hambali juga mempunyai pandangan yang sama ke atas harta ternakan ini, iaitu: “Pemilikan bersama dalam binatang ternakan adalah dihukumkan sebagai harta kekayaan yang dimiliki oleh satu orang (tidak boleh dipisah-pisahkan) dan mesti dikeluarkan zakatnya apabila ia telah mencapai tahap ukuran nisab.” (ibid, hal. 23).
Oleh itu, hendaklah saudara mengeluarkan zakat ternakan tersebut dengan segera. Ambillah pesanan daripada hadis Nabi Muhammad saw, iaitu: “Apabila seseorang memiliki unta, sapi (lembu) atau kambing (termasuklah biri-biri), (lalu) tidak menunaikan haknya (zakat), maka pada hari kiamat nanti ia (akan datang kepada tuannya dengan) kelihatan lebih besar dan gemuk dari dirinya yang biasa. Ternakannya itu akan memijak-mijaknya dengan tapak kaki mereka dan menanduknya
dengan tanduk-tanduknya. Setelah selesai gerombolan ternakan terakhir memijaknya, maka (gerombolan ternakan) yang pertama akan mengulanginya pula. Itulah hukuman yang (bakal) dia perolehi.” (hadis riwayat Bukhari)
Kesimpulannya, keluarkan zakat ke atas haiwan ternakan tersebut dengan segera. Saya berdoa agar usaha tuan dipermudahkan Allah swt dan perusahaan tuan berdua mendapat keberkatan berpanjangan, di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat, sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my untuk maklumat lanjut.

Related Post

Leave a Reply