• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Blog dan Facebook

Byadmin

Feb 26, 2011

Suka saya menghimbau kembali. Blog ini dengan domain www.hamizul.com secara rasminya mula beroperasi pada Mei 2009. Sebelum itu, saya memblog di blogspot.com dan juga wordpress.com. Blog gratis @ percuma dan saya bermula sekitar tahun 2006. Semasa itu, dunia blog baharu nak meriah. Kemuncak meriahnya dunia blog dan blogger adalah seputar tahun 2008.

Kala itu, blogger kononnya dianggap sebagai pencetus perubahan mood rakyat dalam membuat percaturan lewat Pilihanraya Umum 2008. Blog kononnya lebih dipercayai beritanya berbanding saluran perdana biasa. Sementara yang paling terkesan dengan blog adalah pengundi muda dan mereka yang sangat tinggi literasinya dengan IT. Di Lembah Kelang dan kawasan bandar misalnya, blog amat sinonim dan menjadi medan meluahkan kemelut jiwa tanpa sempadan. Nah, itulah sedikit-sebanyak sejarah turun dan naik blog kira-kira beberapa tahun dahulu.

Kini, pengaruh blog semakin menurun nampaknya. Sejak wujudnya beberapa alternatif lain seperti facebook, twitter, youtube dan sebagainya lagi, blog makin tenggelam. Bahkan facebook dilihat lebih terkehadapan dalam mempromosikan agenda perubahan.

Buktinya, senario kejatuhan empayar Ben Ali dan Mubarak di Tunisia dan Mesir (dan kini sedang mewabak dengan deras di Libya) adalah dampak kekuatan facebook. Hanya dengan sekeping gambar atau beberapa minit mainan audio video di dalam facebook, ia sudah mampu menyala-marakkan api amarah rakyat di sana, yang sekian lama terpendam bagai api dalam sekam.

Di Malaysia, ramai juga blogger yang dulu aktif berkarya kini sudah berubah arah. Di antaranya adalah abang ipar saya sendiri, Sdr. Jiwa Rasa (cuba tekan di sini) yang satu ketika dahulu sangat aktif berblog. Beliau bahkan acap kali dipelawa menjadi panelis forum mengenai blog (termasuklah di DBP) dan membicarakan kehebatan dan perkembangan drastik blog di alam maya di dunia.

Biasalahkan, sekali air bah sekali pantai berubah. Facebook nampaknya mencuri banyak kesempatan waktu para blogger (yang majoritinya hanyalah part time blogger yang sibuk dengan kerjaya profesional) dan akhirnya banyak menumpahkan ide dan pandangan mereka lewat facebook sahaja.

Walau bagaimanapun, masih ada blogger yang kekal istiqamah menyajikan pelbagai input menerusi blog mereka. Misalnya Dr Faisal Tehrani (cuba tekan di sini), Saiful Islam @ Ust. Hasrizal Jamil (sini) dan juga beberapa blogger lain. Saya melihat, mereka mampu kekal berblog, kerana blog mereka memang sudah ada pengikut sendiri yang boleh diistilahkan sebagai pengikut setia. Mungkin juga mereka tergolong dalam kelompok yang sedia asalnya memang penulis. Seorang penulis akan mendapat kepuasan yang lebih dalam berblog berbanding berfacebook. Dr Faisal dan Saiful Islam memang penulis dan blog memperkayakan dan mempertajamkan dunia penulisan mereka.

Bagi saya, facebook agak lambat mencuri tumpuan saya. Bahkan saya fikir, anak-anak dan isteri saya lebih awal memesrai dan melakukan pelbagai eksplorasi lewat facebook ketimbang saya. Satu sebabnya, saya ini agak tradisional nalurinya dan konservatif orangnya. Apabila saya sudah ‘melekat’ kepada sesuatu, sukar untuk saya berubah.

Lagi pun, facebook nampaknya membuatkan kita lebih banyak berleka-leka dengannya. Lebih menjengkelkan, kekadang dengan kecanggihan pelbagai gajet komunikasi dewasa ini, misalnya dengan munculnya pelbagai jenis hand phone generasi baharu yang aplikasi facebook itu pula amat cocok dengannya, maka ramai orang di mana-mana asyik membelek hand phone di tangan mereka. Apa lagi, berfacebooklah itu.

Lalu, arus perubahan yang dibawa oleh facebook agak kurang serasi dengan saya. Blog lebih dekat di jiwa ini. Setakat ini, saya akan terus menumpahkan idea dan kreativiti di blog dan dalam masa yang sama, ya…saya akan cuba juga meladeni sentuh dan tampar para kenalan di facebook. Jika tidak, mungkin saya dilabel ketinggalan zaman pula…

Related Post

Leave a Reply