• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

ETP & Kelab Malam: Ulamak Muda Umno…bersuaralah!

Byadmin

Oct 27, 2010

Di mana ulamak muda Umno? Inilah persoalan yang bermain di cepu minda saya saat membaca laporan berkenaan. Empat buah kelab malam di Greater KL/ Lembah Kelang dengan zon eksklusif hiburan. Kononnya, ia adalah sumber pendapatan baharu yang mampu merancakkan ekonomi.

Sebagai muslim yang baik, apakah justifikasi kita dalam menerokai sesuatu idea baharu dan melaksanakan sesuatu pendekatan? Adakah hanya memikirkan untung dunia tanpa menghiraukan ajaran agama? Atau mereka yang berkenaan mempersetankan agama, kerana ia lebih baik demi memacu kehendak ekonomi mereka sendiri?

Kelab malam dengan sasarannya hujung minggu dan kita yakin, ia pasti akan diisi oleh golongan muda-mudi yang mencari hiburan dunia. Memang, sesiapa sahaja boleh menyatakan, ia adalah untuk tujuan pelancongan. Tetapi, berbaloikah kita menubuhkan lebih banyak kelab malam, SPA dan zon hiburan hanya semata-mata untuk pelancong.

Kelab malam adalah tempat bersarangnya pelbagai jenis penyakit dunia. Di sana tiada nyanyian dongdang sayang, tarian makyong, wayang kulit atau boria. Apa yang ada ialah muzik dan lagu yang bingit serta nyanyian dan tarian gadis genit.

Di kelab malam, mana ada majlis tahlil dan bacaan yasin serta air jampi tuan imam; tetapi di sana ada majlis tari-menari dengan lagu rancak dan pergeseran tubuh badan lelaki dan perempuan yang membangkitkan ghairah manusia dan juga air syaitan yang berbusa di dalam gelas. Inilah gambaran tipikal kelab malam di mana-mana sahaja di dunia ini.

Apabila sudah berada di dalam kelab malam, manusia lupa dunia. Dunia mereka adalah kelab malam. Sebab itu ada kes, apabila kelab malam terbakar, habis rentung semua pengunjungnya. Dalam keadaan mabuk dan khayal, dengan pengambilan pil ectasy dan sebagainya, maka bagaimanakah mereka mampu menyelamatkan diri.

Sekali lagi, kenapa Ulamak Muda Umno masih sepi dalam hal ini? Adakah matlamat menghalalkan cara? Apakah ada jaminan rezeki yang bertambah hasil janaan kelab malam ini akan mengundang barakah daripada Allah? Atau sebaliknya menjadi punca musibah dan fitnah?

Tidak perlu saya bentangkan dalil daripada al-Quran dan al-hadis, kerana saya yakin Ulamak Muda Umno pasti hafal ribuan ayat al-Quran dan ribuan hadis yang memenuhi cepu minda mereka. Timbanglah dengan neraca akal yang sihat, timbang baik-buruknya. Jangan tergesa-gesa membuat keputusan, kerana ia akan dipertanggungjawabkan. Ya, sama ada oleh generasi negara masa hadapan mahu pun di hadapan Allah di yaumul mizan!

Related Post

Leave a Reply