• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Eksklusif: Di antara nama dan hak ‘Allah’

Byadmin

Jan 3, 2010

Malaysia ini, tercatat di dalam perlembagaannya bahawa agama bagi persekutuan adalah Islam. Namun, ia hanya terbatas sebagai amalan dalam upara rasmi negara. Islam yang dinobatkan sebagai agama rasmi itu tidak ada implikasi perundangan. Yang berkuasa adalah undang-undang manusia. Maka, apabila mahu mengadakan majlis rasmi negara, doa akan dibacakan oleh Tok Mufti mahu pun Imam Masjid Negara. Tak lebih dan tak kurang. Selepas daripada itu, nak isi majlis dengan perkara yang melanggar hukum agama pun tak mengapa. Misalnya, diadakan majlis nyanyian dan tarian yang lagha pun, tak apa… yang penting awal-awal tadi doa dah dibaca.

 Kini, umat Islam diuji lagi apabila Hakim Mahkamah Tinggi memberikan keputusan bahawa ‘Allah’ bukanlah hak esklusif umat Islam. Ia boleh digunakan juga untuk agama-agama lain. Bisinglah di mana-mana, orang-orang Islam merasakan maruah mereka terkoyak-rabak dengan keputusan itu. Pihak Kementerian Dalam Negeri pun terpaksa berlutut memohon kearifan sang hakim, agar menilai kembali keputusan. Nampak seperti Islam sudah hancur dengan keputusan itu.

Sebenarnya, saya terfikir betapa selama ini adakah umat Islam memikirkan tentang hak-hak Allah yang telah mereka lampaui, yang telah mereka cabuli dan campak ke tepi. Allah SWT selaku Tuhan, yang menciptakan manusia dan alam seluruhnya, tidak diberikan hak-Nya yang sebenar. Allah hanya mendapat hak-Nya dalam keadaan tertentu yang serba terbatas. Misalnya, hak Allah hanya dipenuhi saat nak melangsungkan perkahwinan, itu pun hanya dalam upacara akad nikah. Baharulah hak Allah SWT itu dipenuhi. Seorang yang tak solat pun, yang membuka aurat sesuka hatinya pun, tunduk kepada akad nikah. Mesti ada wali dan saksi, ada ijab dan kabul. Jika saksi tak berpuas hati, ulanglah berkali-kali…hanya kala itulah hak Allah dipenuhi. Selepas itu belum tentu lagi.

Bila…bila lagi hak Allah dipenuhi oleh umat Islam. Antaranya semasa majlis kematian, maka jenazah akan diuruskan secara Islami walaupun si mati itu semasa hayatnya bukanlah muslim yang baik, malah mungkin tergolong manusia yang suka melawan Allah dalam tindak-tanduknya. Setelah kematiannya, jenazahnya akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan lalu dikebumikan secara penuh Islami. Malah pernah terjadi perebutan jenazah ke atas muallaf, hanya kerana ia adalah sebuah maruah – sedangkan bagi saya, memelihara maruah Islam dan hak Allah sebelum sesuatu kematian itulah lebih utama sepatutnya. Apalah maknanya bertegang dan bertekak persoalan tanah kubur dan talkin, jika semasa hayatnya dahulu mungkin si muallaf itu pun tak pernah kenal alif, ba dan ta apatah lagi sujud menyembah Allah yang Esa.

Kini, dalam persoalan terbaharu ini, berbaloikah kita bertekak dan bertegang leher dengan hak menggunakan nama Allah. Apakah di akhirat kelak, kita hanya boleh berbangga dengan menyatakan bahawa di dunia dahulu saya sudah berdemonstrasi mempertahankan hak orang-orang Islam menggunakan nama Allah. Cukupkah itu semua? Bagaimana jika Allah SWT bertanya, apa pula tindakan kamu semasa hak Aku dalam urusan ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan kebudayaan diabaikan. Apakah kamu tidak sensitif bila hak Aku dalam menentukan hukuman ke atas pesalah jenayah, kamu ganti dengan undang-undang yang kamu cipta sendiri. Kenapa kamu tak sensitif bila hak Aku dalam aspek muamalah kamu ganti sewenang-wenangnya, kamu ambil model ekonomi Barat, kamu tinggalkan model ekonomi Islam, kamu tak didik anak-anak kamu kenal kepada Aku yang menciptakan kamu, kamu tak didik anak-anak kamu kenal Rasulullah SAW, tapi anak-anak kamu lebih kenal siapa Abraham Lincoln, kenal Mahatma Gandhi dan kenal Nelson Mandela…dimanakah kamu?

Dan terlalu banyak yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT kepada kita kelak, lebih daripada sekadar keprihatinan kita dalam mempertahankan nama Allah ini di atas dunia ini. Maka, dalam kondisi yang menghimpit ini, sebenarnya kita selaku umat Islam perlu menghormati hak Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan kita – sama ada secara individu, keluarga, komuniti mahu pun bernegara – kerana itulah caranya kita menghormati hak Allah dan itulah caranya menjadikan seluruh manusia lain kembali bersujud kepada Allah. Masa masih ada, tinggal lagi…tepuk dada, tanyalah iman kita…wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply