• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Budaya kerja: Melentur disiplin mencari barakah

Byadmin

Oct 25, 2010

Islam agama disiplin. Masakan tidak, jika setiap hari kita difardukan solat secara tetap sebanyak lima kali. Setiap waktu ada masanya. Mencuaikannya adalah dosa dan di akhirat dibalas neraka; sedang di dunia hilang keberkatan hidup. Allah mendisiplinkan kita dengan firman-Nya:

“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisaa’, 4: 103)

“Tidur di tempat kerja adalah contoh orang yang kurang disipilin diri”

Inilah tarbiyyah Islam. Mematuhi disiplin akan menatijahkan kebaikan. Kita tidak perlu mengulang-ulang kisah sedih dalam Perang Uhud. Keengganan mematuhi arahan dan tiadanya disiplin, tentera Islam hampir tewas di tangan musuh. Ia sudah begitu jelas dan sewajarnya kita semua, sudah begitu memahami erti patuh kepada disiplin.

Intipatinya, dalam sebuah organisasi Islam, disiplin adalah sesuatu yang fundemental. Ia adalah asas kepada kejayaan apa-apa sahaja yang dirancang. Allah SWT pasti membantu jika kita sendiri berdisplin menjayakannya. Sebaliknya, Allah berhak tidak membantu, seandainya kita sendiri bersikap sambil lewa dan tidak bersungguh dalam menyelesaikan kerja.

Saiyidina Ali bin Abi Talib r.a pernah mengungkapkan: “Kebatilan yang diiringi perancangan yang baik; boleh mengalahkan yang hak jika tidak dirancang dengan baik.”

Hakikatnya, ini adalah sunnatullah. Selaku orang yang mengaku beriman dan beramal dengan Islam, kita sepatutnya sudah amat-amat memahami bahawa termasuklah dalam aspek disiplin, ialah disiplin dalam merancang dan melaksanakan apa yang dirancang. Ia menjadi pra-syarat kepada kejayaan.

Sikap tidak berdisiplin, misalnya sengaja masuk lewat ke tempat kerja, meninggalkan pejabat tanpa alasan munasabah untuk urusan peribadi, pulang awal ke rumah, menyalah gunakan harta pejabat untuk kepentingan peribadi dan sebagainya lagi, adalah contoh universal terhadap budaya tiada disiplin ini.

Untuk contoh yang lebih mikro, menggunakan harta misalnya pen pejabat untuk diri sendiri, mencuri masa pejabat untuk bisnes peribadi, sengaja mencuri masa orang lain dengan sembang dan bualan yang langsung tiada kena mengena dengan kerja dan asyik melayari internet hingga terabai kerja.

Kita tentu pernah terbaca kisah Umar bin Abdul Aziz yang mempunyai dua pelita di rumahnya. Saat menyelesaikan urusan negara, baginda menyalakan pelita milik negara. Saat menyelesaikan urusan rumahtangga, baginda menyalakan pelita milik keluarga.

Inilah contoh klasik yang wajar kita tauladani. Ia sebenarnya menjamin keberkatan dalam punca rezeki. Bukan sahaja kerana kita berkerja di institusi yang halal (misalnya di Lembaga Zakat Selangor atau di pejabat agama) yang sememangnya wang yang dikumpul adalah halal; tetapi kerana sikap kita sendiri dalam menanggulangi amanah kerja, sehingga menjadikan keberkatan itu lebih berhak untuk kita nikmati bersama. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply