• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Catatan Perjalanan Indonesia 1#

Byadmin

Dec 3, 2009

Nota: Saya ada menulis mengenai catatan perjalanan semasa ke Jakarta pada awal Jun 2009 lalu. Suatu perjalanan menarik hingga membawa saya ke Bandung, Cianjur, Cipanas, Bogor langsung ke Pondok Labu dan sempat jugalah menziarahi Masjid Hj Ibu Dian atau dikenali Masjid Kubah Emas di Depok yang kemasyhurannya kini menyaingi Istiqlal di Jakarta. Semuanya menarik untuk saya kongsikan bersama…hakikatnya, Islam memang menggalakkan kita melata menjelajahi bumi Allah SWT ini, memerhatikan kejadian ciptaan Allah dan merasai kekerdilan diri sendiri, kemudian mengisi kehebatan Allah di dalam hati kita ini.

5 Jun 2009 – Saat saya mulai mengetik papan kekunci komputer riba ini, saya keseorangan. Saya dan keluarga sedang desa-gardeniabertandang di kediaman santai atau rumah liburan Prof. Madya Dr Syarif Lubis (atau lebih mesra kami kenali Pak Syarif) di Kediaman Gardenia, Kacamatan Cipanas dalam Kabupaten Cianjur. Suasana damai sekali di sini. Deruan air terjun di jeram mini dan anak kali belakang rumah memecah bening. Ada juga bunyi kicauan sang unggas yang sesekali meningkah suasana. Anak-anak tetangga menjerit namun suara mereka berbalam, jauh daripada memercikkan gangguan. Segalanya, serba alami di sini. Di Kacamatan Cipanas, Propinsi Jawa Barat ini, hati saya terjerat pada keunikannya. Deretan rumah yang sarat dengan ukiran, juga kehijauan landskap yang mencuri pandangan. Segalanya teradun menghasilkan kediaman yang enak dan lumayan untuk didiami, ya…saya juga sudah terbiasa dengan kalimah ’lumayan’ yang bermaksud ‘boleh tahan’ atau ‘kira okay’ bagi bahasa pertuturan di sini.

ui

Saya sebenarnya meladeni sebuah perjalanan yang jauh di bumi Bung Karno ini. Segalanya bermula saat isteri saya dipersilakan oleh Pak Syarif, rakan sejabatannya di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM agar sama-sama bertandang ke Universitas Indonesia (UI) di Jakarta. Turut bersama ialah Prof. Dr. Salman Hussain, Timbalan Dekan merangkap Profesor Toksikologi di FSKB, UKM. Mereka dalam rangka merencanakan suatu kerjasama penyelidikan atas biaya World Health Oganisation (WHO). Jadi, bagi melengkapkan sebuah episod perjalanan ini, muncul beberapa watak tambahan iaitu saya, anak kami Hanim, isteri Prof Salman iaitu Puan Alyana dan dua anak lelaki mereka Daniel dan Adam.

Bumi pelbagai keunikan ciptaan Allah ini memang menarik untuk dikaji dan diamati. Menekuni riak wajah rakyatnya dan melihat kerja buat mereka, maka kita merasakan betapa hebatnya manusia yang mendiami tanah Sunda ini. Sukar juga bagi saya memulakan cerita ini…di mana awalnya, kerana kesemuanya bercelaru. Namun, saya cuba mencatat setakat termampu, semoga ia menjadi suatu cerminan bersama buat kita renungi. Mana yang elok di bumi Indonesia ini kita tauladani dan mana yang ’enggak enak’ kita hindari.

Setelah dicempung kira-kira satu jam setengah di awan biru bersama Pesawat Boeing KL0809 milik Royal Dutchbandara Airlines, kami akhirnya selamat menjejakkan kaki ke Bandara atau Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana mengizinkan semuanya selamat. Kami melewati kaunter imigresen dengan mudah dan akhirnya tepat jam 5.48 petang jam di hand phone (saya memang tidak betah menyarung jam tangan), kami pun merasai kehangatan udara Indonesia bersama-sama alunan suara azan Maghrib.

Itulah kejutan pertama buat kami semua. Bermakna, kami mesti belajar menyesuaikan diri dengan perubahan waktu di Indonesia ini, atau lebih tepatnya di Wilayah Jawa Barat Indonesia. Jika jam Malaysia menunjukkan angka 3.00 petang, maka di Jakarta baharu jam 2.00 petang; tetapi hakikatnya di Malaysia sudah pun 5.00 petang! Agak memeningkan kepala juga pada mulanya bagi menyelaraskan perubahan masa ini. Buat hari pertama dan kedua, saat terjaga di waktu pagi saya mengqada subuh. Ini kerana, jam menunjukkan pukul 5.41 pagi waktu Indonesia dan matahari di luar jendela sudah terang, maka saya merasakan jeda subuh sudah habis, rupanya masih berbaki. Begitu jugalah waktu tidur, jam menunjukkan masih awal, baharu pukul 9.00 malam namun hakikatnya sudah 11.00 malam, maka ’biological clock’ dengan sendirinya menjentik minda agar segera untuk tidur.

Related Post

Leave a Reply