• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bila masa tunai zakat pendapatan?

Byadmin

May 10, 2010

Soalan: Zakat pendapatan dibayar sebulan sekali, setahun sekali atau setiap kali mendapat gaji atau semasa mendapat bayaran? Mana yang terbaik?
 
Jawapan: Ulamak fikah khilaf dalam menentukan haul bagi penunaian zakat pendapatan ini. Ada yang beranggapan, ia hendaklah ditunggu sehingga genap setahun berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada zakat pada suatu harta sehinggalah mencapai tempoh setahun,” (Hadis daripada Aisyah r.ha diriwayatkan oleh Ibnu Majah). Oleh itu, ada ulamak yang berpendapat wajar ditunggu sehingga setahun baharulah dikeluarkan zakat ke atas semua harta, termasuklah ke atas harta penghasilan (pendapatan) ini. Di antara golongan tabi’in yang berpandangan demikian ialah Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq, Umra binti Abdir Rahman dan Ibnu Umar.
 
Walau bagaimanapun, Yusuf al-Qardhawi sendiri misalnya membahaskan perihal ini di dalam kitabnya, Hukum Zakat bahawa ketentuan masa setahun bagi zakat penghasilan seperti zakat pendapatan ini adalah tidak kuat. Ia bermaksud, hadis-hadis yang dijadikan sandaran itu masih wujud pertikaiannya di kalangan ulamak berdasarkan kesahihannya menurut ilmu hadis.

(Jangan ambil mudah tentang tarikh tunai zakat – Sekadar gambar hiasan sahaja)
 
Maka, ada ulamak yang menyatakan tidak perlu menunggu sehingga setahun bagi harta-harta penghasilan seperti ini, seperti mana yang dipertegaskan oleh Ibnu Mas’ud, Muawiyah, Umar bin Abdul Aziz, Hasan dan az-Zuhri daripada kalangan tabi’in.


 
Oleh kerana tiada ijmak (kesepakatan yang kukuh) di kalangan ulamak mengenai penetapan haul bagi zakat penghasilan seperti zakat pendapatan ini, maka umat Islam berhak memilih salah satu daripadanya, sama ada mahu menunggu setahun ataupun terus berzakat apabila memperolehinya.
 
Walau bagaimanapun, bagi amalan di Malaysia khususnya di Selangor, kebanyakan umat Islam yang bergaji selalunya menunaikan zakat setiap bulan menerusi kaedah potongan gaji. Namun tidak salah jika mereka mahu menunaikannya pada hujung tahun apabila genap setahun. Kedua-duanya adalah diterima. Namun untuk menjamin agar tidak berlakunya keterlanjuran sehingga mengakibatkan terlupa berzakat, umat Islam adalah amat dianjurkan agar berzakat pada setiap bulan. Sesuai dengan saranan Allah SWT kepada para petani yang mendapat hasil daripada usaha pertanian mereka. Firman Allah SWT: “Dan tunaikanlah haknya (zakat) pada hari kamu menuai hasilnya,” (al-An’am: 141) (Rujuk Hukum Zakat, halaman 467-468). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply