• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Day 3 & 4 @ Padang Bukit Tinggi

Byadmin

Feb 9, 2011

Hari ketiga – 28 Jan 2011

Setelah mengambil sarapan, kami harus check-out untuk ke Padang pula. Kali ini rencananya kami akan dibawa ke beberapa lokasi lain dalam perjalanan ke Padang. Antaranya ke Istana Minang dan tempat memproses kopi dan pisang salai ju8ga tempat membuat telekung. Kami turut menumpang solat Jumaat di Masjid Nurul Amin bersebelahan Kompleks Istana Pagar Ruyung. Masjidnya indah dan senibinanya menarik, menurut Mas Lin, seorang kaya bernama Amin telah mewakafkan tanah dan masjid itu. Sayangnya ia kurang terawat, agak kotor dan tercemar dengan sampah-sarap di sekitarnya.

Khutbahnya disampaikan tanpa teks. Ia bekisar sebab-sebab turunnya azab Allah. Antaranya, perbanyakkanlah dosa dan maksiat, maka ia pasti dengan segera menurunkan azab daripada Allah. Khutbahnya memang lebih menarik jika mahu dibandingkan dengan Malaysia. Amirul, anak atih saya berkomentar, khatibnya berkhutbah tanpa teks. Saya menyatakan, itu baru namanya berkhutbah. Jika ada teks, itu maknanya membaca khutbah!
Usai solat Jumaat, berfoto kenangan di depan istana, membeli ciku dan sedikit cenderamata, kami melanjutkan perjalanan ke Padang. Kami mengambil laluan yang sama semasa baru tiba ke sini dahulu, menempuh kembali Lembah Anai dan berpapasan dengan kenderaan lain yang laju dan besar di jalanan.

Abang Yang tidak henti-henti berpesan agar kami singgah membeli durian. Akhirnya kami singgah juga dan membeli durian dan menikmatinya di tepi jalan. Harga tiga biji dengan saiz agak besar, hanya Rp110 ribu. Sedap rasanya.

Di Padang, kami melewati bandarnya yang masih jelas sisa-sisa runtuhan akibat gempa bumi pada tahun 2009 dahulu. Banyak bangunan termasuklah hotel, kantor dan sebagainya yang rosak dan terjejas.

Bandar Padang ini terletak di tepi pantai dan lautnya ialah Lautan Hindi. Tidak berapa jauh dari situ ialah Kepulauan Mentawai yang pada tahun 2010 pernah dilanda Tsunami kecil akibat gempa bumi di dasar laut. Gegaran minornya turut dirasai di Padang.

Kami diberikan masa kira-kira sejam lebih untuk membeli-belah kali terakhir sebelum ke hotel. Asalnya dijadualkan di Mentari tetapi ditukar ke Ramayana. Seperti mall biasa, saya mengambil kesempatan di sini membeli makanan ringan seperti coklat, kekacang, biskut dan tidak ketinggalan teh botol juga serbuk teh sosro untuk dibawa pulang. Saya pasti isteri saya tidak sabar menanti kacang bersalut Garuda, enak dan gurih rasanya.

Kami dibawa makan malam ke sebuah restoran yang special. Jika sebelum ini kami asyik dihidangkan dengan makanan padang; maka malam ini berbeza. Ala-la Thai begitu. Perut pun dah lapar…ngap je lah.

Kami menginap di Hotel Bunda. Saya mengemaskan apa-apa yang patut. Esok seawal jam 5.00 pagi waktu Padang saya harus bangun, rindu pun kian membara…terbayang sudah wajah isteri dan anak-anak di rumah sana…

Hari keempat – 29 Jan 2011

Seputar 4.00 pagi waktu Padang, saya terjaga dikejutkan suara azan. Melihatkan jam masih awal, saya menyambung tidur. Kami masih belum dikejutkan pihak hotel yang sepatutnya menggerakkan kami jam 5.00 pagi.

Abang Yang bangun awal dan segera bersiap. Waktu mengalunkan bacaan al-fatihah dalam solat Subuh, azan dilaungkan lagi. Aduh, baru saya teringat bahawa di sini azannya ada dua kali. Pertamanya untuk membangunkan orang dan yang keduanya baharulah masuk waktu Subuh. Saya mengangkat takbir kali keduanya.

Atih sudah bangun dan datang ke bilik saya menolong menyiapkan Husna. Saya dan anak-anak harus pamit lebih awal dari mereka, kerana jam penerbangan kami ialah 8.30 pagi; sedang jadual penerbangan atih pula 3.30 petang. Atih merasa sedih harus berpisah awal dengan kami.

Selepas bersarapan pagi sekadarnya, mencicip kopi dan dua keping roti, kami pun bergerak ke bandara. Hari masih dini dan kenderaan kurang di jalanan. Tiada macet dan semuanya aman.

Urusan check-in dan bagasi mudah, akhirnya kami menanti kedatangan Ak471 dengan sabar untuk kembali kedakapan keluarga tercinta di KL. Selamat tinggal Padang, Bukit Tinggi dan Ranah Minang. Terima kasih juga kepada Mas Mursalin dan Mas Ino yang banyak membantu kami di sini. Moga kita ketemu lagi di lain ziarah, insya-Allah.

Related Post

Leave a Reply