• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Didik anak kita dengan akhlak kita

Byadmin

Nov 1, 2010

Cetusan rasa: Ust. Mizul (U-HAH)

Kita tidak pelik bila orang tua-tua menghasilkan bidalan, ‘bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul.’ Ia mempunyai makna yang amat mendalam dan signifikan sekali. Ibu bapa yang tidak betul jalan hidupnya, maka bagaimana mereka mampu memberikan tauladan yang baik kepada anak-anak.

Anak-anak sebenarnya sentiasa memerhatikan gelagat kita. Di rumah, mereka mendambakan yang terbaik daripada kita – ibu bapa mereka. Gelak tawa mereka yang ceria, adalah refleksi kepada kebaikan yang telah kita pamerkan. Sebagai anarlogi, cuba kita bersifat bengkeng, maka mereka akan turut terdiam lalu menarik muka masam. Pendeknya, apa yang kita beri dan itulah yang mereka akan pamerkan kembali. Sebagai ‘hadiah’ kepada sikap kita.

Anak-anak akan melihat, misalnya bagaimana kita berkomunikasi dengan orang lain, khususnya orang yang lebih tua daripada kita. Bila kita pulang ke kampung halaman bercuti, mereka akan turut memerhatikan bagaimana kita berakhlak dengan ibu bapa kita. Jika kita melayani ibu bapa atau opah, nenek dan tok serta tok wan mereka dengan baik, maka itu adalah suatu pedoman buat mereka. Mereka terdidik, bahawa menghormati orang tua, memuliakan dan menyantuni mereka adalah suatu kemestian.

Apabila kita berbicara, awaslah tentang apa yang kita keluarkan. Apakah perkataan yang terpacul dari mulut kita itu sesuai untuk deria pendengaran anak-anak atau sebaliknya. Maaflah, jika ibu bapa sendiri terbiasa menyebut ‘babi, celaka, haram jadah’ dan sebagainya yang boleh saya rumuskan sebagai ‘vandalisme bahasa’, maka itulah halwa telinga anak-anak. Jangan marahkan mereka, jika selepas itu mereka menyebutkan kembali apa yang telah diperdengarkan kepada mereka.

Anak-anak akan respek kepada ibu bapa yang berbuat seperti apa yang dikata. Their walk what their talk. Cakapnya sama dengan bikinnya. Mereka menjadi idola anak-anak. Bila si ibu berkata tentang aurat, si ibu tidak pernah waima sekali pun menayangkan hatta sehelai rambutnya di luar rumah. Apabila si ayah berbicara soal solat, tidak pernah sekali pun si ayah melalaikan solatnya.

Amat malang, jika si ayah membebel tentang kewajipan solat; jika pada hari Ahad anak dahulu yang bangun pagi sedang si ayah masih diulit mimpi. Amat malang juga jika si ibu membebel soal kelemahlembutan tutur bicara dengan orang tua; jika si ibu itu sendiri garang bagai sapi gila dengan suaminya. Anak-anak akan keliru. Mereka jadi pening dengan ibu bapa sedemikian.

Atas dasar itu, akhlak ibu bapa adalah senjata utama mendidik anak-anak. Tidak rugi berakhlak mulia. Ia ibarat bunga, mekar, harum, cantik dan wangi baunya. Bunga seperti itu, pastinya semua orang suka. Itulah akhlak yang mulia. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply