• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Ada apa di kampung?

Byadmin

Feb 12, 2010

Menjelangnya Tahun Baru Cina ini, maka bermakna blog ini juga akan direhatkan sementara waktu. Itulah kekurangan dengan Streamyx, tak boleh nak bawa balik kampung. Berbanding masa guna Celcom Broadband dulu, hantar assignment pun buleh bila dead line dah dekat, sambil meniarap atas toto kat kampung je hantor ke editor. Tapi apa nak buat, tahap kefungsian Celcom Broadband rasanya boleh menyebabkan saya naik darah tinggi dan lemah jantung…sangat teruk. Baru je buka internet…dah, tiba-tiba STOP! Jenuh menelefon ke Celcom dan siap buat aduan ke cawangan, tapi still tak ada apa-apa improvisasi. Alakullihal, tamatkan je la servis tu…ambik Streamyx buat gantinya.

Apa ada di kampung? Saya sering terbayangkan keindahan masa kecil dahulu. Saat menggantung lastik bercabang kayu kopi atau senapang kayu berpeluru bemban dengan kantung pelurunya di pinggang. Mengendap-ngendap mencari burung di hutan, burung pipit di dahan kopi, burung kelicap di dahan rambutan, burung capor kuning di dahan nona. Seronoknya kala itu, tidak terasa betapa hidup adalah suatu perjuangan dan tanggung jawab yang mendatang, harus ditatang sepenuh kewajipan.

Penat memburu burung, kami cari apa-apa sahaja yang mampu dilastik. Terasa dahaga, kami gogok sahaja air sungai yang jernih dan sejuk. Kadang-kadang kami cari buah hutan, ada yang manis rasanya dan kekal terasa walaupun sudah lama selepas itu apabila air sejuk menyentuh lidah, itulah buah kesumba tak silap saya. Kami korek perdunya di dalam tanah dan kami cicip buahnya yang manis harum. Kadang-kala kami cari buah leletup yang menjalar di pagar, kami makan berebut-rebut. Kadang-kadang kami panjat pokok jambu batu, kami makan semahunya. Isinya manis berwarna merah lagi bersari rasanya, dan bijinya bersepah. Jika tidak pun, kami panjat pokok nyior dan kami pecahkan demi airnya. Aduhai…indahnya musim-musim dahulu di kampungku.

Saya juga kasmaran saat berkelah dengan kawan-kawan. Pertama kali saya mahu berkelah di pinggiran Sungai Nerok bersama kawan, kami membawa nasi dalam pinggan dan bernaung di teduhan rumpun bambu. Deruan sungai menyejukkan dan selepas makan kami boleh sahaja mandi-manda sepuasnya. Ataupun jika sudah kemaruk sagat nak berkelah, saya pernah bersama kawan makan nasi di atas batang kelapa tumbang di belakang rumah opah. Makan sambil menghalau sang ayam yang cuba mendekat. Makan sambil bersembang di bawah redupan dahan-dahan kopi opah. Saya dan kawan-kawan pernah berkelah di bawah semak-samun, membeli beberapa bungkus Maggi segera dari kedai Mak Tih dan memasaknya secara ala kadar. Atau masih basah di lipatan minda, saat kami membawa periuk dan lauk lalu berkelah di Lata Mat Ladi yang sangat nyaman dan sejuk airnya. Juga mana mungkin saya bisa lupa, saat saya dan kawan-kawan berkelah di tepi sungai di tengah hari dan tiba-tiba datang ayah kepada dua orang kawan kami sambil membawa parang menherdik agar anaknya segera pulang…kami semua mencicit lari ketakutan. Dan…saya tidak akan melupakan perkelahan dengan ‘si dia’ saat di bangku sekolah rendah…alangkah indahnya!

Related Post

Leave a Reply