• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Di antara kewajipan zakat dan memberi kepada ibu bapa

Byadmin

Apr 13, 2010

Ada orang yang ingin bersedekah dan berzakat; tetapi mereka perlu memenuhi keperluan ibu bapa mereka terlebih dahulu. Persoalannya, sejauh manakah kewajiban memenuhi keperluan itu perlu dilaksanakan dan adakah ada had tertentu sebagai ukuran? Bolehkah seseorang anak itu menolak permintaan ibu bapanya yang kadang-kala diluar kemampuan agar dia dapat bersedekah dan berzakat?

Hakikatnya, memberikan nafkah kepada ibu bapa adalah wajib di sisi Islam. Haram bagi si anak mengengkarinya, jika ibu bapanya memang memerlukan. Imam an-Nasai meriwayatkan bahawa Tariq al-Muharibi berkata: “Pernah semasa saya datang ke Madinah, saya melihat Rasulullah SAW sedang berdiri di atas mimbar dan berkhutbah: Tangan yang memberi lebih mulia. Mulakanlah memberi dengan orang-orang yang berada dalam tanggunganmu. (iaitu) ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu dan setelah itu yang terdekat hubungannya denganmu.” (Hadis riwayat an-Nasai, rujuk Yusuf al-Qaradawi, Kemiskinan dan cara Islam menanganinya, hal. 104).

Namun, sejauh manakah besarnya pemberian itu? Adakah seorang anak wajib memenuhi segala permintaan ibu bapanya atau dianggap anak derhaka jika engkar? Di sini, Rasulullah SAW telah memberikan jalan keluarnya yang mudah. Di dalam hadis yang lain, Rasullah SAW ada menegaskan: “Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks ini, ketaatan kepada ibu bapa boleh menjadi maksiat apabila kemahuan mereka di luar batasan dan kemampuan si anak, sehingga menyebabkan si anak terpaksa berhutang dan mengabaikan kewajipan yang lain. Si anak sebenarnya wajib menyediakan keperluan sekadar batas yang perlu, atau disebut dharuriyat sahaja. Misalnya disediakan kediaman yang sesuai jika mereka tiada berumah, disediakan makanan, pakaian dan sebagainya lagi sekadar yang patut. Si anak tidaklah wajib memenuhi permintaan ibu bapa seperti mahukan kediaman banglo misalnya. Ia bukan lagi suatu keperluan; tetapi kemewahan

Oleh itu, bagi anak-anak yang diuji dengan karenah ibu bapa seperti ini, hendaklah bijaksana menanganinya. Adalah haram mereka menyakiti hati kedua orang tuanya, kerana daripada sudut hukum, ibu bapa mempunyai tempat yang istimewa di sisi Islam. Sabda nabi lagi: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim)

Zakat yang wajib itu hendaklah ditunaikan setelah si anak mendahulukan keperluan wajib ibu bapanya, sesuai dengan kebiasaan atau uruf yang berlaku. Mudah-mudahan, berkat kesolehan si anak dalam mentaati perintah Allah SWT dan rasul-Nya serta taat pula kepada kedua ibu bapanya, maka ia dapat menyelamatkan semua pihak di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply