• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Fadilat zakat itu membuka pintu rezeki

Byadmin

Dec 1, 2009

Ramai orang selalu mengeluh, kononnya rezeki mereka sempit. Kerja dah bersungguh-sungguh; namun rezeki masih tidak seperti mana yang didambakan. Kais pagi makannya petang; tak ada kerja tak adalah makan. Susah benar menongkah arus kehidupan.

Sebenarnya, ramai orang tidak sedar bahawa zakat adalah salah satu cara membuka pintu rezeki. Apabila pintu rezeki sudah dibuka Allah SWT, maka tiada sesiapa pun dapat menutup dan menghalangnya. Apabila pintu rezeki sudah dibuka Allah; maka melimpah segala keberkatan buat kita.

Mungkin ada orang bertanya, apakah pertanda rezeki sudah dibukakan oleh Allah SWT. Adakah mestinya kita mendapat banyak harta, perniagaan mendapat laba, gaji mendadak naik lima angka dan sebagainya lagi. Mestikah rezeki itu indikatornya adalah wang dan benda? Inilah masalahnya, kerana manusia awam seperti kita sering menafsirkan rezeki dengan wang dan harta.

Rezeki boleh sahaja datang dalam bentuk yang lain. Sebutkan sahaja, nikmat kesihatan diri dan keluarga, maka itu juga rezeki. Nikmat masa kerana dapat sentiasa bersama orang yang tersayang, maka itu juga rezeki. Nikmat melihat, merasa dan mampu memejamkan mata kala malam menjelma, itu juga rezeki. Tiada pergaduhan sesama ahli keluarga, itu adalah rezeki. Perhubungan yang mesra sesama suami isteri dan itu juga rezeki. Kereta dan motorsikal kita tidak meragam, kan itu juga rezeki. Dan sesungguhnya memang terlalu banyak yang mampu disajikan di sini yang boleh didefinisikan sebagai rezeki daripada Allah SWT.

Maka, jangan kata saya sudah berzakat tetapi masih tak naik-naik pangkat sebagai pertanda zakat kita tidak mendatangkan keberkatan dan kemurahan rezeki. Saya ada pengalaman tersendiri, saya pernah terlepas dalam promotion satu waktu dahulu; namun Allah SWT membukakan pintu rezeki daripada sumber-sumber lain yang kita sendiri tidak jangkakan. Dan saya yakin teramat yakin, semuanya datang berkat usaha saya yang bukan sekadar menunaikan zakat; tetapi juga kesungguhan saya menyeru manusia lain agar menunaikan zakat.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati,” (al-Baqarah: 277)

Wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply