• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Catatan pengalaman berceramah

Byadmin

May 5, 2010

Hari ini saya ke ILIM di Bangi. Dahulu, saya adalah peserta bagi kursus anjuran ILIM. Kini, saya sering dijemput menyampaikan kuliah kepada peserta kursus pula. Pagi tadi, saya diminta menyampaikan kuliah bertajuk ‘Zakat pendapatan: Konsep dan perlaksanaannya.’

Teringat saya, dahulu semasa mula-mula memasuki Pusat Zakat Selangor…saya buta tentang zakat. Maksud buta di sini, saya hanya mengetahui bahawa zakat itu adalah rukun Islam. Satu-satunya zakat yang saya tunaikan pun, hanyalah zakat fitrah. Lalu, dalam Kursus Induksi PZS, saya dan rakan-rakan mulai didedahkan tentang fiqh zakat yang sebenar. Baharulah terbuka minda saya, bahawa zakat adalah agenda besar yang Allah SWT titipkan buat ummah.

Tahun 2003…Kala itu, saya diterima masuk sebagai Penolong Pegawai Dakwah. Teringat saya, pertama kali saya diminta menyampaikan ceramah zakat di sebuah sekolah di Bukit Rahman Putra, Sg. Buloh. Terkial-kial saya menghafal ayat al-Quran yang berkaitan hukum zakat. Tak salah saya, mukaddimah ceramah saya semasa itu adalah dengan melagukan ayat 267 daripada surah al-Baqarah. Kemudian, ceramah saya pun berjalan terus…berjalan dalam situasi darah gemuruh dan bimbang serta takut membuat kesalahan. Di hadapan saya, puluhan guru sedang memerhati sementara dua tiga orang senior daripada PZS juga sedang menilai persembahan pertama saya.

“Syeikh…anta punya mukaddimah, menangis ana dibuatnya! Tapi, enta punya isi ceramah…aduhai…” Itulah antara komen pertama yang saya perolehi daripada Sdr Rizal Shah. Saya akui, Rizal adalah antara ‘speaker’ terbaik dimiliki oleh Jabatan Dakwah dan Pemasaran, PZS kala itu. Maka, saya akur jika Rizal mengkritik penyampaian saya…sedih tu memanglah sedih, tapi adat belajar daripada pengalaman, memang agak pedih.

Masa terus berlalu. Saya terus didedahkan dengan ceramah demi ceramah. Masuk pejabat keluar pejabat, masuk sekolah keluar sekolah, masuk kilang keluar kilang…hinggalah akhirnya saya mampu berdiri di atas mimbar masjid menyampaikan khutbah Jumaat. Semuanya adalah proses tarbiyyah dan juga riadah atau latihan yang mendewasakan diri saya dalam memberikan ceramah dan kuliah. Saya sering menjadikan ekspresi wajah audiens sebagai cerminan atau feed back terhadap kualiti ceramah yang diberi. Jika sepanjang ceramah atau kuliah saya, mereka mengantuk, menguap dan mulai berbual sesama sendiri – sah! Ceramah saya membosankan!

Alhamdulillah, kini saya sudah berceramah, mengisi ruang kuliah bahkan berforum ke seluruh Selangor termasuk KL. Merasalah diri ini digandingkan dengan tokoh-tokoh ilmuan tersohor – Ust. Wan Akashah, Ust. Uda Kasim, Ust. Fauzi Mustafa dan ramai lagi. Memang terasa kerdil diri ini kala digandingkan dengan mereka, namun saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Syukur, semuanya berjalan dengan baik sehingga kini.

Oh ya…Ada yang menghantar email kepada saya untuk menjemput ceramah. Untuk makluman saya akan memberikan respons jika jemputan dibuat awal dan tidak mengganggu masa bersama keluarga saya. Sebenarnya, jika dibandingkan di antara kesukaan menulis dan berceramah, saya lebih suka berceramah; tetapi menulis lebih besar manfaatnya. Saya gembira, kerana Allah SWT menganugerahkan kedua-dua bakat ini kepada saya…terima kasih ya Allah, mudah-mudahan aku dapat memanfaatkan kelebihan ini ke jalan yang Engkau redai, amin.

Related Post

Leave a Reply