• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bunga-bunga mekar di Tanah Tinggi Cameron

Byadmin

Dec 22, 2009

img_0075Alhamdulillah, nikmat kesihatan diri dan kemampuan fizikal…harus dimanfaatkan demi menautkan ikatan kekeluargaan. Seperti yang saya maklumkan, cuti sekolah pada penghujung tahun 2009 inilah rasanya paling banyak saya membawa famili berjalan-jalan. Bermula dari awal percutian kami berkhemah di hamparan pepasir putih pantai di Port Dickson, kemudian ke Nilai Spring, kemudian ke Tanah Tinggi Cameron, kemudian ke Senawang dan lanjut ke Ayer Keroh Melaka dan singgah lagi ke Nilai Utara…

Rabu, 9 Dis 2009 – Bunga-bunga mekar menyambut kami di Tanah Tinggi Cameron. Saat mendakinya, saya tidak sabar lagi mahu menikmati sayur-sayuran segar yang baharu dipetik dari ladang. Masih teringat-ingat saat saya ke sini sekitar tahun 2006 dahulu, menikmati sayur goreng bersama nasi panas beruap…alahai, kecur liur semahunya.

Saya sekeluarga dan turut bersama adik-adik…Ecah, Emah, Nurul dan Sabkiimg_0041 (adik sepupu). Perjalanan yang dijangka mengambil masa hanya tiga jam meleset, kerana kami tiba agak lewat di perbukitan sana. Hari kian gelap dan saya mengambil keputusan segera menyinggah di mana-mana tempat yang ada menjual sayur. Lokasi persinggahan utama pastinya di Kia Farm…sayur segar dijual murah. Saya membeli seadanya…esok masih ada, fikir saya…berbaloilah, tujuh atau lapan bungkus sayur hanya RM10!

Kami diberikan apartmen selesa di Desa Anthurium dengan kadar sewa sangat munasabah: RM270 sehari semalam. Apartmen itu lengkap segala, anda tak perlu bawa apa-apa peralatan…hanya beras, minyak dan bahan-bahan mentah lainnya. Cuma kami ditempatkan di aras tiga, agak tinggi juga menanggak anak-anak tangga.

Saya mengajak anak-anak mendirikan solat jamak dan qasar. Saat melagukan al-Fatihah, bau tumisan bawang dan sayur goreng serta ikan sardin menyengat-nyegat indera…aduhai, perut yang sememangnya kosong bagaikan mahu segera minta diisi makanan…sabar…mahu sahaja batal solat saya jika tidak dikuatkan iman…he…he…

img_0025Khamis, 10 Dis 2009 – kami menjejaki konvoi penyelidik UKM ke Mardi. Tuah saya kerana isteri memang salah seorang penyelidik, kami semua masuk percuma ke Mardi – walhal sepatutnya kami harus dikenakan tiket RM3 bagi dewasa dan 1/2 harga bagi kanak-kanak.

Seronok di dalam lingkungan Pejabat Mardi di sini, bunga-bunga mekar menyapa kami mesra sekali. Ada air jernih mengalir deras, saya mencari puncanya dan ternyata di atas bukit ia hanya sebuah parit kecil sebelum melebar di muaranya menjadi sungai yang besar. Kami melewati beberapa kebun, ada kebun sayur, kebun pepohon epal, pear dan anggur. Buah epal nampak meranum di dahannya, jikalah kami diizinkan memetiknya…

Habis di Mardi, kami mencari sayur-sayur dan sedikit bahan mentah untuk dimasak. Melewati Brinchang dan Tanah Rata menjentik minda saya saat melewati jalan-jalan di Punchak Indonesia dahulu. Saling tak tumpah keadaannya…saya berangan-angan, jikalah dapat lagi ke Indonesia…

Kami mengunjungi Big Apple Starwbery Farm…memang berbaloi…

Petang itu, kami ke Pasar Malam Brinchang. Kini ia kian membesar, sudah menempati di kedua-dua belah jalan raya.img_0083 Dahulu hanya di sebelah sahaja…

Jumaat, 11 Dis 2009 – awal-awal pagi kami harus bersiap untuk pulang…kedinginan pagi dengan takah suhu menjunam ke angka 16 darjah celcius dengan kelembapan udara mencecah 70%…memang beku dibuatnya…adik-adik saya pulang lebih pagi, sementara kami ke al-Masyhoor Strawbery Farm terlebih dahulu. Isteri saya memesan 2 kilo gram buah strawberry segar…jauh lebih murah harganya dan dijamin Mardi lebih selamat dimakan kerana kawalan mutu dan penggunaan racunnya…tidak seperti kebanyakan pengusaha lain, buah disembur racun sesuka hati, selepas dipetik direndam lagi dalam racun pencegah kulat…sebab itulah ada yang mampu bertahan berhari-hari…

Menjelang jam 10 pagi, kami mulai menuruni Tanah Tinggi Cameron…selamat tinggal bunga-bunga mekar, ukhuwwah kami sekeluarga kian mekar di sini…insya-Allah…

Related Post

Leave a Reply