• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bingkisan dari Jakarta, part 5#

Byadmin

May 19, 2010

Hari kelima – 18 Mei 2010

Hari ini, saya sekali lagi harus mengikut isteri saya ke UI. Sebetulnya, saya boleh sahaja merehatkan diri di hotel; namun saya mahu berjalan-jalan di sekitar kampus UI. Jika boleh, saya teringin menjengah ke rtoko bukunya, walaupun saya sedar wang rupiah saya kian mengepis di dalam dompet.

Hari ini juga kami harus check out dari Wisma Makara dan akan ke hotel yang lain. Bagasi telah kami bawa turun pada awal pagi lagi saat mahu ke kampus induk UI. Beg sudah ‘beranak’ daripada, satu sudah menjadi dua. Heh…heh…kini sudah menjadi tiga beg! Nak buat lagu mana, kata orang utara, barang-barang yang murah (jika dibandingkan dengan harga di Malaysia) menyebabkan saya gagal mengawal belanja!

Sementara isteri saya sibuk di dalam Bilik Guru Besar UI (Guru Besar ialah professor di Indonesia), saya mendukung Hanim merayau-rayau di kampus UI.

(Foto sebelah ia lambang UI) 

Penat berjalan-jalan sekitar kampus, mengambil beberapa…eh…banyak gambar daripada pelbagai sudut, kami kembali ke Ruangan Guru Besar. Hanim yang sudah keletihan dan ketiduran dari awal sudah terjaga dan saya lihat dia seronok menemani isteri saya mengikuti sidang pembentangan di situ. Saya meninggalkannya dengan Marul. 

Sebelah petangnya, Iswandi sekali lagi sudi menemani dan sekali ini, En Jamil juga ikut serta. Saya turut mengambil peluang solat di musolla UI. Menariknya, solat berjamaah menjadi amalan di sini. Saat saya solat, ada orang menepuk bahu saya tanda mahu menjadi makmum. Setelah saya memberi salam, ada lagi pelajar lain yang iqamat dan mendirikan solat berjemaah.

Oh ya…ingin saya paparkan sedikit info kampus, suasana dan corak kehidupan mahasiswa UI di sini. UI adalah universitas awam yang tersohor di Indonesia dan rankingnya boleh dikira tinggi dibandingkan dengan lain-lain universiti di sini. Keluasannya juga dianggarkan kira-kira 700 hektar dan kehijauan menyelimuti kampus ini. Jika kita mahu ke UI, boleh sahaja mengambil komuter dan turun di Stesen Depok, kerana ia adalah khusus untuk kampus UI, sama seperti mana Stesen Komuter UKM di Bangi.

Saya memerhatikan keadaan mahasiswa di sini, mereka umumnya terbahagia dua. Very Islamic dan ordinary muslim. Jika Islamik, maka mereka berbincang pun ada tabirnya; tetapi jika yang biasa-biasa, macam biasalah…seperti mana yang kita saksikan di kaca TV.

Tetapi, apa yang menariknya ialah, mereka di sini nampaknya tidak stress dengan beban kursus yang mereka ambil, tidak seperti mahasiswa di Malaysia yang mukanya agak stress. Mereka sering duduk-duduk sama ada di bawah-bawah pokok yang redup atau di beberapa lokasi strategik di serata kampus, lalu berdiskusi mengenai pelajaran mereka atau apa-apa sahaja. Bahkan saya terdengar suara lunak mereka menyanyikan lagu ala koir yang begitu harmoni. Saya tidak dengar ini semua di UKM saat saya undergraduate dahulu.

Di samping itu, pihak universiti juga membekalkan speda (basikal) di kampus yang boleh dinaiki oleh warga kampus dengan hanya menunjukkan kad kampus. Bagus idea ini, ia bukan sahaja menjamin kawasan kampus yang kurang pencemaran udara, bahkan warga kampus juga menjadi sihat dan kuat (Foto di atas ialah mahasiswa yang menggunakan basikal kampus…warnanya kuning, iaitu warna rasmi UI).

Saya hanya terfikir, apakah kerana dasar pihak kerajaan yang menekan menyebabkan mahasiswa hilang kreativiti dan intelektualitinya? Di sini, dalam kesempatan yang begitu terhad, saya saksikan mahasiswanya kreatif dan menjalani kehidupan dengan santai…ya, kan di Malaysia mahasiswa kita agak tertekan dengan jam kursus yang padat (ingat lagi saya apabila tempoh pengajian disingkatkan dari empat kepada tiga tahun) dan juga pelbagai lingkungan lain yang mengekang mereka…

Tak mengapalah, kita tinggalkan isu ini. Ia hanya menyingkap kembali nostalgia lebih kurang 20 tahun silam semasa saya masih bergelar pemimpin mahasiswa di UKM.

Sebelah petangnya, kami terus dibawa ke Hotel Bumi Wiyata di bandar Depok (Gambar). Hotel ini boleh tahanlah kondisinya, tidaklah terlalu mahal. Kami mengambil bilik superior dengan kadar sewanya lumayan…kira-kira Rp500 ribu. Badan yang penat perlu diberikan istirehat. Kami masih tak tau ke mana harus makan malam nanti. Tak apalah, nanti dah mandi…kami akan keluar ke restoran berdekatan hotel untuk mengalas perut.

Kira-kira jam 7.00 malam waktu Indonesia Barat, Dr Nini menelefon ke bilik, mengajak keluar kerana perut sudah berkeroncong katanya. Saya minta izin 30 minit lagi untuk solat jamak Maghrib dan Isyak.

Kemudiannya kami berjalan kaki – saya, Marul, Hanim, Dr Nini dan suaminya, Abang Ramli juga Dr Zariyanti dan Dr Hida. Kami ada beberapa pilihan sebenarnya, tetapi kami memilih untuk masuk ke restoran masakan asli Jawa. Namanya pun pelik dan unik…Kedai Makan Mbah Jingkrak. Di pintu masuknya terdiri replika seorang nenek dengan giginya tinggal sebatang tertonjol ke depan dan sebelah kakinya terangkat ke atas. Abang Ramli dan Dr Nini nampak keberaratan untuk masuk. Dr Hida dan Dr Zariyanti awal-awal lagi sudah masuk. Saya dan wife tengah-tengah…akhirnya kami masuk juga. Manalah tahu, masakannya sedap.

Kami memesan Mee Jongko (kalau tak salah nama) dua pinggan dan nasi goreng jingkrak tiga hidangan (porsi dipanggil di sini). Air saya pula namanya Es Tobat…dan ternyata, saya benar-benar bertaubat selepas itu. Aisnya tak kena dengan nafsu makan saya manakala nasi gorengnya juga gagal membuka selera makan saya – walaupun kala itu saya sebenarnya sedang kelaparan.

(Foto Mbah Jingkrak di sebelah)

Memujuk hati yang sedih kerana makanannya ndak enak, saya mendukung Hanim berlegar-legar. Abang Ramli juga sama, maknanya kami serupa. Nasi goreng yang diberikan kepada kami malam ini, sama seperti nasi goreng yang dihidangkan di Wisma Makara pada hari kedua di Indonesia dahulu…

Kami kemudiannya mengambil keputusan ke Kompleks Matahari yang merupakan shoping mall di sini. Kami membeli kekacang, teh botol serbuk (teh poci), coklat bar dan air minuman. Saya turut memesan nasi goreng kambing…alhamdulillah, kedai makan masih dibuka di tingkat dua dan hajat saya untuk makan nasi goreng kambing akhirnya dikabulkan Allah SWT…

Related Post

Leave a Reply