• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

BUKU BARU SAYA

Byadmin

May 13, 2012

1 Mei lalu bertempat di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, saya telah merasakan secebis nikmat kehidupan apabila berkesempatan bergandingan dengan para penulis mapan tanah air, antaranya Hajah Rohani Datuk Mohd. Shahir, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil serta ramai lagi bagi mempromosikan buku-buku terbaharu terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB).

Buku kedua saya, ‘Eksklusif Zakat’ juga menjadi satu daripada senarai panjang 48 buah buku baru yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan pada hari berkenaan.

Ekseklusif Zakat, telah saya mulai penulisannya pada tahun 2008. Ada kisah menarik di sebalik penulisan dan penyusunan buku ini. Namun, apa yang saya rasa sangat gembira, buku ini merupakan salah sebuah buku yang telah dipilih oleh DBP untuk didanai penerbitannya. Menurut Abang Wan GISB, mereka menghantar tiga atau lima manuskrip awal dan buku saya yang diterima oleh DBP untuk didanai.

Proses menghasilkan buku ini memang lama.

Proses menghasilkan buku ini memang lama. Saya membuat kajian daripada pelbagai buku. Teringat lagi, saya sering beruzlah dan ‘membawa diri’ ke perpustakaan, antaranya ke Perpustakaan Ibfim di Jln Raja Atap, KL dan Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Demi memuaskan hati, saya juga banyak menghabiskan masa dan dana bagi membeli buku-buku mengenai zakat, kewangan Islam, fiqh ekonomi Islam, sejarah, ijtihad dan sebagainya. Saya tidak tahu dengan tepat berapa telah saya belanjakan untuk membeli buku; namun saya sedar jumlahnya banyak sekali. Buku-buku itu, ada yang saya dapatkan di Kuala Lumpur dan ada juga dari Indonesia. Antaranya yang agak mahal, adalah sebuah buku mengenai sejarah Islam di Turki era Ottoman, terbitan Cambridge University dan dibeli di Ibfim.

Sebelum dinamakan ‘Eksklusif Zakat’, pihak GISB telah mencadangkan beberapa nama. Antaranya Ensaiklopedia Zakat dan A-Z Zakat. Saya sendiri teringin memberikan nama ‘Indahnya Zakat.’ AKhirnya GISB memilih nama ‘Eksklusif Zakat’ demi menunjukkan betapa eksklusifnya buku berkenaan dalam mengupas dan menghuraikan zakat.

Apa yang menarik dari buku ini?

Berikut adalah antara ciri-ciri unik dan menarik buku ini:

1. Ia dihasilkan melalui amali penulis sendiri. Selalunya penulis buku zakat adalah golongan akademik, yang tidak terlibat secara langsung dengan dunia zakat. Maka, penulisan itu selalunya bersifat teori sahaja; tetapi bagi penulis yang mengalami sendiri dan ia juga adalah kerja penulis sehari-hari, maka apa yang disajikan lebih praktikal.

2. Buku ini mengupas hal ehwal zakat dari A-Z, maknanya ia cuba menjelaskan segala macam perkara mengenai fiqh zakat dari sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besar perkara. Namun ia tidak berat seperti sebuah ensaiklopedia; kerana ia bukanlah ensaiklopedia.

3. Bahasanya santai dan mudah faham. Teman saya sendiri di LZS kala melihat buku ini sepintas lalu dan membacanya, menyatakan dia mudah memahami apa yang mahu disampaikan. Jika saya mengaplikasikan penulisan ala akademik, mungkin ia tidak sesuai menjadi santapan santai para pembaca awam.

4. Buku ini menyajikan perbahasan yang agak panjang dan ditil mengenai agihan zakat. Sebenarnya, tidak semua orang atau semua penulis berani menyinggung aspek agihan zakat secara mendalam. Ini kerana, menulis mengenai agihan zakat tidak mudah, melainkan ia disertai pengalaman dalam melakukan sendiri agihan berkenaan.

5. Buku ini juga mengupas beberapa isu zakat di negara ini yang terus menjadi ‘isu terpendam’ dalam masyarakat Islam. Misalnya, isu ketidak seragaman pentadbiran zakat, isu pengagihan zakat sendiri, isu menubuhkan intitusi zakat, isu penyaluran zakat dan sebagainya lagi.

6. Turut dikupas ialah mengenai aspek pensejarahan zakat, bermula dari era pra-Islam sehinggalah era-Uthmaniyyah di Turki. Sorotan mengenai sejarah zakat amat jarang dilakukan oleh penulis lain mengenai zakat, kerana ia bukanlah suatu perkara mudah di samping keterbatasan rujukan. Penulis sendiri mendambakan, jikalah mampu memahami bahasa Arab dan Turki, maka rujukan penulis pasti lebih mendalam lagi…insya-Allah.

Maka, dapatkanlah sendiri buku ini demi mencicipi sendiri apa yang telah saya cuba sajikan di dalamnya. Sama ada benar ia berbeza atau sama sahaja dengan semua buku zakat di pasaran, hanya orang yang telah membacanya mampu menyajikan jawapan.

Semoga ada manfaatnya…dan semoga ia menjadikan amalan zakat lebih subur dan bermakna. Amin!

Related Post

Leave a Reply