• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Epilog Dakwah 2#

Byadmin

May 21, 2009

Zaman itu, zaman budak remaja sedang menggilai rock. Saya sendiri dikejutkan dengan budaya itu, kerana di sekolah ramai pelajar yang menzahirkan imej itu secara terang-terangan. Bukan guru disiplin tidak melarang, namun seperti sudah menjadi resmi remaja, apa yang dilarang itulah yang dicuba. Bukan tidak ditahan guru selepas sesi perhimpunan, dileter dimarah dan dikenakan hukuman; namun rock punya fasal, semuanya boleh ditahan.

Saya kala itu yang tinggal di asrama, lebih teruk kesannya. Pelajar senior yang lebih lama atau dipanggil ‘otai’, memang tidak boleh melihat sikap junior yang dianggap keras kepala. Saya pernah dipanggil, disergah dan dibuli mereka. Semuanya tidak menambahkan apa-apa, melainkan kebencian semata-mata. Hati yang panas bersalut nira dendam kesumat. Saya bersumpah, akan saya tunggu mereka hingga kiamat. Perkataan maaf bukanlah penamat!

Namun, sentuhan mulus tangan pendakwah amat berbeza. Lewat majlis ta’lim seusai solat berjemaah di surau, saya bagai terkesima dengan senyum simpul yang penuh tulus. Saya disapa bagai anak kecil yang sebenarnya perlukan panduan, bukan herdikan. Saya dituntun meladeni jalan Islam yang sangat cantik, bukan ditampar dan diherdik. Saya dijemput menjadi ahli dakwah secara hemah, penuh ikhlas dan penuh ramah; bukan ditegah menjadi ‘rocker’ secara kasar tanpa hikmah. Dari situ, minda terusik, jiwa terjentik. Hati terpaut, mudah melurut. Itulah dia namanya sentuhan bayu dakwah.

Related Post

Leave a Reply