• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Cabaran sebagai PRO & Kisah Masyarakat Kita…

Byadmin

Jul 6, 2010

img_2981Ops…sebut molek-molek, it’s not GRO, but PRO. In english it is Public Relation Officer. As usual, saya memang bertanggung jawab dalam urusan media. Menghubungkan LZS dengan dunia luar, adalah lebih efisien dengan media. Maka, media adalah rakan yang mesti diutamakan. Memusuhi media sebenarnya adalah ‘suicide action’ yang amat merugikan diri sendiri dan organisasi mana-mana pun.

Dua tiga hari ini, saya juga sibuk membawa krew dari sebuah penerbitan yang akan merakamkan kisah beberapa asnaf terpilih bagi slot Tijarah Ramadan. Slot ini kelak akan ditayangkan pada bulan Ramadan nanti menerusi TV1. Terima kasih kepada Johor Corp. yang sentiasa mempercayai LZS untuk menjadi salah satu rakan penyumbang dalam menjayakan siri ini saban tahun.

Foto: Terima kasih di atas kesudian Pn Rohana dan keluarga kerana mengisi slot Tijarah Ramadan kali ini

Ada beberapa kekesalan yang membelenggui diri saya sebenarnya. Bukan dengan pihak JCorp; tetapi dengan segelintir manusia di luar sana yang rupa-rupanya masih memandang rendah kepada mereka yang dibantu LZS.

Dua buah famili yang sepatutnya menjadi responden saya, menarik diri saat akhir. Alasannya, sejak cerita mereka dipaparkan menerusi media massa, maka mereka menerima cemuhan daripada masyarakat dan jiran. Anak mereka diperli oleh kawan-kawan dan sebagainya lagi. Maka, bagi mereka dengan merelakan diri dijadikan responden LZS akan membuka lebih luas pintu dan tingkap ‘kebencian’ segelintir masyarakat.

Saya jadi teringat saat masih di bangku sekolah rendah. Kala itu, jiran berdekatan rumah opah saya yang terkategori miskin, sering membawa jajanan dari rumahnya. Emaknya kadang-kadang membuat kerepek dan jejari pedas untuk dijual. Saya suka membelinya. Namun, ada kawan-kawan mengejek anak jiran saya itu. Lebih dahsyat, mereka mereka-reka cerita kononnya emak kawan saya itu tidak membasuh tangannya sebelum menguli tepung. Kasihan kepada kawan saya itu. Dia hanya mahu membantu ibunya; tetapi anak-anak jiran lain bahkan memperli, mengejek dan mempermainkannya pula.

Saya tidak tahu, kenapa pemikiran sedemikian masih berbusa dalam minda orang-orang kita sehingga kini. Sudah puluhan tahun berlalu; kenapakah masih ada sikap memandang rendah kepada golongan miskin dan daif ini. Apakah kerana mereka mendiami teratak usang, menumpang di tanah orang, hidupnya kais pagi makan petang, tidak mampu mengenakan pakaian berjenama dan menonton tv berskrin leper, maka mereka adalah manusia terbuang?!

Sedih saya mengenangkan semua ini. Saya turut berkongsi dengan beberapa orang rakan dan kami pelik dengan senario ini. Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita semestinya membantu agar saudara kita bebas daripada belenggu kemiskinan. Biar mereka dapat merasai nikmat dunia seadanya sebagaimana yang kita rasa. Saya sendiri sedih jika ada anak-anak orang susah yang hanya menelan liur melihat anak saya menikmati ais krim.

Jujurnya, saya makin memahami orang-orang miskin ini sejak saya berkerja di institusi zakat. Dahulu, perasaan itu ada; tetapi dibayangi dengan rasa yang lain. Misalnya, “ah…aku dulu juga miskin; biarlah mereka merasa sikit kemiskinan itu!” Saya tidak sedar, ia salah. Kerana, manusia umumnya tidak meminta dilahirkan dan dibesarkan sebagai orang miskin. Manusia yang waras, pasti berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Maka, LZS lah tempat saya memurnikan kembali pandangan saya yang dahulunya nyaris kabur terhadap orang-orang miskin dan melata ini. Bahkan, semakin menyelami kisah mereka, hati menjadi kian lunak. Hati menjadi tambah halus. Hati bahkan mudah tersentak bahawa inilah kuasa Allah. Sebagai orang yang diberikan sedikit kelebihan, maka berbahagi dan berkongsilah.

Maka saya menukilkan begini dalam Jejak Asnaf (artikel dwi bulanan) yang saya titipi kepada Utusan: “Muslim yang baik itu, ialah mereka yang tidak suka menjaja keaiban saudaranya; tetapi mereka yang menaja kebaikannya kepada mereka.” Gitulah kira-kiranya…wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply